Bab 47

385 11 0
                                        

"Sayang, abang dah nak balik ni. Sayang tunggu abang ya?" Ibu jari Zill naik ke pipi Ayesha. Mengelus pipi gebu isterinya itu.

"Abang dah nak balik? Betul ke ni?" Wajah perempuan itu seolah-olah tidak percaya. Dia pegang tangan Zill yang berada di pipi.

"Ya sayang. Sayang tunggu abang tau?"

Senyuman Zill benar-benar berjaya mencairkan hatinya. Senyuman yang dia rindui. Sangat!

"Ya abang, Ayesha akan tunggu abang. Ayesha rindu abang sangat-sangat."

"Abang pun rindukan sayang juga. Rindu sangat dekat isteri abang ni. Jaga diri sayang baik-baik ya selama abang tak ada."

"Abang nak pergi mana?" soal Ayesha hairan.

Namun Zill tidak memberikan dia sebarang jawapan. Tubuh lelaki itu tiba-tiba menghilang. Dia ditinggalkan sendirian di tengah-tengah lapangan. Suasana juga turut berubah, sepi. Awan kelihatan berarak mendung. Gelap sekali.

Dum !

Ada satu bunyi letupan yang sangat kuat. Sehingga membuatkan mata Ayesha terbuka luas. Degupan jantung sudah laju seperti tengah berperang. Peluh membasahi muka.

Terbeliak mata dia. Mengucap panjang. Ini semua rupanya mimpi.

"Astaghfirullahaladzhim." Ayesha raup wajah sendiri. Dia termenung. Pandangan beralih ke arah tempat tidur yang kosong di sebelah.

"Abang, Ayesha takut. Betul ke abang akan balik?" Dia bercakap sendiri. Teringat akan mimpi tadi, dia terasa ngeri. Bunyi apa yang dia dengar di hujung mimpi tadi? Letupan apa? Ada sesuatu yang buruk ke terjadi pada suami dia?

Nafas tenang diatur. Cuba untuk bersangka baik walaupun dia takut kalau ada sesuatu yang buruk bakal atau telah terjadi. Minta-mintalah dijauhkan.

Ayesha bangun, jam telefon ditatap sebentar. Tepat 4.10 pagi. Malam tadi selepas usai solat isyak dia terus lena. Teruja nak pergi kerja, tapi dapat pula mimpi tentang suami dia. Dia membuat keputusan untuk berwuduk dan solat tahajud serta solat hajat. Meminta pertolongan dan perlindungan agar dijauhkan dari segala malapetaka.

Dia duduk bersimpuh di atas sejadah. Tangan ditadah untuk berdoa kepada tuhan.

"Ya Allah, kau ampunilah aku. Ampunkan segala dosa-dosaku di masa lampau. Kuatkanlah hatiku untuk terus berubah ke jalan-Mu yang benar. Kuatkanlah hatiku untuk sentiasa beristiqomah, Ya Allah."

"Ya Allah Ya Tuhanku, kau selamatkanlah suamiku, Ya Allah. Jauhkanlah dia dari segala malapetaka, Ya Allah. Bawalah dia pulang ke pangkuanku dengan selamat, Ya Allah. Aku mohon, lindungilah dia. Aku berjanji akan sentiasa jadi isteri yang baik untuk dia, Ya Allah. Lindungilah dia dalam apa jua keadaan, Ya Allah. Aku mohon. Sesungguhnya hanya kepada-Mu aku meminta dan memohon, Ya Allah. Dengarlah doa-doa hamba-Mu ini, Ya Allah."

Pipi sudah mulai basah dek air mata yang tidak henti turun dari tadi. Lemah dia rasakan saat ini. Dia menginginkan Zill untuk pulang sekarang. Secepat yang mungkin.

Tangan diraup ke wajah. Dia sudah selesai dengan doa-doanya diakhiri dengan sedikit selawat tadi. Mudah-mudahan mimpi tadi hanya sekadar mainan tidur dan bukan petunjuk untuk apa-apa yang bakal terjadi. Dia tidak sanggup untuk kehilangan Zill. Dia suami yang terbaik untuk Ayesha. Sumpah dia rindukan sosok seorang suami itu. Teramat rindu.

Sejadah dan telekung dilipat, dia sangkut kembali di rak. Almari dibuka, dia ambil salah satu baju Zill dan dibawa naik ke katil. Dipeluk kemas baju itu. Dicium juga.

"Abang... Ayesha rindu, Ayesha rindu sangat ni dekat abang. Tolonglah balik abang... Hari-hari Ayesha tunggu abang balik."

Tangan meraba-raba ruang tidur suaminya. Andai saja tubuh Zill ada, dia pasti tidak akan melepaskan pelukan. Perasaan sayang dia sudah semakin besar.

MENANTI CINTA DARIMUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang