Malam itu, Fattah berehat di ruang tamu sambil menatap komputer ribanya. Dia perlu membuat sedikit kajian terhadap penyakit salah seorang pesakit VIPnya. Kebanyakan orang ternama yang mendapatkan perkhidmatannya dan Haziq di klinik.
Mereka berdua berhasrat menubuhkan klinik sebaik tamat zaman belajar memandangkan mereka berdua mempunyai minat yang sama dalam perubatan. Lagipula mereka memang akrab dan berkawan baik sejak sekolah. Fattah memang percayakan Haziq dari orang lain.
Sedang dia sibuk membaca artikel, loceng rumahnya berbunyi. Rumahnya yang mewah dan agam itu bergema dengan bunyi loceng. Dia berjalan ke arah pintu. Kelihatan Fareez dan isterinya, Hana serta anak tunggal mereka tercegat.
"Pak su!" Jerit Hakim sebaik melihat Fattah. Lantas dia memeluk bapa saudara kesayangannya itu. Fattah tesenyum sambil membalas pelukan anak saudaranya itu.
Tanpa membuang masa, Fattah menjemput keluarga abangnya masuk dan duduk di ruang tamu. Hakim pula teruja berhimpit dengan Fattah.
"Busy ke? Klinik macam mana? Okay?" Tanya Fareez mahu tahu perkembangan adiknya itu. Dia cuma tua lima tahun dari Fattah.
"Macam biasa, banyak patient" balas Fattah. Dia tahu kedatangan abangnya ke rumahnya malam itu.
"Tak susahkan Fattah ke jagakan Hakim? Takut pula Fattah busy, muka pun macam lesu semacam" tegur Hana risaukan adik iparnya itu. Dia dan Fareez perlu ke Perancis keesokan hari memandangkan suaminya mempunyai urusan di sana. Kedua mertuanya sudah berangkat dan tiba di Perancis. Cuma Hakim tidak mahu mengikut dan mahu tinggal bersama Fattah.
"Taklah kak, Fattah okay je. Lagipun, Hakim pun dah besar. Fattah cuma perlu hantar sekolah dia je" jawab Fattah tersenyum nipis. Hakim laju mengangguk setuju.
"Kita okaylah mama, Hakim rindukan pak su" balas Hakim masih kejap memeluk lengan Fattah.
"Mengada Hakim ni, nasib baik kau okay je nak jagakan dia. Sekurang-kurangnya ada juga peneman kau kan dalam rumah ni, taklah kau sunyi sangat, asyik sibuk dengan kerja... bila kau nak cari isteri?" Soalan cepumas terkeluar dari mulut Fareez. Fattah memandang wajah abang dan kakak iparnya. Kedua-dua kelihatan menunggu jawapannya.
"Biarlah... belum ada jodoh. Aku masih muda apa, kerja pun berlambak lagi" balas Fattah malas memanjangkan cerita. Dipandangnya wajah kecewa Fareez. Dah tahu sangat abangnya itu.
"Kerja... kerja... dulu bagi alasan belajar. Kau makin tua tau Fattah, masuk angka tiga tahun ni" ujar Fareez tegas. Fattah tidak menyahut.
"Hakim dah bawa barang-barang Hakim? Pak su taknak ada orang mengadu takde pakaian kecik pulak" sakat Fattah sengaja. Hakim termalu sendiri mendengar.
"Dah, mama dah sediakan dalam beg. Nanti kita main game eh paksu!" Kata Hakim bersemangat. Fareez dan Hana tersenyum memandang wajah gembira anak mereka.
"Kerja sekolah dah siap belum? Hakim dah ulangkaji untuk peperiksaan nanti?" Soal Fattah memandang wajah Hakim. Dia tidak suka jika Hakim berseronok bermain permainan berbanding menghadap buku. Disiplin itu penting untuk mendidik anak kecil.
Hakim lantas melarikan matanya dari direnung tajam oleh Fattah. Mengelat lah tu.
"Ha eloklah, paksu kamu ni bijak orangnya, kau ajar anak aku pandai-pandai ye" sampuk Fareez selamba. Dia memang sedia tahu kedua ibu bapanya memang memaksa mereka untuk belajar tinggi-tinggi. Dia pun belajar tinggi namun Fattah lagi bijak darinya.
Fattah tidak menjawab. Dia hanya memandang Hakim yang tersengih seperti kerang busuk.
***
Sebaik loceng berbunyi, para pelajar sekolah rendah itu mula berjalan berpusu-pusu ke pagar. Kebanyakan pelajar teruja mahu pulang ke rumah memandangkan esok hari Sabtu. Memang rancaklah pelajar berlari pulang.
Inara yang kebetulan baru habis kelas segera berjalan menuju ke keretanya yang terparkir di hadapan blok pentadbiran. Namun dia berhenti sebaik ternampak Hakim duduk di tangga seorang diri sambil membelek buku. Lantas dia mendekati.
"Amboi, baca buku sampai tak perasan sekeliling ya" sapa Inara turut duduk disebelah anak muridnya itu. Nyata Hakim terkejut melihatnya.
"Cikgu Inara! Cikgu cari saya ke?" Petah Hakim menyoal. Matanya yang bulat memandang Inara. Geram pula Inara melihat kecomelan Hakim.
"Cikgu ternampak Hakim, rajin ya Hakim baca buku. Hakim suka belajar eh?" Tanya Inara berminat mahu tahu. Dia dapat rasakan Hakim seorang anak yang pandai. Pasti Hakim berasal dari keluarga yang berpendidikan dan kaya.
"Haah, paksu selalu ajar Hakim. Dia selalu suruh Hakim belajar tinggi supaya berjaya" cerita Hakim kelihatan suka bercerita tentang bapa saudaranya itu. Inara hanya tersenyum mendengar.
"Cikgu nak kenal dengan paksu saya? Dia hensem tau, baik pula tu" ujar Hakim teruja mahu memperkenalkan Fattah. Dia kelihatan bersungguh-sungguh memandang Inara.
"Eish, kenapa cikgu pulak?" Soal Inara kembali, rajin melayan anak muridnya itu.
"Cikgu kan baik dan cantik, mesti sesuai dengan paksu" jawab Hakim jujur membuatkan Inara tergelak kecil. Namun telefonnya yang berdering minta diangkat. Tertera nama Danial.
"Cikgu jawab call ni dulu, Hakim sambung baca buku tau" pesan Inara risau Hakim merayau memandangkan kawasan sekolah mulai sepi. Hakim mengangguk sambil memandang gurunya yang berdiri tidak jauh untuk menjawab panggilan telefon.
"Awak dah balik?" Soal Danial usai salamnya dijawab.
"Baru nak balik, kenapa awak tanya?" Soal Inara kembali.
"Awak lupa ke saya ada surprise untuk awak, jom saya dan Bonda dah tunggu" kata Danial membuatkan Inara mahu tahu. Inilah sikap Danial yang penuh kejutan.
Sementara itu, Fattah berjalan menghampiri Hakim yang duduk menunggunya di tangga. Dia menyapa anak saudaranya itu yang khusyuk membaca buku.
"Hakim, jom" Fattah sudah menarik lengan Hakim namun Hakim menarik balik lengannya.
"Kejap lah paksu, Hakim nak jumpa cikgu Hakim dulu" ujar Hakim menunjuk ke arah Inara yang membelakangi mereka. Fattah memandang guru dimaksudkan Hakim. Berbaju kurung dan bertudung shawl dari belakang. Dia tidak dapat melihat wajah itu.
"Minggu depan, Hakim jumpa lagi kan cikgu tu. Dia tengah busy lah tu" pujuk Fattah akhirnya membuatkan Hakim terpujuk. Dia mengikut langkah Fattah ke kereta.
Inara yang baru selesai berbual dengan Danial, menoleh mencari kelibat Hakim. Cuma sebuah kereta dipandu keluar dari pagar. Mungkin Hakim sudah dijemput orang tuanya. Lantas dia berjalan ke kereta dan memandu ke lokasi dikongsi oleh Danial.
YOU ARE READING
Peluang Terakhir
RomanceBukan mudah untuk seorang perempuan untuk meluahkan perasaan dan mengejar lelaki dambaan hati. Namun semua itu tidak mustahil bagi Inara. Menyimpan perasaan terhadap Fattah, lelaki pujaan hatinya yang ditemui ketika zaman sekolah tidak mematahkan se...