Sejak kejadian malam tadi, Inara tidak bercakap dengan Fattah. Dia hanya sibuk menyiapkan Asam Laksa yang dipinta Fattah. Dia masih sakit hati apabila Fattah tidak berusaha untuk memulihkan hubungan. Nampak sangat Fattah masih keliru dengan hubungan mereka.
Fattah memerhati isterinya yang sibuk bertukang di dapur. Jujurnya dia masih rasa bersalah. Namun egonya menghalang untuk mengaku kesilapannya. Dia tidak tahu apa yang harus dibuat bagi memperbaiki hubungannya.
"Awak, saya nak minum air oren boleh" pinta Fattah sengaja mencuri perhatian Inara. Dipandangnya Inara yang sibuk menyusun mangkuk di atas meja makan.
"Okay" balas Inara sepatah. Dia tidak memandang wajah Fattah sebaliknya pura-pura sibuk. Fattah menarik muncung. Tidak menjadi.
Setelah membancuh air untuk Fattah, dia mahu membawa jag ke ruang tamu namun dihalang Fattah.
"Biar saya bawa, awak naik atas mandi. Kejap lagi Haziq datang" ujar Fattah cuba membantu Inara. Dia tidak mahu Inara penat ataupun rasa terbeban.
"Okay" jawab Inara lalu berjalan naik ke bilik. Tiada mood dia mahu bermesra.
Fattah mengeluh sendiri teringatkan layanan Inara terhadapnya. Dia buntu duduk di sofa sambil memandang kosong televisyen yang terpasang. Hatinya berasa gundah. Lamunannya terganggu sebaik loceng rumah berbunyi. Dia membuka pintu dan terjengul wajah Haziq yang tersenyum.
"Sahabatku!"
Haziq selamba masuk berjalan ke ruang tamu. Dia menghempas tubuhnya di atas sofa. Rindu pula mahu melepak di rumah rakannya itu. Dia memandang sekeliling rumah yang dirasakan berbeza.
"Wei, kemasnya rumah kau. Oh aku lupa, kawan aku dah ada isteri sekarang" perlinya selamba. Dia menuang air oren ke dalam gelas sebelum diteguk.
"Banyak cantik muka kau" balas Fattah duduk bersila di atas lantai. Dia berharap kedatangan Haziq dapat membantunya serba sedikit.
"Muka masam ni, ada masalah ke? Gaduh?" Soal Haziq hairan. Dia menekan punat alat kawalan. Tiada siaran yang menarik.
"Semalam, aku keluar dengan Inara. Terjumpa dengan Khalida, lepastu dia cakap yang dia dah putus tunang sebab dia masih sayangkan aku" cerita Fattah didengari Haziq dengan tekun.
"Inara salah faham, dia jumpa gambar konvo aku dengan Khalida dulu. Dia anggap aku masih ada hati dekat Khalida" sambung Fattah dengan nada risau. Haziq mengangguk faham.
"Habistu kau dah bagitahu tak dekat Inara yang kau tak pernah sukakan Khalida?" Soal Haziq.
"Dah aku dah cuba jelaskan tapi dia taknak dengar. Dia tak percayakan aku" balas Fattah membuatkan Haziq berdecit.
"Mungkin betul apa dia kata, aku belum cukup kenal Inara... aku tak pernah usaha nak kenal Inara secara peribadi, perkahwinan ini pun tidak sengaja, tapi yang aku tahu aku nak dia maafkan aku je... aku memang tak gentleman kan" kata Fattah kecewa dengan dirinya sendiri.
"Aku memang tak nafikan yang kau memang bodoh dalam cinta, tapi sampai bila Fattah? Kau dah ada peluang kan? Takkan kau nak sia-siakan?" Soal Haziq kedengaran kasar namun nyata. Dia mahu menyedarkan kawan baiknya.
"Sedarlah Fattah, jodoh kau memang dengan dia. Sekeras mana pun hati kau, kau kena rendahkan ego untuk dia. Sebelum kau menyesal buat kali kedua" nasihat Haziq membuatkan Fattah rasa terpukul.
"Aku percaya Inara memang cintakan kau, dari dulu lagi. Dia takkan buang masa tunggu lelaki yang dia tak pasti, dia setia dekat kau" sambung Haziq lagi sebelum mereka dipanggil Inara untuk menikmati makan tengahari. Fattah hanya menelan pahit kata-kata Haziq.
***
"Sedap betul kau masak Asam Laksa, hebat juga bini kau Fattah" puji Haziq tersandar kekenyangan di sofa. Inara duduk berjauhan dengan Fattah, sengaja dia mahu mengelak. Mereka berbual di ruang tamu selepas makan.
Haziq menyedari situasi itu lalu memeluk bahu Fattah. Wajah Fattah pura-pura senyum.
"Lah, kau baru tahu ke" soal Inara kembali sambil matanya menonton televisyen. Dia tahu persahabatan Haziq dan Fattah memang akrab sejak sekolah.
"Dulu kau tak pernah masak pun, zaman belajar pun kau sibuk dengan kamera kau je. Takde pun aku tengok pegang periuk" balas Haziq sengaja mengimbau kenangan lama. Dia cuba untuk membuka hati Inara untuk menerima Fattah balik.
"Best apa tangkap gambar, tak semua orang dapat rasa kepuasan tangkap gambar tau" balas Inara menegakkan hobinya. Dia masih gemar menangkap gambar cuma jarang.
"Haah, lagi-lagi kau suka tangkap gambar Fattah kan. Where Inara capture her love" sakat Haziq sengaja. Inara tidak menjawab sebaliknya menjeling.
"Siapalah yang obses dengan Fattah kan, dua tiga pagi pun sanggup call aku" perli Haziq sambil menyilangkan kakinya pura-pura tak tahu. Dia dapat melihat wajah Inara menahan malu.
"Tak payahlah ungkit zaman jahiliah tu!" Inara membaling kusyen ke arah Haziq. Haziq ketawa terbahak-bahak. Fattah juga kagum dengan Inara yang sanggup menelefon Haziq tidak kena masa hanya kerananya.
"Malu pulak, dulu tak malu kau nak mengorat Fattah. Nasib baik korang kahwin jugak, kalau tak... haish sia-sia pertolongan aku dulu" bebel Haziq kini beralih tempat. Dia bersila pula, kejang kakinya.
"Tapi orang tu tak juga pandang kita, orang dah ada Khalida kan" sindir Inara selamba. Dia mahu sakitkan hati Fattah, biar Fattah tahu dia kecewa!
"Khalida tu yang syok sendiri, Fattah tak pernah layan dia" jawab Haziq membetulkan salah faham. Inara tergelak sinis.
"Ye ke, bukannya orang tu sukakan Khalida ke?" Soal Inara kurang percaya. Dia memang tidak percaya. Khalida dan Fattah suka sama suka.
Fattah tersentak. Dari nada Inara, dia tahu Inara tidak suka. Masalahnya, dia memang tidak beperasaan terhadap Khalida. Melihat ketegangan itu, Haziq segera menyampuk.
"Fattah tu hati batu, dia takkan senang cair dengan perempuan. Percayalah, dia memang tak suka Khalida" kata Haziq mahu meyakinkan Inara. Susah pula Inara mahu percaya.
Inara tidak menjawab. Malas dia mahu melayan, Fattah pun sejak tadi membisu. Tiada usaha mahu menegakkan fakta. Malas dia.
YOU ARE READING
Peluang Terakhir
RomanceBukan mudah untuk seorang perempuan untuk meluahkan perasaan dan mengejar lelaki dambaan hati. Namun semua itu tidak mustahil bagi Inara. Menyimpan perasaan terhadap Fattah, lelaki pujaan hatinya yang ditemui ketika zaman sekolah tidak mematahkan se...