Lenanya terganggu apabila deringan telefonnya menjerit sejak tadi. Danial yang tidur-tidur ayam mencapai telefon bimbitnya di atas meja bersebelahan katil. Dia memandang nama Izzat yang terpapar.
Selepas salam dijawab, Izzat menyergahnya dengan soalan.
"Kau masih banyak lagi nak urus ke dekat sana"
Danial terdiam sebelum menjawab. Dia memandang Dr Angga yang berjalan masuk ke dalam biliknya. Dr Angga hanya membiarkannya berbual di dalam telefon.
"Tak banyak dah, dalam esok lusa aku balik lah" jawabnya. Dia duduk tegak di atas katil rawatan. Baju yang tersarung di badannya jelas baju pesakit hospital.
"Oh, aku cuma risau sebab Inara tanya aku soalan pelik-pelik" ujar Izzat dengan nada risau. Kening Danial terangkat.
"Maksud kau?"
"Dia kata dia tak yakin kau betul-betul serius dengan hubungan ni, aku harap kau ambil tindakan seterusnya sebelum Inara berpatah arah" pesan Izzat kedengaran ingin menyampaikan sesuatu dalam diam.
"Kenapa Inara berpatah arah pulak?" Tanya Danial semakin pelik. Kedengaran Izzat mengeluh.
"Fattah, dia dah cuba nak rapat dengan Inara. Aku risau si Fattah tu nak main-main dengan Inara, kau tahu kan Fattah tu sejak dulu tak sukakan dia" maklum Izzat dengan perasaan khuatir.
"Dan aku risau ingatan Inara pulih bila dia makin rapat dengan Fattah" sambungnya lagi. Danial kini terdiam. Dia maklum akan hal itu.
"Jangan risau, aku tahu apa aku patut buat. Aku janji aku takkan lukakan Inara" janji Danial tidak mahu Izzat berfikir bukan-bukan.
"Yalah, kau je harapan aku untuk Inara" kata Izzat. Tidak lama kemudian mereka mengakhiri perbualan. Kini Danial memandang Dr Angga yang berdiri di hujung katil.
Dr Angga menyerahkan fail yang berisi laporan kesihatan Danial di atas katil.
"Sel kanser tu datang balik, encik Danial sepatutnya jalani pemeriksaan lebih awal" kata Dr Angga yang merupakan doktor peribadinya yang menetap di Jakarta. Sebelum ini Dr Angga menetap di Malaysia sebelum berpindah ke Jakarta mengikut isterinya.
Danial terdiam. Sebelum ini dia pernah disahkan menghidap kanser hati di peringkat awal. Dia berjaya menjalani rawatan dan pemeriksaan sehingga pulih. Sel kansernya sudah mati. Namun sel-sel kanser tersebut telah kembali dan merebak dalam badan.
"Kanser encik Danial dah di tahap empat, tahap kritikal. Kimoterapi yang kita jalani dulu tidak dapat menjamin dapat bunuh semua sel tu, tapi tak salah kita mencuba lagi" cadang Dr Angga sambil berpeluk tubuh. Dia sudah berkhidmat dengan Danial sejak dua tahun lepas.
"Takpe, saya taknak jalani apa-apa rawatan" jawab Danial. Dia tahu semua itu tiada guna. Dia ingat penyakitnya sudah sembuh namun sebaliknya. Tiada sesiapa yang tahu termasuklah Inara. Dia tidak mahu merisaukan sesiapa.
"Tapi kalau tak jalani rawatan, tempoh hayat encik Danial semakin pendek. Dalam masa sebulan dua, kanser tu dapat merebak ke seluruh organ dalaman Encik Danial" terang Dr Angga berharap Danial bersetuju untuk menerima rawatan.
Danial tidak menjawab. Dia tahu Dr Angga mahu dia menjalani rawatan supaya dapat sembuh seperti sediakala. Namun dia rasakan tiada lagi peluang untuknya meneruskan hidup. Tiba-tiba hatinya dilanda rasa sedih. Selama ini dia menyimpan kemas rahsianya itu.
"Fikir-fikirlah encik Danial, saya akan sentiasa bantu encik" ucap Dr Angga menepuk bahunya sebelum beredar pergi. Danial tertunduk lemah. Dia menahan perit sakit di dada. Dia tidak boleh mengalah, selagi masih ada masa, dia akan membahagiakan Inara. Dia sudah tekad membuat keputusan.
***
Pandangan Fattah yang tertala pada skrin komputer terganggu sebaik pintu dibuka oleh Aryan. Pembantunya tersenyum sambil tertunduk sopan.
"Doktor, ada pesakit VIP yang nak jumpa doktor" beritahu Aryan. Fattah menjadi hairan memandangkan dia tiada temujanji dengan pesakit baru hari itu.
"Silakan masuk" arah Fattah profesional. Dia membetulkan tali lehernya agar nampak kemas.
Aryan beralih. Seorang lelaki kemas berkemeja biru berjalan masuk dengan tangan di dalam poket. Kening Fattah terangkat sebaik melihat kehadiran Danial. Tanpa angin tanpa ribut.
"Doktor Fattah" kata Danial senada. Fattah mengarahkan Aryan untuk beredar terlebih dahulu. Dia berdiri untuk berjabat tangan dengan Danial.
"Danial... ada apa-apa yang aku boleh tolong?" Soal Fattah tidak mahu berlengah. Dia menjemput Danial duduk di atas sofa yang terdapat di dalam ruang biliknya itu.
Danial tidak menjawab sebaliknya meletakkan fail di atas meja. Fail tersebut mengandungi laporan kesihatannya. Tanpa melengahkan masa, Fattah meneliti isi yang terkandung di dalam fail itu. Hampir ternganga dia membaca laporan kesihatan milik Danial.
"Kau... kau ada kanser?"
Mengangguk tidak, menggeleng tidak. Danial bersandar pada sofa sambil memandang Fattah.
"Aku perlukan perkhidmatan kau, doktor Fattah. Aku tahu dato-dato selalu ambil perkhidmatan kau" kata Danial tanpa segan silu.
"Pasal bayaran kau jangan risau, cuma aku tak nak jalani rawatan atau kimo lagi" sambung Danial membuatkan mata Fattah membuntang.
"Kau nak mati ke? Kau ada kurang dua bulan lagi Danial, takkan kau nak menyerah?" Soal Fattah tidak percaya. Ini soal hidup dan mati. Dia dapat lihat wajah Danial agak pucat pagi itu.
"Ajal di tangan Allah, aku reda kalau itu takdirnya" balas Danial tenang. Fattah terdiam. Kemudian dia teringat sesuatu.
"Inara tahu?"
Kebisuan Danial difahami Fattah.
"Why? Kenapa kau tak bagitahu tunang kau sendiri?" Soalnya tidak faham. Danial mengangkat kepala memandang Fattah.
"Itu alasan aku sendiri, sekarang ni aku nak kau tolong aku" ujar Danial serius. Pandangannya tepat memandang Fattah.
"Apa dia?"
YOU ARE READING
Peluang Terakhir
RomanceBukan mudah untuk seorang perempuan untuk meluahkan perasaan dan mengejar lelaki dambaan hati. Namun semua itu tidak mustahil bagi Inara. Menyimpan perasaan terhadap Fattah, lelaki pujaan hatinya yang ditemui ketika zaman sekolah tidak mematahkan se...