66

54 2 0
                                    

Lena Inara terganggu apabila bersin Fattah tidak henti malam itu. Semalaman Fattah tidak dapat tidur kerana hidungnya asyik meleleh. Dia menarik selimut bagi menutup badannya. Inara terduduk disebelah memerhati suaminya.

"Fattah, awak okay ke?" Soal Inara. Fattah hanya mengiyakan. Dia tiada tenaga. Lantas Inara menarik selimut yang menutupi suaminya itu. Wajah Fattah pucat memandangnya.

"Saya okaylah, jangan risau" kata Fattah mahu mencapai selimutnya kembali. Inara menggeleng.

"Awak jangan degil, badan awak panas ni. Saya ambil ubat untuk awak" kata Inara turun dari katil. Dia berjalan keluar dan turun ke dapur bagi mengambil ubat dan air kosong. Dia kembali dalam beberapa minit. Dilihatnya Fattah kembali tidur.

"Ish degil betul dia ni" bebel Inara. Dia menarik kembali selimut. Suhu Fattah tinggi selepas diperiksa. Dia membangunkan Fattah.

"Jom makan ubat, doktor pun manusia biasa. Awak ingat awak kebal ke?" Soal Inara ke arah Fattah. Fattah sudah terduduk tersandar pada kepala katil. Dia tersenyum lemah. Pil ditelan dengan bantuan Inara. Inara kelihatan risau dengan kesihatannya.

"Awak yang tolak saya dalam kolam, kan dah demam" ujar Fattah sebaik sudah dalam posisi selesa. Inara juga sudah baring disebelahnya.

"Saya pula yang salah, awak yang kejutkan saya" balas Inara yang membelakangi Fattah. Dia sengaja tidak mahu tidur menghadap Fattah. Takut hatinya mudah mengalah buat Fattah. Fattah sentiasa pemenang dalam hatinya.

Fattah tidak menjawab. Dia hanya memandang belakang Inara yang menjadi tatapannya. Melihat kebisuan Fattah, Inara mengambil keputusan untuk mengalihkan posisi tidur. Dia memandang Fattah yang sudah melelapkan mata.

"Yalah.... saya minta maaf. Saya selalu aniaya awak" ucap Inara perlahan. Dia menatap wajah Fattah yang sering menjadi dambaannya dahulu. Sehingga sekarang. Tidak pernah wajah ini dilupakannya.

Fattah tersenyum dalam diam. Dia kembali membuka mata memandang Inara yang turut memandangnya. Wajah isterinya kelihatan ikhlas meminta maaf.

"Baru nak mengaku, jarang isteri degil saya ni nak mengaku" sakat Fattah membuatkan Inara mencebik. Terhibur juga Fattah. Hilang sedikit rasa sakit melihat wajah isteri. Sungguh menenangkan. Ini agaknya keindahan bercinta selepas kahwin.

"Saya sejuklah, nak peluk boleh?" Pinta Fattah dengan mata tertutup. Dia memang sejuk dan perlukan kehangatan. Sengaja meminta walhal dia tahu Inara akan menolak.

Dia kaget apabila Inara merapatkan badan dengannya. Lengannya dijadikan bantal buat kepala Inara. Inara selesa di lengan Fattah. Dia memeluk badan Fattah tanpa sebarang kata.

Terukir senyuman pada bibir Fattah apabila Inara tidak melawan permintaannya. Dia tidak menyangka isterinya berlembut hati malam itu. Nampaknya untung dia lah malam ni.

Kedengaran dengkuran halus. Fattah pasti Inara sudah terlelap. Dia mencium kepala isterinya sebelum digosok perlahan. Hatinya sudah jatuh sayang dengan Inara. Dia tertidur tidak lama kemudian.

***

Sinar matahari yang menembusi tingkap membuatkan Fattah terbangun. Dia tertidur selepas Subuh kerana masih berasa lesu. Ketika bangun Subuh tadi, Inara sudah berada di bilik air. Nyenyak pula tidurnya dipeluk isteri.

Dia menggosok matanya sebelum memandang jam di dinding. Masih awal. Dia mencari kelibat Inara di dalam bilik. Tiada. Di dalam bilik air juga tiada. Fattah ambil keputusan untuk turun ke dapur. Kepalanya masih berasa pening-pening lalat. Namun tidak seberat semalam.

Ting!

Pintu lif itu terbuka. Semerbak dia dapat cium keharuman masakan Inara. Segera dia berjalan ke arah meja makan.

"Hmmm sedapnya bau, ada kenduri ke?" Sakat Fattah k arah dapur. Inara berjalan dari dapur dan membawa semangkuk bubur ayam sebelum diletakkan di atas meja. Fattah segera menarik kerusi.

"Awak nak saya buat bubur untuk kenduri awak ke? Awak nak kahwin lagi?" Soal Inara memandang Fattah. Laju Fattah menggeleng.

"Bukan macam tu, awak salah faham ni"

Inara tidak menjawab sebaliknya menuang air kopi di dalam cawan sebelum ditolak ke arah Fattah.

"Lepas awak makan bubur, awak makan ubat. Lepastu rehat-rehat sampai kebah demam awak" pesan Inara prihatin. Fattah menahan senyuman apabila diambil berat.

"Okay doktor Inara, tapi saya rasa tak nak makanlah kalau doktor tak suapkan saya" kata Fattah mengada. Dia membuat wajah comel. Percuma mendapat jelingan Inara.

"Awak tu demam je pun, bukannya patah tangan!" Bebel Inara tidak puas hati. Memang mengada Fattah ni. Namun dicapainya jua mangkuk itu sebelum menyudu bubur ke mulut Fattah.

"Nyumm! Ini baru isteri yang baik" puji Fattah sengaja mengambil hati isterinya. Penuh ketabahan betul isterinya itu. Inara hanya ralit menyuapnya sehingga licin mangkuk itu.

"Rehat, jangan bergerak. Kalau awak nak apa-apa, panggil saya" pesan Inara sebaik mengiringi Fattah ke sofa ruang tamu. Fattah yang hanya terbaring mengangguk. Dia memandang isterinya sehingga hilang. Fattah memejamkan mata untuk merehatkan diri.

Peluang TerakhirWhere stories live. Discover now