Kusut fikirannya. Zafran meraup wajah. Nafas ditarik namun terasa tersekat di kerongkong apabila dia teringatkan berita yang disampaikan oleh Datin Zahra pagi tadi. Sampai hati mamanya buat keputusan tanpa bertanya padanya terlebih dahulu. Apa mamanya ingat dia patung? Tiada hati dan perasaan?
Datin Zahra baru selesai menghantar rombongan meminang Nia Adellia untuknya. Ya, dia tidak salah dengar. Mamanya melamar Nia Adellia untuk Izz Zafran.
"Mama, kenapa mama buat Zaf macam ni? Zaf tak cintakan Nia, ma. Zaf cuma anggap dia macam adik Zaf sendiri," bantah Zafran sebaik sahaja berita itu menerjah telinganya.
"Zaf, mama tahu apa yang terbaik untuk anak mama. Nia tu sayang sangat kat Zaf, dan mama yakin dia akan jadi isteri yang baik untuk Zaf. Lagipun, tak lama lagi Pak Ngah Adli nak ke Tanah Suci, tinggal Nia sorang-sorang.
Siapa nak jaga dia masa Pak Ngah Adli tak ada nanti? Zaf, kahwin dengan Nia ya nak?" pujuk Datin Zahra. Zafran menggelengkan kepalanya.
"Pak Ngah tak setuju, kan?" Dia berharap sangat bapa saudaranya menolak lamaran gila Datin Zahra itu. Datin Zahra mengukir senyuman.
"Berani Pak Ngah kamu tu nak melawan cakap mama? Mama ni kakak dia, Zaf. Dia takkan cakap tidak pada mama," balas Datin Zahra.
"Mama, Zaf tak nak kahwin dengan Nia. Zaf tak cintakan dia, sebab Zaf cintakan orang lain." Zafran berterus-terang, dengan harapan mamanya akan mengubah keputusannya.
"No, Izz Zafran. Mama takkan terima perempuan lain selain daripada Nia Adellia sebagai menantu mama. Hanya dia yang layak untuk jadi isteri Zaf." Zafran lupa. Datin Zahra sejenis keras kepala juga.
Kalau dia kata 'A', maka yang terjadi mesti 'A'. Tak ada jadi 'B', 'C', atau 'D'. "Sampai hati mama...." Hanya itu yang mampu Zafran luahkan.
"Suatu hari nanti, Zaf akan berterima kasih pada mama, sayang. Percayalah cakap mama. Zaf akan bahagia dengan Nia, nak." Sempat dia menasihati anak bongsunya.
"Arghh! Kusutnya kepala aku! Takkan aku nak kahwin dengan perempuan yang aku dah anggap macam adik kandung sendiri? Ya Allah, tolonglah aku. Hana, Zaf perlukan Hana sekarang ni, sayang," bisik Zafran.
MALAM itu, Zafran tidak turun makan malam. Sengaja hendak tunjuk protes. Datin Zahra menjamah makan malam bersama anak sulungnya, Izz Zafril. "Zaf tak turun makan ke, ma?" soal Zafril apabila dia tidak melihat kelibat adiknya di meja makan.
"Dia merajuklah tu. Biarlah dia tenang dulu. Nanti pandailah dia cari makan," balas Datin Zahra. Sakit juga hatinya apabila anak bongsunya itu melawan cakapnya.
"Merajuk? Pasal apa pulak? Zaf tu jarang-jarang nak merajuk," komen Zafril.
"Dia merajuk sebab mama meminang Nia untuk dia. Kononnya tak nak kahwin dengan Nia. Itu yang merajuk sampai macam tu sekali," cerita Datin Zahra. Zafril mengangguk, faham. Patut pun Zafran merajuk.
"Mama tak rasa ke, mama patut bagi peluang pada Zaf untuk tentukan kebahagiaan dia sendiri? Takkan mama nak kesilapan yang pernah jadi kat Ril jadi pada Zaf pulak?" tegur Zafril. Dulu, Datin Zahra pernah berbuat perkara yang sama pada Zafril.
Zafril dipaksa berkahwin dengan sepupu sebelah arwah papanya. Namun perkahwinan mereka tidak kekal lama. Tidak sampai setahun, dia menyandang gelaran duda. Hubungan dengan sepupu arwah papanya itu pun terputus begitu sahaja.
Takkan mamanya hendak mengulang kesilapan yang sama? Bagaimana jika perkahwinan yang bakal berlangsung nanti berakhir dengan memori pahit? Bukan hanya hubungan suami isteri yang dipertaruhkan, malah hubungan kekeluargaan juga mungkin tergadai.
"Ril, mama tahu apa yang terbaik untuk Zaf. Pasal hal Ril dengan Fiya tu, jodoh kamu memang setakat itu saja." Mudah jawapan Datin Zahra. Zafril melepaskan keluhan kecil. Mamanya memang keras kepala. Simpati tumpah pada adiknya.
Walaupun dia tidak begitu rapat dengan Zafran, tetapi mereka tetap adik-beradik. Zafril tidak mahu Zafran menerima nasib yang sama sepertinya. Gagal di alam perkahwinan kerana mengahwini gadis yang tidak dicintai.
YOU ARE READING
MR. ICY LECTURER (complete ✅)
Любовные романы⚠️Strictly NO PLAGIATE!! ❗Idea penulis 100% ❗Sebarang kesamaan adalah secara kebetulan dan tidak disengajakan Benar, jodoh di tangan Tuhan. Jodoh datang dengan pelbagai cara. Dijodohkan dengan lelaki yang amat dicintai sejak kecil, adalah impian seo...