Setelah sekian lama aku bangun tidur tanpa ucapkan Alhamdulillah. Pagi ni aku bangun dan ucapan itu aku ucapkan seperti kebiasaanku dulu. Allah. Hampir menitis air mataku. Betapa aku gembira dan bahagia saat ini. Terasa lapang. Terasa tenang dan terasa aku kembali kepada-Nya. Bangun pagi ni pun tak perlu dipaksa. Aku terjaga bila terdengar bacaan surah Ar-Rahman. Sayup saja tapi aku masih boleh mengikutnya walaupun aku dalam keadaan separuh sedar. Aku buka mataku bila aku dengar laungan azan.
Damainya rasa hati.
Segera aku bangun dan menuju bilik air. Aku ingin mandi dan menyegarkan badanku. Sedang aku mengambil wuduk, seseorang mengetuk pintu bilikku. Wajah Farha terjengah bila aku suruhnya masuk.
"Kak, Ibu bagi baju untuk akak salin. Akak cubalah kalau muat. Ini customer Ibu bagi. Customer dia jual pakaian untuk orang berbadan besar. Kalau muat, bolehlah akak pakai. Kalau tak, terpaksalah akak pakai semula baju akak tu." Kata Farha dan meletakkan sepasang jubah yang kemas berlipat. Diatasnya pula diletakkan pakaian dalam yang juga masih baru dan masih ada tanda dagangan.
Aku ambil dan mencubanya. Aku sarungkan tanpa membuka bajuku. Alhamdulillah, muat. Farha keluar dengan titipan pesan dia menunggu aku diluar untuk solat subuh berjemaah.
Aku salin pakaianku. Kemas dan selesa. Wangi. Setelah itu, aku keluar bilik. Farha menunggu aku betul-betul diluar bilikku. Dia memberikan aku telekung dan kain pelikat. Dia pula sudah siap menyarung lengkap telekungnya. Dia kemudian menekan butang lif. Kami bertembung dengan Firas, Ayush dan Mawar yang sudah ada didalam lif.
Rupanya mereka menuju ke tingkat atas. Dibilik paling luas aku rasa. Dan aku rasa ini bilik Uncle Azril dan Cik Ibu Nita. Memang bilik ni sangat luas. Umar Khalif bangun dan melaungkan Iqamat. Uncle Azril dan Cik Ibu Nita pun bangun dan segera kami penuhkan saf.
"Ayush, Imam?" Tanya Uncle Azril. Segera Ayush ke depan dan mengimamkan solat kami.
Perasaan ketika itu sangat tenang dan mendamaikan. Sekali lagi aku teringatkan dia. Dia yang sangat aku rindui. Dia yang sentiasa berada didalam hatiku. Dia yang telah aku lukai dan telah aku lumatkan hatinya. Dia imamku selalu dan sudah lama tidak aku menjadi makmumnya.
Allah.
Perasaan ini sungguh membunuh mati hatiku. Aku sungguh rasa kehilangan. Aku rasa bersalah. Ingin saja aku lari untuk mencium kakinya memohon maaf. Bukan hanya padanya tapi juga pada semua insan-insan yang aku sayangi dan aku kasihi. Mama, abah, Abang Long Hasnul, Abang Ngah Hairul dan Mami. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakhbar.
Hebatnya kuasa-Mu Ya Allah. Sekelip mata aku boleh sedar dari kekhilafanku.
Selesai mengaminkan doa, semua mereka bangun. Aku ingatkan nak kemana. Rupanya bangun dan pergi ke satu ruang yang mengisi Al-Quran. Tersusun Al-Quran disitu. Padaku dihulurkan buku kecil serupa Buku Yaasin.
Mereka bukan membaca yaasin tetapi membaca surah Al-Waaqiah dan diteruskan dengan bacaan Mathurat. Allahu. Tenang betul mendengar mereka membaca secara berjemaah. Aku turut serta. Selesai itu, mereka berkumpul seketika mendengar pesanan dari Uncle Azril.
"Kita ni solat bukan hanya disebabkan oleh tanggungjawab. Jadikan solat itu sebagai jambatan untuk kita bertemu dengan Allah. Kita semua hendak bertemu Allah. Untuk bertemu Allah, kita kena mati. Tapi bagaimana cara mati yang kita nak? Tentu saja mati dengan husnul khotimah. Mati orang-orang beriman dan beramal soleh. Mati dalam keadaan baik dengan bekalan yang banyak. Macam mana nak dapatkan bekalan itu? Mulakan dengan solat. Sebab tanpa solat, kita tak ada akaun diakhirat. Puasalah banyak mana pun, sedekahlah banyak mana pun. Kalau kita tak buka akaun di akhirat, bagaimana semua itu hendak dimasukkan? Sia-sialah. Kan? Jadinya solat. Solat awal waktu. Solat dengan khusyuk. Saat solat, fokus hanya pada Allah. Lupakan dunia buat seketika. Kita sedang berjumpa dengan kekasih abadi kita. Allah subhanahu wataala." Kata Uncle Azril lembut. Aku lihat semua mata tertumpu padanya.
Aku juga. Dengan kelembutan suaranya. Dengan ketenangan diwajahnya. Dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya. Buatkan aku mahu terus memandang dan mendengar bait-bait pesanannya. Buatkan apa yang dikatakannya itu meresap masuk ke dalam mindaku.
Sesudah itu mereka bangun dan berdiri didalam saf. Aku binggung. Rasanya Dhuha masih belum masuk lagi. Aku berbisik pada Farha bertanyakan mereka hendak solat apa.
"Solat sunat Isyraq 2 rakaat. Sunat terbit matahari. Tanda syukur kerana Allah beri kita hidup sehari lagi." Kata Farha. Dia siap ajarkan aku lafaz niat.
Selesai solat, sekali lagi mereka ke ruang yang menyimpan Al-Quran. Kali ini mereka mengambil buku yaasin dan membacanya. Setelah itu mereka bangun untuk solat Dhuha 4 rakaat dengan 2 salam.
Subhanallah.
Patutlah rezeki mereka sentiasa murah. Mereka kejar Allah. Selesai Dhuha, baru mereka masuk ke bilik masing-masing. Aku ke bilik Farha. Hairan bila aku lihat dia hanya bermalasan diatas katil. Tahulah hari ni hari Ahad. Tapi bukankah sepatutnya dia sudah turun ke dapur untuk menyediakan sarapan.
"Farha, akak nak balik nanti." Kataku.
"Okey. Lepas kita sarapan, ya kak Nisa?" Katanya. Budak ini manja.
"Kita sarapan dekat mana?" Tanyaku.
"Dekat rumah saja." Balasnya.
"Siapa masak? Setahu akak, rumah ni tak ada orang gaji."
"Ayah."
"Ha?" Terkejut aku.
"Ayah yang rajin masak dalam rumah ni. Semalam tu, ayahlah masak. Abang Ayush kalau ada dekat rumah, dia tolong ayah masak. Abang Umar kalau dia rajin saja dia tolong ayah. Abang Firas, jangan harap. Dia tolong makan saja dia reti." Kata Farha. Girang.
"Sedap Uncle Azril masak tapi tu lah. Pedas. Akak tak tahan pedas. Mujur tak sakit perut semalam." Kataku.
"Ayah kalau masak, dia siap jampi. Sebab tu akan tak rasa sakit perut. Ayah kata, bila kita masak dengan cara bersih dan hati yang bersih, makanan tu pun bersih dari semua penyakit." Kata Farha lagi.
"Jampi apa?" Tanyaku. Pelik.
"Selawat dan zikir" Jawab Farha.
"Oooo"
"Sebenarnya, apa yang buat akak datang dekat sini?" Tanya Farha.
"Farha tak suka ke?" Tanyaku kembali.
"Bukan. Curious saja."
"Entahlah, Farha. Akak pun tak faham kenapa akak datang sini lepas kena penampar dengan abang Iwan." Ceritaku. Mungkin aku selesa bercerita berdua dengannya.
"Kena penampar? Sampai macam ni sekali?" Soalnya dan membelek wajahku.
"Ish, Abang Umar kata dia dah pesan pada uncle Iwan supaya sabar. Uncle Iwan ni." Kata Farha dengan kerutan diwajahnya. Aku hairan.
"Kenapa ni Farha?" Tak ada apa.
"Akak lepas ni, apa-apa, datang sini tau. Datang saja sini. Pintu rumah ni sentiasa terbuka untuk akak. Kalau semua tak ada, akak pergi saja ke Zaz Global. Tapi ibu dan ayah mesti ada dekat rumah kalau diorang tak keluar." Bersungguh-sungguh Farha pesan padaku.
"Ibu dan ayah tu romantik abiskan, Farha. First time akak jumpa mereka, selamba saja mereka berpelukan. Macam orang baru kahwin. Bukan sekadar peluk, siap cium. Bibir pula tu. Adoi... Romantik habislah." Kataku teringatkan saat itu.
"Ibu dan ayah tu memang macam tu. Ayah tu yang tak malu. Ibulah kata. tapi Farha tengok sama saja dedua. Tak malu langsung. Tapi Farha suka tengok. Nanti Farha dah kahwin pun nak ada suami macam ayah. Nak jadi macam ibu." Kata Farha. Matanya mula berangan masa depannya. Aku senyum.
"Amboi. cakap pasal kahwin." Usik Khai yang baru masuk ke bilik Farha yang memang terbuka.
"Bagitau Ibu dan ayah yang Farha dah gatal nak nikah." Kata Khai lagi.
"Mana ada, Farha kata kalau saja." Farha mempertahankan dirinya. Khai terus giat mengusik Farha. Nissa yang sama masuk dengan Khai tadi hanya memandang saja.
"Dahlah Khai, Farha. Jom turun." Kata Nisa.
"Jom kak Nisa. Jangan layan diorang berdua ni. Kalau dapat menyakat, nombor satu." Kata Nissa lagi bila Khai dan Farha tidak mengendahkan ajakannya.
"Jom" Kataku dan beriringan dengan Nissa.
YOU ARE READING
Gemuk Durjana
Romanceaku adalah si gemuk... ini kisah hidup aku... Aku Nisa. Dia Iwan. Iwan ingat senang nak mainkan perasaan aku kerana aku gemuk. Sebelum dia game aku. biar aku game dia dulu. Ini gemuk bukan sebarang gemuk. Tapi bila aku balik yang kena main. Sakitnya...