Kalau aku boleh bekukan bahagia otak aku yang tak sudah-sudah memikirkan episod-episod drama yang jadi bertimpa-timpa dalam minggu ni, sumpah aku bekukan! Kalau aku jumpa mana-mana budak aliran sains yang sungguh-sungguh menegakkan fakta yang otak kita ni terbahagi kepada macam-macam bahagian sampai kita mampu buat macam-macam perkara pada masa yang sama, serius aku hempuk kepala budak tu. Tengok kalau lepas kena hempuk dia masih mampu berdiri, berfikir sambil menangis pada masa yang sama.
Memang boleh aku teruskan kehidupan seharian aku walaupun kepala otak aku serabut. Boleh tu boleh, tapi tak sempurna. Semalam dapat job amik gambar bebudak grad. Biasalah, job macam tu selalunya diuruskan oleh sebuah syarikat fotografi besar. Aku sekadar menolong member aku Rudy yang kerja kat situ.
Dalam dok cuba sibuk-sibuk pun, sempat jugak Rudy menegur, "Ko kurang feel la keje hari ni."
"Uik? Apahal pulak? Gambar tak sharp ke?"
"Dengan gambar takde masalah. Ko tu... passion takde." tegurnya lagi.
"Mandai ke ko," cuma tu yang aku mampu balas. Malas nak berborak panjang pasal ni.
"Kita sama-sama belajar la dulu, Mir. Ko tu orang yang paling passionate aku pernah kenal kalau bab-bab amik gambar ni. Jadi bila passion tu hilang, senang aku tangkap," Rudy masih lagi mempertikaikan soal tu.
"Serabut," balasku ringkas.
"Eh, aku dengar hari tu Suhani masuk hospital ek?" Rudy tiba-tiba buka topik tu pulak.
"Ha'ah," jawabku, masih acuh tak acuh.
Menengokkan aku yang tak banyak memberi reaksi, Rudy pun diam seketika... tapi ekor matanya masih memerhatikan aku yang dok ralit mencari angle.
"Pasal tu ke to serabut?" Rudy memberanikan diri bertanya.
Aku memaksa diri untuk melepaskan tawa kecil. "Apasal pulak aku nak serabut pasal tu?"
Tapi aku tahu lakonan aku tak cukup berkesan sebab Rudy memandang aku dengan penuh curiga. Rudy ni memang terkenal dengan skil pemerhatian dia yang cukup mantap. Zaman universiti dulu kitorang selalu gak berganding tenaga, sebab Rudy orangnya teknikal sementara aku pulak kononnya ada raw talent.
"Kisah cinta ko ngan Suhani dulu sikit punya hot masa kat Germany dulu. Takkan kawan tu masuk hospital, ko leh lengai je kot?"
Eloklah tu, Shah dah nak blah, datang pulak pengganti dia sebagai tukang analisa keadaan ni.
"Lengai tu taklah. Ada jugak aku pegi melawat hari tu. Tapi dia dah okay, aku pun okaylah," jawabku dengan selamba.
"Ko pegi melawat jugak?" Rudy macam tak nak lepaskan jugak topik tu.
"Salah?"
"Bukan salah. Tapi ko bukan kata ko dah ada awek ke skang?" Eh, makin mendalam pulak soalan Rudy ni! Kuat pulak memori dia. Bulan lepas yang aku bagitau aku ada Jun, masa dia tanya aku free ke tak untuk job ni.
"Dah tu?"
"Hai... awek baru takkan tak marah gi melawat awek lama kat spital?" Rudy mengusik.
Aku diam. Aku terkenang pada artikel Jun yang mencatitkan pertemuan antara dia dan Suhani. Huh, Cerekarama! Kalau aku dapat bayaran jadik pelakon utama takpe gak!
"Ha! Diam je ni. Mesti kes awek baru mengamuk pasal awek lama ni," Rudy membuat kesimpulan sendiri.
"Hai... nak buat cemane. Orang pompuan, cepat emosi,"
"Eleh, ko patut faham ler kalau camtu," balas Rudy dengan selamba, sekaligus membuatkan aku tersentak.
Aku cukup faham apa yang Rudy maksudkan. Bukan pertama kali Rudy menyindir aku macam tu, jadi sepatutnya aku memang dah biasa dengan sindiran dia. Tapi dalam keadaan otak aku serabut nih, aku rasa tangan aku ni ringan je nak.... nak....
Sabar, Mir, sabar. Ko tengah keje ngan orang ni. Dia yang bagi job ni kat ko.
Aku tak banyak bercakap dah dengan Rudy sepanjang petang tu. Aku rasa dia pun tahu yang aku terasa dengan dia. Gaya dia jadi terlebih gentleman pulak ngan aku. Menyampah pun ada gak. Tapi takde masa aku nak meletakkan Rudy kat tengah-tengah keserabutan aku yang sedia kompleks ni.
Pagi ni, kata-kata Rudy masih terngiang-ngiang di telinga aku. Kata-kata tu berselang-seli dengan tajuk artikel Jun... 20 Sebab Kenapa Perempuan Pilih Perempuan....
Sebab tu ke aku mudah dapat awek? Sebab tu ke awek orang mahupun tunang orang boleh jatuh ke tangan aku? Aku ada kelebihan yang kaum lagi satu tu tak ada. Mungkin di bawah sedar, aku sekadar seronok menggunakan kelebihan yang aku ada tu.
Tak mungkin. Ini memang naluri aku. Aku yakin. Dan yang meyakinkan aku ialah ketika aku jatuh cinta dengan Suhani. Aku tak berpura-pura jadi orang lain. Aku bukan sekadar bermain-main dengan perasaan. Aku memang selesa di sisi Suhani, dan memang aku rasakan itu tempat aku.
Dan aku hampir rasakan perkara yang sama dengan Jun.
Hampir.
Belum sempat aku meleraikan kekusutan dalam kepala otak aku sendiri, telefon bimbit aku berdering.
Tolong bukan Jun.
Genap seminggu aku tak berhubungan dengan dia. Dalam sehari, sekurang-kurangnya 2 kali dia menelefon aku. Aku tak pernah jawab. Aku rasa dia mesti tahu yang rahsia dia dah terbongkar. Mesti dia dapat jangka apa yang membuatkan aku berubah angin. Memanglah! Dah ko sendiri yang cari pasal! Padan muka. Pergilah cari balik boyfriend asli ko tu!
Kadang-kadang bait-bait buah fikiran yang berbunyi keanak-anakan ni berjaya jugak menyelinap masuk ke dalam mindaku. Tapi kejap je, sebelum hati aku mampu mengatasinya dengan satu kenyataan yang benar tapi pahit....
Aku masih sayang pada Jun. Dari sayang tulah wujudnya perasaan benci yang membuak-buak ni.
Aku memandang skrin telefon bimbitku yang masih berdering. Tertera nama Black di situ. Ah, ni mesti nak bertanya pasal Jun jugak! Aku dah boleh agak ayat mukadimah dari Black.... "Weh, apa cite ko ngan Jun ni?"
Kolej tu bayar gaji dia suruh mengajar, keje dia dok nak bergosip je. Mengalahkan pompuan. For once, can't everybody just leave me alone!
Dan aku sedari.... sebenarnya permintaan aku tu dah pun dipenuhi.
YOU ARE READING
KELABU (Novel)
Teen FictionSenang kalau hidup dalam dunia hitam putih. Baik-buruk, betul-salah, cinta-benci, lelaki-perempuan. Apa jadi pada yang di tengah-tengah? Apa jadi pada orang-orang macam aku? Bila Jun datang pada aku, menawarkan posisi sebagai 'boyfriend kontrak', ak...