Di ruang luar bilik mayat hospital kelihatan beberapa waris dari keluarga Encik Marzuki sedang menunggu jenazah untuk dimandikan dan dikafankan oleh pihak hospital. Hanif , Hanisah, Hasrul , Zaki dan Laila Azwa serta beberapa orang keluarga Encik Marzuki yang lainnya sabar menunggu selesainya jenazah untuk dibawa pulang ke rumah buat tatapan terakhir ahli keluarga yang lain.
"Ayah, kenapa ayah tinggalkan kami semua. Laila tak dapat bercakap dengan ayah pagi tadi. Kenapa ayah tak panggil Laila..."
Bengkak mata Laila Azwa sedari tadi menangisi ayah mertua yang sangat dikasihi. Tadi dia sempat melihat jenazah ayah mertuanya. Wajah yang bersih dan tenang , cuma kelihatan matanya yang sedikit renggang. Sekarang anak lelaki Encik Marzuki sedang membantu bilal memandikan jenazah ayah mertuanya di dalam bilik mayat.
Sebenarnya Laila Azwa terasa ralat kerana tidak dapat bercakap dan bersua muka dengan ayah mertuanya pagi tadi. Padahal setiap pagi ayah mertuanya itu akan menegurnya di dapur dan berbual sebelum mereka bersarapan. Pagi ini dia terlewat keluar dari bilik dan ayah mertuanya sudah pun keluar dari rumah.
Pesan ayah mertuanya pada kak Suria juga merobek hatinya. Sedih teramat sedih. Seolah-olah ayah mertuanya dapat merasa yang dia akan meninggalkan dunia ini. Tolong tengok-tengokkan Laila. Itulah pesanan akhir ayah mertuanya pada kak Suria sebelum dia keluar dari rumah pagi tadi.
Tiada lagi ayah Zuki yang selalu memanggil Laila Azwa di awal pagi. Tiada lagi pertanyaan lelaki itu, Laila buat sarapan apa? Laila jaga kandungan baik-baik. Laila check up di hospital ayah akan bawakan Laila. Laila baik-baik naik dan turun tangga tu. Semua pesanan itu tidak akan didengari lagi selepas ini.
Tiada lagi gurauan dan senyuman ayah mertuanya setiap hari. Sekarang yang tinggal hanya kenangan yang baik-baik Encik Marzuki dalam hidup Laila Azwa. Lelaki tua yang banyak menyebelahi Laila Azwa bila Laila diperlakukan oleh keluarganya yang lain.
Kelihatan Amran yang memapah Hanif menghampiri Laila Azwa. Nampak merah mata suaminya yang amat bersedih kehilangan ayah tercinta.
"Sayang, sayang okey tak ni? Sayang nak balik dulu tak berehat dekat rumah?" Risau Hanif melihat keadaan isterinya yang sarat itu. Hampir dua jam berada di hospital menunggu mayat Encik Marzuki diuruskan , takut Laila Azwa kepenatan.
"Laila okey. Abang jangan risau ye. Laila nak tunggu sampai jenazah ayah siap. Laila nak temankan ayah..." Tidak dapat meneruskan ucapannya kerana terlalu sebak.
Hanif mengusap bahu isterinya bagi menenangkan si isteri.
Hanisah yang duduk di hujung ruangan menunggu di luar bilik mayat itu datang menghampiri Hanif dan Laila Azwa. Duduk bersebelahan Laila Azwa.
"Anif, Laila... Tadi ayah sempat datang rumah kak Nisa . Sebelum tu dia ke rumah abang Arul. Sempat ayah pesan kak Nisa suruh jaga Laila elok-elok." Berhenti sebentar Hanisa dari meneruskan bicaranya. Air mata dikesat.
"Akak ada pelawa ayah sarapan tapi ayah kata nak balik sarapan dengan Laila dan Anif. Dia ada bagi tahu akak, dia pening. Akak tahan ayah jangan balik dulu, rehat dekat rumah akak tapi ayah nak balik juga. Ayah kata takut Laila tunggu dia lama untuk bersarapan nanti. Ayah kata pagi ni dia belum jumpa Laila dan Anif lagi. Dia nak..." Hanisa tidak dapat menghabiskan bicaranya lagi.
Menangis teresak-esak dia sambil memeluk Laila Azwa yang turut sama menangis. Hanisa tahu Laila Azwa lebih bersedih kerana dialah yang paling rapat dengan Encik Marzuki dalam setahun ini. Encik Marzuki juga terlalu sayangkan Laila. Nama Laila Azwa selalu disebutnya setiap kali dalam perbualan mereka anak beranak.
"Anif, jenazah ayah dah siap diuruskan. Sekejap lagi van jenazah akan bergerak bawa jenazah ayah pulang ke rumah sebentar," ujar Hasrul yang baru keluar dari bilik mayat.

YOU ARE READING
Ratu hatiku Laila (Completed)
RomanceCover author @karlisXXX. Kisah seorang gadis kampung yang melarikan diri pada hari pernikahan bersama lelaki yang dicintai. Laila Azwa! Memang inilah nama dan wajah yang sering menghantui dirinya setiap detik. Bencinya bersebab. Sekarang aku tida...