Bab88 Tiada Peluang Buat Hasmira

2.9K 151 122
                                    

Seperti yang dijanjikan pada ibunya, Hanif mengambil cuti kecemasan. Nasib boss Hanif adik ipar Laila Azwa, jadi senang diberi perlepasan. Selepas solat subuh dia menelefon Laila Azwa seperti selalu. Berbual dan melepaskan rindu pada isteri tercinta. Menunggu hujung minggu untuk berjumpa Laila Azwa terasa lambat sangat.

Lagi empat hari baru dia dapat bersua muka dengan isterinya. Video call yang dibuat dirasakan tidak puas seperti bertemu muka dengan isterinya secara berhadapan.

Selesai memberi nasihat agar isterinya menjaga kandungannya dan mengucap kasih dan sayang , dia mematikan perbualan. Sekarang masa untuk menjenguk ke dapur pula.

Di dapur, Hanif membuka peti sejuk dan melihat apa yang ada untuk dibuat sarapan. Kepala digaru-garu tidak tahu hendak mula dari mana. Akhirnya dia mengambil telur dan memasak nasi. Nasib dia pandai juga memasak nasi. Makan nasi dan telur kicap ajelah, fikir Hanif. Beberapa biji telur yang digoreng sudah hitam legam. Jadi tong sampah tempat letak telur itu. Akhirnya dia mendail nombor telefon Amran.

"Salam , Amran. Kalau awak datang ke sini, tolong belikan saya sarapan. Tak kisahlah sarapan apapun. Terima kasih ."

Akhirnya Amran juga sasarannya untuk membeli sarapan pagi ini.

Masuk ke bilik Puan Hasnah untuk menjenguk ibunya. Ibunya sudah bangun dan cuba mengesot untuk duduk di atas kerusi rodanya.

"Ibu, biar Anif tolong ibu." Hanif menolong ibunya duduk di atas kerusi roda itu.

"Terima kasih Anif. Kalau takde Anif, siapalah yang ibu nak harapkan." Sayu suara Puan Hasnah dan menyebabkan Hanif berasa sebak.

"Ibu janganlah cakap macam tu. Anif kan ada ni. Lagipun kak Nisa dan abang Rul pun ada ."

Puan Hasnah mengangguk perlahan. Dalam hatinya cuma berkata yang Hanif tidak sama dengan kedua anaknya yang lain. Mereka tidak terlalu prihatin macam Hanif. Mungkin kerana mereka tidak serumah dengannya. Teringat dia akan arwah suaminya. Air mata menitis di pipi. Kalau arwah itu ada pasti dia tidak perlu menyusahkan Hanif sangat.

"Kenapa ibu menangis? Anif ada kecilkan hati ibu ke?"

Tangan Hanif dicapai dan digenggam erat.

"Anif anak yang baik. Tak pernah Anif kecilkan hati ibu. Ibu aje yang paksa Anif asyik dengar cakap ibu . Ibu aje yang asyik menyusahkan Anif. Maafkan ibu Anif."

"Hish, ibu janganlah cakap macam tu. Anif taknak ibu minta maaf dengan Anif. Dah , ibu rehat dulu ye? Nanti Amran datang, Anif bawakan sarapan untuk ibu. Tadi Anif ada goreng telur tapi telur tu jadi arang."

Tergelak Puan Hasnah sambil mengelap sisa airmata di pipinya. Memang dari dulu lagi Hanif tidak pandai hal-hal di dapur.

"Anif taknak pergi jumpa isteri Anif ke? Kalau Anif nak pergi, suruh isteri abang Arul kamu datang tengokkan ibu."

Terkejut Hanif dengar bicara ibunya. Kenapa ibunya tidak kisah pula ni? Ibunya sudah dapat menerima Laila Azwa ke?

"Takde ibu. Esok Anif dah kerja, lepas tu Laila tak benarkan Anif tinggalkan ibu. Kalau nak jumpa dia hujung minggu aje."

"Anif jangan salah faham pulak. Ibu tak bermaksud nak sukakan isteri Anif tu. Ibu tetap tak suka dia." Terketar-ketar Puan Hasnah meluahkan kata-katanya. Benci ke dia pada Laila Azwa atau disebabkan ego dan malu terpaksa dia berkata begitu.

Hanif melepaskan keluhan perlahan. Sangkanya ibunya sudah boleh menerima isterinya tapi rupanya tidak.

"Takpelah ibu. Ibu rehatlah. Anif nak keluar tengok Amran sekejap."

Puan Hasnah memandang Hanif dengan pandangan yang sayu. Dia terpaksa walaupun hatinya tidak seperti luahannya.

"Maafkan ibu , Anif..."

Ratu hatiku Laila (Completed)Where stories live. Discover now