Selepas selesai membersihkan diri pagi itu, Hanif bersusah payah dan berusaha seorang diri bergerak menggunakan kerusi roda untuk keluar dari bilik air. Dia sudah siap mengambil wuduk kerana dia tahu pergerakannya yang lambat, malah sebab seorang diri melakukannya tanpa sesiapa membantu pasti dia akan mengambil masa yang lama.
Semasa dia keluar dari bilik air, azan subuh sudah berkumandang. Maka dia terus menyediakan diri untuk solat Subuh. Dia hanya solat di atas kerusi roda itu sahaja.
Selesai solat Hanif masih lagi berada di kerusi roda itu. Dia mula melakukan senaman seperti yang diajar oleh jurupulih anggota. Hari ini jurupulih itu akan datang lagi. Pasti lelaki itu mahu melihat prestasi Hanif setelah tiga hari dia tidak datang.
Pintu bilik ditolak oleh seseorang.
"Awal bangun... dah mandi? Dah solat ke?" Encik Marzuki muncul di muka pintu itu. Sudah siap dengan pakaian kerjanya.
"Dah ayah...."
Encik Marzuki masuk dengan membawa segelas susu dan sedikit biskut.
"Hanif makan ni dulu ye. Lepas tu makan ubat. Nanti Suria datang dia akan sediakan sarapan yang lain. Ayah sibuk sikit hari ni kat pejabat."
"Ye lah.... terima kasih ayah." Entah kenapa pagi ini Hanif merasa ingin mengucapkan terima kasih pada ayahnya. Pagi ini baru dia nampak betapa sabar ayahnya melayan dirinya dan juga ibunya.
Tiba-tiba dia teringat akan ibunya. Sudah lama dia tidak ke bilik ibunya. Dia asyik melayan tekanan perasaaan hingga tidak pedulikan ibunya. Entah apa khabar ibunya kini. Dia juga melepaskan tekanan itu dengan melakukan perkara yang tidak senonoh bersama Hasmira. Pelik juga En Marzuki dengan terima kasih dari Hanif itu. Sebelum ini Hanif banyak berdiam dan bercakap pun bila perlu sahaja sejak kemalangan dulu.
"Ibu apa khabar ayah?"
"Ibu baik je. Nampak ada perubahan sikit.... ibu dah boleh cakap pelan-pelan. Kira boleh la kita faham apa yang ibu cakap."
"Ohhh ye ke. Ayah, sebelum ayah pergi kerja, tolong tolakkan Hanif ke bilik ibu. Dah lama Hanif tak berbual dengan ibu."
Permintaan itu membuat En Marzuki bertambah pelik. Hatinya sedikit risau. Manalah tahu akan berlaku sesuatu yang tak terduga samada kepada Hanif atau isterinya.
"Ye lah.... Hanif makan lah dulu. Makan ubat tu, lepas tu ayah datang semula bawa Hanif ke bilik ibu."
🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹
Encik Marzuki telah bergerak ke tempat kerja. Hanif kini berada di bilik ibunya. Sementara itu Suria di dapur sedang menyediakan sarapan pagi untuk Puan Hasnah dan Hanif.
Hanif dan Puan Hasnah asyik berbual. Banyak benda yang mereka bualkan. Dari hal kesihatan mereka hingga ke persoalan alam rumah tangga Hanif.
"Anif... betul ke.... aaa....ayah kata Anif... akan berpisah..... dengan Laila nanti...?" tutur Puan Hasnah perlahan.
Hanif tidak terkata apa. Memang dia ada berhasrat begitu.
"Ma...maaf ibu.... ini seeemua.... salah... ibu. Ibu.... tak tahu..... Laila tu perangai tak elok. Ibu ingat.... gadis kampung..... sopan santun. " Puan Hasnah mencapai tangan Hanif seolah kesal dengan pilihannya.
"Tak pe ibu. Anif tak salahkan ibu."
"Ibu.... ibu suka.... kalau Anif cerai..... Laila. Mira ada.... datang berbual.... dengan ibu.... beberapa hari lepas. Mira ca....cakap Anif nak pinang..... dia nanti."
"Entahlah ibu, Anif pun tak tahu bila Anif akan boleh berjalan atau tak. Anif takut selamanya atas kerusi roda ini je."
Hanif mula merasa tertekan dan bimbang. Sedalam mana pun kasih sayang tapi jika suami cacat sepertinya selama mana pula seorang isteri akan bertahan. Tambahan pula gadis secantik Hasmira. Pasti gadis itu ingin berjalan-jalan dengan suami dan bersuka ria ke sana sini. Mengingatkan itu, Hanif menarik nafas dalam. Kejadian petang semalam bermain di mindanya bagaimana Hasmira membebel dan lari meninggalkannya selepas dia terbuang air besar di lantai. Begitukah sikap perempuan yang mengatakan sayang padanya?
"Huh...." Hanif mengeluh kasar. Dalam hatinya berdetik perempuan semua sama, sayang bila lelaki berduit dan sihat. Jika semua itu tiada, maka sayang pun melayang.
"Ke... napa Anif mengeluh...?"
"Tak ada apalah ibu. Ibu berehatlah, Anif minta diri ke bilik Anif ye..."
Hanif menyalami ibunya dan mula menggerakkan kerusi rodanya keluar dari bilik itu. Lagipun sekejap lagi jurupulih akan datang membantu dia menjalankan latihan fizikal pada kakinya.
"Hah, En Hanif, akak dah letak sarapan kat bilik encik. Pergilah makan. Kejap lagi nak senaman. Jurupulih tu pun dah datang. Ada dalam bilik encik."
Suria terus memasuki bilik Puan Hasnah dengan membawa sarapan untuk wanita itu. Hanif terus bergerak menuju ke biliknya.
Hanif menyapa jurupulih anggota yang sedang berbual dengan Amran. Rupanya Amran pun telah tiba. Rasa hendak marah juga pada Amran kerana hal semalam kerana meninggalkannya. Tapi dia malu pula hendak bersikap baran depan jurupulih itu.
Selepas berbasa basi sedikit sebanyak, Hanif memohon untuk makan dulu.
Selepas beberapa ketika, sesi senaman pun bermula. Hanif mula diminta melakukan senaman yang diajar sebelum ini. Malah kekuatan kaki Hanif juga diuji. Amran banyak membantu apabila Hanif diajarkan cara untuk berdiri di tepi katil dan juga cara imbangkan badan.
"Kena banyak berlatih ni Encik Hanif.... jangan sampai otot kaki mengecut kerana tiada aktiviti..."
Sesi latihan diteruskan sambil jurupulih itu berceloteh.
"Kaki encik ni malam-malam kalau tak senaman, minta isteri urut bagi lancar pengaliran darah."
Jurupulih itu terus berkata, Hanif berdiam sahaja meneruskan senaman. Dia teringat akan Laila, sekali sahaja Laila mengurut kakinya, selepas itu sudah tiada siapa yang mahu mengurut kakinya.
🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹
Malam itu selepas makan malam, Hanif melayan perasaannya lagi di atas katil. Laila Azwa dan Hasmira datang bersilih ganti dalam fikirannya.
"Kenapa aku rasa serba -salah pulak ni?"
Hanif merasa geram akan dirinya yang tidak dapat membuat keputusan. Ini semua gara-gara sikap Hasmira yang jijik padanya kelmarin. Jika tidak tentu dia mudah dalam membuat pilihan siapa kaca dan siapa permata. Sekarang di mata Hanif Hasmira dan Laila Azwa, kedua-duanya adalah kaca yang sedang menghiris hatinya.
Ternyata hatinya tidak dapat menilai yang mana satu permata.
Malam itu Hanif bermimpi lagi..... kali ini mimpinya berlainan pula. Dia di dalam lorong yang gelap. Dari kejauhan dia dapat melihat kawasan yang agak terang. Perlahan dia merangkak ke arah kawasan terang dan bercahaya itu. Semakin hampir semakin dia dapat bangun dan berjalan. Sampai sahaja di kawasan bercahaya itu dia dapat melihat seorang perempuan. Ternyata dia mengenali perempuan itu. Tiada senyuman di wajah perempuan itu.
Hanif berupaya berjalan apabila memasuki kawasan bercahaya itu. Namun perempuan yang berbaju putih itu pula semakin mengundur ke belakang seolah ditarik oleh seseorang. Hanif melihat ke arah si penarik di belakang wanita itu, ternampak seorang kanak-kanak yang merah berdarah menarik perempuan itu. Ternyata itu adalah lembaga kecil yang hadir dalam mimpinya malam tadi.
Hanif ingin berkata jangan tarik perempuan itu tapi dia tidak ada upaya. Oleh itu Hanif berusaha mencapai tangan wanita itu. Dia berusaha untuk tidak melepaskan tangan perempuan itu.
"Jangannnnn bawa diaaa....." Hanif menjerit kuat apabila lembaga itu menarik dengan kasar perempuan itu jauh darinya.
Hanif cemas, lalu menjerit kuat.
"Lailaaaaaaaa......"
Terus dia tersedar.
"Ya Allah, mimpi dia lagi. Laila dalam kesusahan ke?" Hanif mula risau dengan mimpi yang pelik selama dua malam itu. Peluh merenek pada dahinya.
Jam baru pukul 3 pagi, namun Hanif sudah tidak dapat tidur.
Bersambung.
Tadaaaaa... Terimalah bab baru BDL. Semoga yg membacanya akan terhibur.Terima kasih D ✌️😍🌷 dan semua ✌️🌷🌷🌷💐 yang sentiasa support cerita Sab.
Doa Sab semoga anda semua sht sejahtera dan dilindungi Allah SWT selalu. Aamiin...Take care.#staysafe.✌️🌷🌷🌷🌷🌷🌷
YOU ARE READING
Ratu hatiku Laila (Completed)
RomansCover author @karlisXXX. Kisah seorang gadis kampung yang melarikan diri pada hari pernikahan bersama lelaki yang dicintai. Laila Azwa! Memang inilah nama dan wajah yang sering menghantui dirinya setiap detik. Bencinya bersebab. Sekarang aku tida...