Hutan Belantara yang tebal itu masih belum diusik. Kedamaian Kerajaan Phang masih terpelihara. Penempatan rakyat jelata di sepanjang sungai terus menghubungkan Kota Inderapura dan istana DiRaja.
Puteri Onang Sari duduk disamping ibu tirinya, Permaisuri Ratna Gumilah Sari. Mereka berdua memerhatikan Raja Husien bermain-main.
"Sampai bila kita akan menumpang di sini, bonda..." Keluh Puteri Onang Sari. Permaisuri Ratna Gumilah Sari memeluk anak tirinya erat.
"Bonda pun tidak tahu sampai bila kita akan berada di sini. Tuanku telah memerintahkan Datuk Temenggung DiRaja membawa kita ke mari" Kata Permaisuri Ratna Gumilah Sari.
"Bonda, benarkah Kerajaan Johor-Riau telah di rampas oleh Kerajaan Jambi?" Soal Puteri Onang Sari. Matanya merenung Bondanya.
"Itulah yang terjadi....Kita tidak mampu melawan mereka kerana Tuanku tidak ada ketika itu.." Jawab Permaisuri Ratna Gumilah Sari.
"Anakanda tidak faham mengapa Jambi sanggup menyerang Johor-Riau, bukankah mereka bersaudara dengan Ayahanda" Kata Puteri Onang Sari sambil membetulkan tanjak yang dipakai Raja Hussein.
"Mungkin peperangan ini kerana Puteri Selolor Pinang....." Jawab Permaisuri Ratna Gumilah Sari perlahan.
"Mengapa dengan Puteri Selolor Pinang, bonda? Bukankah baginda Puteri Kerajaan Jambi?" Soal Puteri Onang Sari ingin tahu.
"Ya anakanda. Puteri Selolor Pinang adalah Puteri Kerajaan Jambi. Mereka tiada waris lelaki! Perkara ini telah lama berlaku ....banyak negeri dibawah naungan YM Tuanku Sultan Mahmud Shah inginkan hubungan mereka dengan Melaka lebih rapat lagi..malah mereka mahu menjalin hubungan persaudaraan dengan Melaka sebelum ini" jelas Permaisuri Ratna Gumilah Sari.
"Hubungan rapat sebagaimanakah bonda? Bukankah Ayahanda adalah ketua Raja-Raja Melayu dari Kepulauan Nusantara ini? Hubungan apa yang bonda maksudkan?" Soal Puteri Onang Sari kurang faham. Dahinya berkerut memikirkan perkara itu.
"Sebelum ini banyak negeri di bawah naungan Tuanku terlalu menginginkan hubungan putera atau puteri mereka dikahwinkan dengan pewaris Takhta Kerajaan Melaka. Tujuan mereka untuk mendapat perlindungan daripada Melaka sebelum ini. Tetapi Tuanku tidak menerima kesemua permintaan negeri-negeri dibawah naungan baginda. Ini kerana bonda dan ayahanda tidak punya pewaris takhta..." Cerita Permaisuri Ratna Gumilah Sari.
"Bukankah Ayahanda Puteri Buih ada? Maksud anakanda Putera Raja Awang Pattani.."Soal Puteri Onang Sari kehairanan. Dia sendiri tidak pernah bertemu dengan satu-satunya anak lelaki dewasa Sultan Mahmud Shah itu.
"Masalah yang Ayahanda dan bonda hadapi adalah Putera Awang tidak pernah menetap di Melaka ataupun Johor-Riau. Pendek kata baginda selalu jauh dari kami. Namun begitu baginda satu-satunya anak lelaki bonda. Tapi baginda telah di besarkan di Siam. Malah segala ilmu perlayaran dan peperangan daripada Ayahanda telah diperturunkan kepada Putera Awang sejak baginda kecil lagi.."Cerita Permaisuri Ratna Gumilah Sari.
"Maksud bonda, Putera Awang telah dihantar belayar sejak baginda kecil lagi?" Soal Puteri Onang Sari.
"Benar anakanda. Putera Awang akan mengikut orang-orang Ayahanda belayar ke Laut sejak berumur 9tahun lagi. Baginda di ajar sebagai Bajak Laut...bukan sebagai Putera Raja" jelas Permaisuri Ratna Gumilah Sari tunduk. Air mata keibuannya jatuh satu persatu. Dia kesal kerana tidak dapat membantah kehendak suaminya. Putera Awang dilatih dengan keras. Malah satu-satunya anak lelakinya itu membesar sebagai seorang Panglima! Bukan sebagai seorang Putera Raja.
"Jadi mengapa Raja-Raja Melayu di bawah naungan Tuanku masih ingin menjalinkan hubungan Perkahwinan dengan Keluarga DiRaja Melaka sedangkan mereka tahu ayahanda tidak punya pewaris takhta ketika itu" kata Puteri Onang Sari kesal.

ANDA SEDANG MEMBACA
Puteri Buih 2
FantasySebuah kisah perjalanan hidup seorang Puteri yang dikenali sebagai Puteri Buih dari Kerajaan Melayu lama pada abad ke 15 . Kepayahan dan kesungguhan tokoh tokoh Melayu dalam memperjuangkan bumi Melayu. Pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharap seba...