Jamilah membawa Tuah dan para pengikutnya ke sebuah perkampungan yang mempunyai pondok-pondok yang sama binaannya. Ia adalah pondok mengaji yang dibina di tengah hutan belantara. Terdapat beberapa buah pondok lagi di situ. Namun pondok mengaji itu seperti tidak berpenghuni. Tuah dan Datuk Bendahara Perak saling berpandangan apabila mereka tiba di hadapan tangga pondok itu.
"Dipersilakan naik, Tuan Hamba. Ini adalah pondok mengaji untuk Tuan Hamba. Ada beberapa lagi pondok seperti ini di belakang. Ia Boleh diberikan kepada para pengikut Tuan Hamba" Terang Jamilah kepada Tuah.
"Baiklah, terima kasih diucapkan kepada saudari kerana menolong kami semua" Balas Tuah tersenyum. Jamilah hanya menundukkan wajahnya.
" Tidak mengapa, Tuan Hamba. Sudah menjadi adat kami di sini saling membantu kepada mereka yang di dalam kesusahan" Kata Jamilah tersenyum lagi. Wajah Jamilah yang polos itu masih dilitupi kerudung kuningnya.
"Kalau begitu kami masuk ke dalam dahulu untuk berehat. Nampaknya pondok ini telah lama tidak berpenghuni, kami perlu membersihkannya dahulu" Kata Datuk Bendahara Perak menepuk bahu Tuah yang asyik memandang Jamilah. Tuah terkejut kemudian berpura-pura membetulkan lilitan kain di kepalanya. Datuk Bendahara Perak tahu Tuah mulai terpikat dengan anak Syeikh itu.
" Baiklah, kalau begitu kalian semua bolehlah berehat dan memilih pondok-pondok dibelakang ini untuk dijadikan tempat berteduh. Cuma...." Kata-kata Jamilah terhenti seketika. Matanya merenung Puteri Buih.
"Cuma apa, Saudari?" Soal Datuk Bendahara Perak mengerutkan dahinya.
"Cuma,... Puteri kecil ini perlu mengikut saya kerana dia seorang perempuan. Tak manis tidur di pondok bersama kaum laki-laki" Terang Jamilah tersenyum. Puteri Buih dan Datuk Bendahara Perak saling berpandangan. Datuk Bendahara Perak mengangguk-angguk memberikan isyarat kepada Puteri Buih agar menuruti kata Jamilah. Anak gadis sunti itu akur mengikuti Jamilah berjalan kaki. Dia meninggalkan pondok mengaji Tuah dan Datuk Bendahara Perak. Raden Putra menghantar pemergian Puteri Buih dengan ekor matanya. Terpaksalah dia berpisah dengan Puteri Buih buat seketika.
Jamilah membuka pintu pagar yang diperbuat daripada buluh. Di atas pintu pagar buluh itu menjalar pohon-pohon Boughavilla dihiasi bunga-bungaannya yang mekar Indah berwarna-warni.
" Oh ya, siapa nama Tuan Puteri?" Soal Jamilah sambil menoleh kepada Puteri Buih.
" Nama saya Puteri Walinong Sari timang-timangan Puteri Buih. Tapi lebih molek dipanggil Prabhu" Jawab Puteri Buih dengan ramah sekali. Jamilah mengukir senyuman lalu mengangguk-angguk.
"Nama kakak Jamilah. Prabhu boleh panggil kakak sahaja. Silalah masuk, Prabhu" Pelawa Jamilah menolak dengan luas pintu pagar buluh dihadapannya. Puteri Buih melangkah masuk mengikut Jamilah dari belakang. Pintu gerbang itu dipenuhi pohon-pohon Boughavilla yang terjuntai di atas pagarnya. Tingginya sehingga mencecah bumbung sebuah rumah. Kelihatan sebuah rumah berwarna putih tersergam indah. Separuh dinding rumah itu dihiasi batu berkilat dan berwarna warni. Terdapat empat buah menara setinggi pohon-pohon kelapa di setiap penjuru rumah itu. Menara itu dihiasi kubah kecil pada bumbungnya. Sementara diatas bumbung rumah itu terletak pula kubah yang besar berwarna kuning keemasan.
Puteri Buih mengikuti Jamilah berjalan di atas susur gajah rumah itu. Pada mulanya Puteri Buih melihat rumah itu tiada berpenghuni, namun lama kelamaan kedengaran suara orang mengalunkan bacaan yang mendayu-dayu dari dalam ruang rumah.Ia seperti suara orang yang sedang solat.
Jamilah menarik sebuah langsir apabila tiba di hujung bangunan itu. Puteri Buih menoleh ke ruang tengah bangunan itu. Terdapat beberapa kelompok manusia di dalam bulatan sedang mengikut seorang ketua mereka membaca sebuah Kitab yang tersangatlah besar di hadapannya. Kesemua kelompok itu menuruti bacaan ketua mereka dengan perlahan-lahan.
" Kak..."Panggil Puteri Buih terhenti di tangga untuk naik ke atas rumah itu. Tangga itu diperbuat dari kayu yang sungguh tebal dan dilapisi atasnya dengan sutera berat berwarna kuning.
"Ya, Prabhu. Mengapa berhenti di situ? Naiklah" Ajak Jamilah tersenyum.
" Prabhu ingin tahu apakah yang mereka buat?" Soal Puteri Buih menundingkan jarinya kepada kelompok yang sedang mengalunkan suara mereka mengikut ketua-ketua mereka yang membaca sebuah Kitab yang besar.
" Mereka sedang mengaji Al-Quran, Prabhu" Jawab Jamilah tersenyum manis.
"Al-Quran?" Wajah Puteri Buih berkerut. Dia pernah mendengar tentang Al -Quran tetapi dia tidak pernah melihatnya.
"Ya, Kitab Al -Quran itu dibawa oleh Ibnu Batutta kepada Kerajaan Pasai beberapa puluh tahun dahulu. Tak banyak yang dapat 'kami' selamatkan dan sembunyikan di sini" Jelas Jamilah.
" Boleh Prabhu melihat Kitab yang besar itu?" Soal Puteri Buih teruja.
" Boleh. Tapi hari ini Prabhu beristirehatlah dahulu. Mari kakak tunjukkan bilik Prabhu" Ajak Jamilah menarik tangan Puteri Buih.
Bilik beradu Puteri Buih telah disediakan di atas rumah berwarna putih itu. Senibinanya cukup indah dan Puteri Buih belum pernah melihat rumah yang dibina dengan senibina begitu.
"Prabhu berehatlah dahulu. Jika Prabhu ada masalah bolehlah panggil nama kakak. Nanti kakak akan datang " Pesan Jamilah. Puteri Buih tersenyum mengangguk-angguk dan berjalan ke arah hiasan di atas sebuah meja. Terdapat sebilah sisir rambut dan sebuah cermin disitu. Puteri Buih menatap wajahnya di dalam cermin itu. Matanya bersinar penuh semangat dan teruja dengan suasana bilik itu. Dia membuka sebuah peti yang tersusun di pinggir tempat beradu. Beberapa helai pakaian terlipat kemas di dalamnya. Hanya ada satu warna sahaja, iaitu Warna Putih. Selendangnya berwarna kuning, sama seperti yang dipakai Jamilah. Tapi kain itu sungguh lembut dan berkilat. Potongan baju itu dijahit dua lapisan. Terdapat hiasan bunga-bunga yang berwarna kuning pada permukaan baju itu. Ia menambah seri penampilan baju tersebut. Puteri Buih tersenyum lebar apabila dia memegang baju itu.
Dia berjalan ke pinggir bilik itu. Ada sebuah tangga di situ. Puteri Buih menuruni tangga itu sehingga dia tiba di hujung rumah putih itu. Ada pagar buluh setinggi rumah yang mengelilingi pinggir rumah itu. Terdapat pohon-pohon kayu yang mempunyai buah. Di bawah pohon-pohon kayu itu ada sebuah kolam yang dipenuhi teratai. Kolam itu mempunyai pelantar untuk mandi. Puteri Buih sungguh teruja. Sudah lama dia tidak berenang. Dia pun terjun ke dalam kolam itu dan berenang. Pakaiannya dilucutkan dipinggir kolam. Dia mula meneroka kolam teratai yang dipagari dengan buluh itu. Puteri Buih dapat menghidu bau air dari dalam kolam teratai itu. Dia cuba menyelam untuk mencari punca air itu datang. Tetapi dia tidak menemui punca air itu mengalir dari mana.
Jamilah baru menyelesaikan tugasnya di pondok mengaji Tuah dan Datuk Bendahara Perak. Dia melakukannya seperti yang di arahkan oleh ayahnya. Tuah dan Datuk Bendahara Perak masih lena diulit mimpi. Mungkin mereka keletihan, bisik hati Jamilah. Kepandaian Jamilah sungguh luar biasa. Dia dapat menyiapkan kerja-kerja rumah dengan cepat. Kelebihannya itu dimiliki sejak dia tinggal dengan ayahnya di dalam Perkampungan Hutan Pattani itu. Pergerakan Jamilah amat pantas. Dia dapat mengalahkan masa di dalam satu masa. Kerana itu apa yang dilakukannya berlaku dengan sekelip masa sehingga orang lain tidak tahu bila Jamilah menyiapkan tugasnya. Jamilah memiliki ilmu memutarkan masa. Tapi kebolehan Jamilah terbatas. Dia tidak boleh mengembalikan seseorang kepada masa silamnya. Perkara yang lepas tidak dapat dikembalikan, tetapi Jamilah mempunyai ilmu kepandaian untuk mengetahui apa yang berlaku di masa yang sudah lepas. Dia juga tidak boleh menggunakan kelebihannya dihadapan orang lain melainkan dengan cara sembunyi.
"Jamilah" Suara Syekh Abdullah muncul di balik pokok. Jamilah tersentak.
"Ya ayah. Ayah panggil Jamilah?" Soal Jamilah merapati ayahnya yang berdiri sambil memegang tasbih.
"Puteri itu telah mandi di dalam kolam air Margajiwa. Pergi dapatkan dia segera!" Arah Syekh Abdullah. Jamilah tersentak.
" Jadi, dialah Puteri yang ayah maksudkan..." Bisik Jamilah.
"Ya Jamilah, dialah Puteri itu" Kata Syekh Abdullah. Jamilah mengangguk-angguk tanda faham apa yang ayahnya maksudkan. Puteri yang mereka nantikan telah muncul akhirnya. Jamilah tidak menyangka Puteri itu adalah Puteri Buih. Anak gadis sunti yang mempunyai mata yang indah itu. Jamilah masih tertanya-tanya, siapakah Puteri Buih?Dia dan ayahnya Syekh Abdullah tahu, Datuk Bendahara Perak berbohong sewaktu mengatakan anak gadis sunti itu adalah cucunya.
YOU ARE READING
Puteri Buih 2
FantasySebuah kisah perjalanan hidup seorang Puteri yang dikenali sebagai Puteri Buih dari Kerajaan Melayu lama pada abad ke 15 . Kepayahan dan kesungguhan tokoh tokoh Melayu dalam memperjuangkan bumi Melayu. Pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharap seba...