Bab 69

52 1 0
                                        

Kabut pagi menyelubungi permukaan Tasik Dayang Bunting. Di sebuah pulau kecil yang tersembunyi di tengah tasik, jeritan kesakitan bergema. Ia bukan jeritan biasa, tetapi jeritan seorang puteri diraja yang sedang melahirkan waris kepada tanah berdaulat.

Tiada manusia menemani. Tiada bidan mahupun dayang. Hanya Nagasari, seekor naga betina berkilauan perak, berdiri setia menemani tuannya, Puteri Buih, yang sarat menanggung perit.

"Tarik nafas, Puteriku... kuatkan semangat. Warisan ini akan mengubah dunia," bisik suara halus Nagasari ke dalam minda sang puteri.

Puteri Buih menggenggam pasir pulau, berpeluh dan menangis, namun tekadnya tidak goyah. Perjuangan itu bukan hanya untuk dirinya, tetapi untuk anak yang dikandung iaitu anak yang bakal menjadi lambang kebangkitan Kota Melaka.

Dan akhirnya, di tengah haru, darah, dan linangan air mata...

Tangisan nyaring bayi lelaki bergema di antara pepohon rimbun.

Nagasari mengangkat bayi itu dengan penuh hati-hati menggunakan muncungnya. Matanya berkilau air. Bayi itu sihat, cukup sifat, dan tersenyum walau baru melihat dunia.

Buat pertama kalinya dalam sejarah diraja Nusantara, seorang naga menyambut kelahiran seorang pewaris.

Nagasari menjerit serta merta satu auman sakti menggoncangkan tasik. Suara itu sampai ke langit, menembus awan. Ia adalah isyarat kepada Saktimula, naga jantan yang ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke tasik setelah menghantar Raden Putra ke kapal Mendam Berahi.

Saktimula terdengar isyarat itu. Jiwanya bergetar. Tanpa ragu, dia berpatah balik, terbang laju seperti kilat menyambar petir.

Di atas kapal Mendam Berahi, Arthur sedang berbincang dengan Hang Tuah tentang struktur ekonomi pelabuhan. Suasana tenang tiba-tiba berubah menjadi kekacauan apabila bayang besar muncul di langit.

Saktimula datang!

Naga itu mendarat di hujung kapal dengan gegaran dahsyat, mengepulkan asap dan menyemburkan api ke langit. Tentera Arthur bertempiaran melarikan diri, ada yang terjun ke laut, ada yang menyorok di bawah geladak.

Namun naga itu menundukkan kepalanya kepada Raden Putra, yang tanpa melengahkan masa, melompat ke atas kepalanya.

“Puteriku sudah bersalin,” kata Saktimula dalam getar hati.

Dan mereka terbang kembali ke Tasik Dayang Bunting.

Raden Putra menjejakkan kaki ke pulau kecil. Di situ, Puteri Buih duduk lemah namun bahagia, menggendong bayi lelaki mereka.

“Namakan dia, Raden,” bisik Puteri Buih.

Raden Putra mendukung bayinya. "Kau akan dikenali sebagai Raja Arjuna Indera, pewaris Kota Melaka... dan penjaga bumi bertuah ini."

Keesokan harinya, kapal Mendam Berahi berlayar menuju Kota Melaka, diikuti oleh kapal perang Arthur yang telah ditundukkan secara diplomatik. Syekh Abdullah memberi janji: jika Melaka berjaya dibina semula, Arthur akan menerima sebuah kapal sehebat Mendam Berahi.

Arthur bersetuju, namun hatinya penuh pertanyaan. "Berapa lama perlu aku tunggu untuk dapat kota ini? Tapi aku orang British. Kami tahu membina empayar."

Di atas dek, Arthur memandang ke arah Puteri Buih yang kini berhijab, berjalan sambil mendukung anak kecil. Wajahnya dilindungi, dan dia kelihatan seperti wanita tempatan biasa. Arthur langsung tidak menyedari bahawa itulah duyung yang dibelinya, yang kini telah melahirkan waris diraja.

Arthur memandang jauh ke laut. Fikirannya tidak lagi memikirkan Puteri Duyung. Dia kini taksub kepada air Margajiwa, makhluk naga, dan khabar tentang Bumi Emas yang dikatakan penuh dengan kekayaan dan rahsia purba.

“Jika segala yang kulihat ini benar,” bisiknya, “maka Nusantara ini… adalah kunci kuasa dunia.”

Arthur pun mula menyusun strategi halus. Untuk memanipulasi. Untuk memegang pengaruh. Untuk merampas dari dalam dan bukan dengan senjata, tetapi dengan muslihat dan perjanjian.

Dan dia tahu... waktunya sedang bermula.

Puteri Buih 2Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang