Beberapa hari sudah berlalu sejak kapal Mendam Berahi dan kapal perang Arthur membelah samudera menuju ke Selat Melaka. Laut membiru tenang, seolah menyimpan rahsia ribut yang pernah melanda. Angin membawa debu sejarah yang belum tamat. Akhirnya mereka tiba tetapi bukan pada sebuah kota megah seperti dahulu.
Apa yang menyambut mereka di pelabuhan kota Melaka hanyalah puing-puing yang tenggelam dan hangus. Kota itu, yang suatu ketika dulu menjadi pusat perdagangan Timur dan Barat, telah lenyap ditelan perang antara Belanda dan Maharaja Ong Perita. Istana megah dan rumah-rumah bangsawan musnah dibakar api, dan dinding-dinding tua berderai diledak meriam musuh.
Hang Tuah berdiri diam di tepi kapal, matanya menikam jauh ke daratan. Wajahnya sugul. Kota Melaka adalah lambang cintanya, bukan sahaja kepada tanah air, tetapi juga kepada Puteri Lipur cinta sejatinya, yang kini hanya tinggal kenangan. Dialah satu-satunya isteri yang paling dekat di hati Tuah meskipun kini dia memiliki tiga. Bersama kenangan itu hadir juga bayangan empat sahabatnya: Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi. Lima bersaudara yang tak pernah gentar, kini tinggal dia seorang. Takdir telah merentap segalanya.
Sementara itu, Arthur, yang matanya tajam membaca kelemahan orang Melayu, sudah mula merancang. Dalam diam, dia merangka strategi bukan sekadar membina semula Melaka, tetapi menakluknya secara halus. Ketika malam berlabuh, kapal mereka berlabuh di pesisir kota yang sunyi. Anak-anak kapal menurunkan perahu dan mulai mendarat.
Pagi esoknya, mereka menjelajah kota yang musnah. Rupa-rupanya Belanda telah berpindah ke Johor dan meninggalkan Melaka sebagai kota mati. Tapi itu tidak melemahkan semangat Arthur. Dalam tempoh tidak sampai sepuluh purnama, Melaka bangkit kembali — dengan senibina British yang gah. Bangunan batu bergaya kolonial berdiri megah, pelabuhan diperluas dan dagangan mula masuk semula.
Kota itu kembali meriah, tetapi bukan untuk rakyat Melaka.
Para pedagang Arab, India, dan British membanjiri pelabuhan. Tapi semua urusan hanya berlaku antara para bangsawan British dan Arthur sendiri. Hang Tuah dan Raden Putra mula merasakan sesuatu yang janggal. Mereka sedar, mereka hanya boneka. Semua urusan perdagangan dipinggirkan daripada penglibatan istana Melaka. Rakyat jelata mula merintih Dan mereka disisihkan dari tanah sendiri.
“Pisang sudah berbuah dua kali, Tuanku,” kata Hang Tuah kepada Sultan Mahmud Shah. “Seperti mana Portugis dahulu memperdaya kita, kini British mengulangi sejarah. Arthur hanya bertopengkan penyelamat, tetapi sebenar-benarnya dialah penjajah.”
Istana Melaka mula gempar. Arthur dan para bangsawan British kini seperti kaduk naik junjung. Mereka memonopoli pelabuhan, melumpuhkan kuasa raja, dan menekan rakyat tempatan. Sultan Mahmud Shah terpukul dengan kenyataan itu. Kesilapan lampau kini berulang kembali dan sekali lagi, Melaka menjadi milik orang asing.
Beberapa minggu selepas pembinaan kota Melaka selesai, Hang Tuah dan Raden Putra mula menyedari sesuatu yang sangat tidak kena. Pelabuhan yang dahulu terbuka kepada semua bangsa dan rakyat tempatan kini telah dikuasai sepenuhnya oleh para bangsawan British dan tentera Arthur. Tiada lagi wajah-wajah Melayu berdagang di jeti. Tiada lagi suara nelayan mengangkat hasil laut. Yang kelihatan hanyalah bendera Union Jack berkibar angkuh di menara-menara tinggi, dan tentera British berkawal sambil mengacukan senjata kepada sesiapa sahaja yang cuba menghampiri.
“Tuah,” suara Raden Putra lirih, “kita telah memberi mereka ruang… kini mereka mengambil semuanya.”
Tuah mengangguk perlahan. Jiwanya bergolak. Dadanya panas menahan marah. Dia bukan lelaki yang mudah dikhianati tanpa berbuat apa-apa.
Petang itu, Tuah melangkah sendiri ke Balai Agung yang kini dijadikan pejabat rasmi Arthur dan para penasihat British. Pintu besar berukir gaya Eropah itu dibuka luas. Arthur sedang duduk megah di atas kerusi besar bertatahkan ukiran singa lambang simbol kekuasaan kolonial. Di sekelilingnya, para penasihat dan pegawai tinggi berdiri tegak.
“Arthur!” suara Tuah bergema, lantang seperti halilintar. “Aku ingin bicara. Sekarang!”
Arthur mengangkat wajahnya, senyum sinis bermain di bibirnya. “Hang Tuah... pahlawan yang terkenal. Datang dengan semangat lama, tapi dunia sudah berubah.”
“Aku datang bukan membawa semangat lama, tapi maruah yang kalian pijak!” bentak Tuah. “Kota ini dibina semula dengan keringat kami, kepercayaan kami... Tapi apa yang kau balas? Penindasan! Peminggiran! Pembohongan!”
Arthur bangun, matanya tajam. “Kau lupa perjanjian kita, Tuah. Aku membina kota ini dahulu dan kau berjanji, sebuah kapal semisal Mendam Berahi akan menjadi milikku!”
Tuah menggenggam erat hulu keris di pinggangnya. “Aku tidak akan serahkan kapal itu kepada penjajah! Aku silap menilai engkau sebagai sahabat. Rupa-rupanya engkau adalah serigala yang menyamar sebagai penyelamat!”
Pertengkaran mereka memuncak, hingga bergema ke luar balai. Raden Putra dan Panglima Awang yang menanti di luar segera masuk, cuba menenangkan keadaan, tetapi kehormatan sudah tercalar. Arthur menunjukkan wajah sebenar. Dia kini tidak lagi berpura-pura.
“Melaka bukan milikmu, Tuah! Ia kini milik kami iaitu kuasa dunia yang sebenar!” jerit Arthur, sambil menghentak meja.
Tuah berpaling dan melangkah keluar dengan dada bergelora. Di pelabuhan, dia menyaksikan sendiri bagaimana tentera British mengherdik dan menghalau rakyat tempatan yang ingin berdagang. Ada yang ditolak hingga jatuh. Ada yang dimaki di hadapan anak isteri.
Air mata bergenang di kelopak mata Tuah. Bukan kerana takut. Tapi kerana kecewa ya kecewa pada kepercayaan yang dikhianati. Kerana harapan yang dimusnahkan oleh kerakusan kuasa.
“Aku bersumpah...” bisik Tuah, suaranya bergetar. “...aku akan rebut kembali kota ini. Walau dengan darah sekalipun.”
ANDA SEDANG MEMBACA
Puteri Buih 2
FantasíaSebuah kisah perjalanan hidup seorang Puteri yang dikenali sebagai Puteri Buih dari Kerajaan Melayu lama pada abad ke 15 . Kepayahan dan kesungguhan tokoh tokoh Melayu dalam memperjuangkan bumi Melayu. Pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharap seba...
