Gunung Jerai pagi itu diselubungi kabus emas. Bunyi burung-burung eksotik bersahutan di antara pepohon meranti purba yang menjulang tinggi, seolah-olah menyambut para waris terakhir bumi Melayu yang sedang bangkit semula dari luka peperangan.
Di tengah hutan rahsia itu, tersembunyi sebuah kolam sakti iaitu Kolam Margajiwa, kolam abadi yang airnya bening sejernih kaca. Menurut Syekh Abdullah, kolam itu adalah peninggalan zaman wali dan para satria. Sesiapa yang mandi dan menyelam di dalamnya dengan niat ikhlas, akan dikembalikan tenaganya, disucikan rohnya, dan diperbaharui semangat perjuangannya.
Tuah duduk bersila di tebing kolam. Parut-parut lama di tubuhnya sudah pudar. Rambutnya yang semalam beruban kini kembali hitam legam, dan sorot matanya sudah seperti dahulu sungguh tajam, menusuk, tetapi penuh hikmah.
“ Demi Melaka… aku hidup semula, ” bisiknya perlahan.
Di seberang kolam, Puteri Buih sedang memangku bayinya yang kini semakin sihat. Jamilah membantu menganyam buaian daripada daun serdang, sambil Sultan Mahmud Shah termenung jauh memandang puncak Gunung Jerai dengan merenung bagaimana Melaka perlu ditebus kembali.
Panglima Awang melatih anak-anak muda Raden Putra yang kini menjadi harapan baru. Raden Putra pula sedang berbincang dengan Syekh Abdullah mengenai jalan rahsia untuk menembusi kota Melaka yang telah dikuasai musuh.
Seminggu kemudian, mereka turun dari Gunung Jerai, disambut angin selatan yang membawa aroma garam laut dan getaran perubahan. Tuah kini memimpin kembali, tetapi bukan sebagai laksamana Melaka. Kali ini, dia memimpin sebagai rakyat dan sebagai wira bumi sendiri.
“ Kita tak akan rampas Melaka dengan pedang. Kita akan rebut hatinya dulu. Jiwa Melaka mesti kembali kepada bangsanya,” ujar Tuah di hadapan pasukan kecil mereka.
Langit senja membara di ufuk barat, seolah-olah turut meratapi kehancuran kota Melaka. Namun di celah-celah runtuhan dan debu, semangat perjuangan masih bernyala.
Tuah berdiri di atas puncak Bukit St. Paul yang kini dijadikan markas sementara. Angin petang menyapu jubahnya yang koyak. Di bawahnya, kelihatan kota Melaka yang kini berwajah asing seluruh senibina batu British, tiang-tiang tinggi menjulang, dan panji-panji Union Jack berkibar megah.
“Melaka bukan lagi milik kita,” bisik Tuah perlahan, matanya tajam memandang pelabuhan yang dikuasai Arthur.
Tiba-tiba, langkah kaki kuda bergema dari celah semak. Panglima Awang muncul bersama Raden Putra dan Jamilah yang mengendong bayi Puteri Buih. Bayi itu menangis tiba-tiba, seolah-olah merasai keperitan bumi ibunya.
“Tuah!” jerit Panglima Awang. “Kami berjaya menawan semula kubu rahsia di Kampung Morten. Ada saki baki pahlawan yang masih setia!”
Tuah berpaling. Air mukanya berubah. Harapan muncul semula di mata yang telah lama suram.
“Kalau begitu, kita serang dari dalam. Bukan dengan senjata, tapi dengan akal dan jiwa,” ujar Tuah.
Di Pelabuhan Melaka pulak Arthur sedang berdiri di balkoni istana batu yang baru dibina di atas runtuhan istana lama. Di tangannya segelas wain merah, di kepalanya mahkota pinjaman dari Ratu Victoria. Di sisinya, Lord Hastings dan pegawai tinggi British lainnya sedang mengatur perancangan untuk menghantar kapal ke seluruh Nusantara. Rancangan mereka untuk monopoli rempah sudah hampir sempurna.
Namun tanpa disedari, di sebalik dinding batu itu… segerombolan tentera rahsia Melayu sudah menyusup masuk melalui terowong lama yang diaktifkan semula oleh Raden Putra.
Kota Melaka kini sudah berubah wajah. Ia telah dikuasai Arthur, dibina dengan batu, dipenuhi senjata api dan panji asing. Namun, di bawah tanah, di celah runtuhan dan masjid lama, gerakan kebangkitan Melayu sedang bernafas kembali.
ANDA SEDANG MEMBACA
Puteri Buih 2
FantasíaSebuah kisah perjalanan hidup seorang Puteri yang dikenali sebagai Puteri Buih dari Kerajaan Melayu lama pada abad ke 15 . Kepayahan dan kesungguhan tokoh tokoh Melayu dalam memperjuangkan bumi Melayu. Pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharap seba...
