Langit Melaka masih berasap. Kota itu tidak lagi gah seperti dahulu, tetapi juga tidak sunyi. Dentingan tukul, ratapan rakyat, dan perintah-perintah keras daripada penjajah British kini berselang seli dengan suara burung camar yang terbang rendah di pelabuhan. Arthur telah mati, namun rohnya masih mencengkam tanah ini melalui sistem, tentera, dan kerakusan para pengikutnya yang kini bagaikan anjing kehilangan tuan.
Di satu lorong sempit di luar kota, seorang lelaki berjubah kelabu dan berserban kusam berdiri di atas bangku kayu. Di hadapannya, anak-anak kampung dan beberapa pedagang asing duduk bersila, mendengar syair dan falsafah yang menggetarkan jiwa.
"""Jika langit pun sanggup retak demi keadilan,
Mengapa manusia harus tunduk kepada penguasa zalim?
Kerana tanah yang dijajah bukan sekadar tubuh,
Tetapi roh, jiwa, dan sejarah kita yang disiat!"""
Itulah dia Hang Tuah, menyamar sebagai Syaikh Zainal Abidin, seorang penyair kembara dari Timur. Dia telah membakar identiti lamanya. Tiada lagi keris Taming Sari di pinggangnya. Kini senjatanya adalah kata-kata, pena dan puisi. Namun kata-katanya menghidupkan semangat yang hampir mati.
Sementara itu, di lereng Gunung Jerai yang berkabus tebal, Raden Putra bersama Panglima Awang dan saki baki istana Melaka bertahan. Mereka mengatur strategi secara senyap, mengatur jaringan risikan, dan menyusun kumpulan pemuda yang setia.
Panglima Awang menerima sepucuk surat ditulis dalam aksara halus Arab-Jawi. Di hujungnya, tertera cop merah bulat dengan lambang bunga melur iaitu lambang sulit Hang Tuah sejak zaman dahulu.
"Gunung tak selamanya tinggi,
Ombak tak selamanya tenang,
Tapi kebenaran, akan menebus semuanya.
- Syaikh Zainal Abidin-
Panglima Awang merenung ke awan. "Dia masih hidup..."Bisiknya perlahan.
Selepas menerima surat bersyair dari Tuah yang kini menyamar sebagai Syaikh Zainal Abiddin, Panglima Awang termenung lama. Wajahnya kian tua, namun matanya masih menyala. Di sisi Raden Putra dan Sultan Mahmud Shah yang sedang bermesyuarat di pondok kayu di Gunung Jerai, Panglima Awang berkata dengan suara rendah tetapi bergetar:
"Jika Tuah masih hidup… maka api perjuangan belum padam. Kita perlukan sekutu. Melaka tidak boleh bangkit sendiri."
Raden Putra angguk. Sultan Mahmud Shah yang uzur bersandar pada dinding, lalu bersuara, "Langkasuka… Sultan Muzaffar Shah. Dia adindaku. Darah pahlawan mengalir dalam dirinya. Dia tak akan berpaling muka."
Maka diputuskan satu rombongan kecil terdiri daripada Panglima Awang, beberapa saki-baki hulubalang istana, dan Putera Munir anak saudara Sultan Mahmud Shah akan turun dari Gunung Jerai, menempuh hutan dan laluan laut rahsia untuk ke kerajaan Langkasuka yang terletak di utara jauh semenanjung.
Perjalanan itu bukan tanpa cabaran. Rombongan mereka meredah belantara, menyeberangi sungai berbisa, dan berlayar melawan angin monsun. Di sepanjang jalan, mereka terpaksa menyamar sebagai pedagang rempah dan penjual ubat Melayu bagi mengelakkan tentera upahan British yang mengawasi setiap laluan keluar dari negeri-negeri Melayu.
Tiga minggu berlalu sebelum mereka tiba di pintu gerbang Istana Langkasuka, yang berdiri megah di atas tanah tinggi, berpagar emas dan ukiran naga laut. Di pintu gerbang, para pengawal segera mengangkat senjata, namun apabila melihat lambang warisan Melaka pada pinggang Panglima Awang, mereka menunduk hormat.
Balairung Seri Istana Langkasuka berkilauan di bawah cahaya obor malam. Sultan Muzaffar Shah, berpakaian diraja berhias songket merah darah, duduk di atas takhta perak. Matanya yang tajam memerhati ketibaan para tetamu. Di belakangnya berdiri Tengku Saifuddin, panglima utama Langkasuka.
Panglima Awang melutut, meletakkan sebilah keris Melaka di hadapan baginda. Raden Putera membacakan surat rasmi dari Sultan Mahmud Shah sendiri.
"Kami datang bukan untuk berlindung, Tetapi untuk menghidupkan maruah bangsa.
Kami mohon bantuan, demi menyatukan tanah Melayu yang kini dijajah…"
Sultan Muzaffar Shah bangkit dari takhtanya.
"Aku telah lama menantikan saat ini.
Melaka tidak harus jatuh selamanya.
British dan Belanda harus tahu Langkasuka masih hidup, dan kami juga tidak akan berdiam diri."
Sorakan meletus dari para hulubalang Langkasuka yang memenuhi balairung. Gendang perang dibunyikan. Perjanjian dimeterai malam itu juga Dan bahawa Kerajaan Langkasuka akan menghantar bala tentera dan bantuan senjata, serta membuka pelabuhan timur untuk melatih barisan pemuda dari Melaka. Segala senjata akan mereka bekalkan Dari Sungai Batu, titah Sultan Muzaffar Shah.
Sementara Panglima Awang dan rombongannya menuju Langkasuka, sekumpulan kecil dari istana Melaka yang masih setia telah diutus ke perkampungan tersembunyi berhampiran Sungai Batu, sebuah kawasan lama yang dihuni oleh orang-orang alim dan keturunan pendeta lama. Mereka membawa satu tujuan iaitu menjemput kembali Puteri Buih dan bayinya.
Perkampungan itu sunyi, terlindung oleh hutan hujan tropika dan hanya dapat dicapai melalui laluan air. Di sanalah Syekh Abdullah, ayahanda kepada Jamilah, tinggal dan mengajar ilmu hikmah serta rawatan warisan leluhur bunian.
Puteri Buih, yang menyamar sebagai wanita kampung biasa, sedang mendodoi bayinya di bawah pohon jemerlang, ditemani Jamilah yang setia menjaganya. Mereka terkejut apabila kelihatan rombongan istana berpakaian serba hitam berbordir emas, muncul dari celah kabus sungai.
Jamilah segera berdiri, dan wajahnya berubah cerah apabila mengenali Tengku Munir, sepupunya dari pihak istana. Mereka berpelukan dan menangis syukur.
"Tuanku, kota Melaka masih dalam kelam. Tapi perjuangan belum selesai. Kami datang menjemput permaisuri dan putera waris Kerajaan Melaka,” ujar Munir penuh hormat kepada Puteri Buih.
Sebelum berangkat, Jamilah sempat mendekati rumah bapanya, Syekh Abdullah. Orang tua itu, berjanggut putih dan berpakaian jubah coklat, sedang menyusun daun-daun herba untuk ubat. Apabila melihat Jamilah, dia bangun perlahan dan memeluk anaknya.
"Anakku… aku sangka kau sudah tiada" ucap Syekh Abdullah, matanya bergenang.
Jamilah menangis dalam pelukan ayahnya, dan selepas beberapa lama, dia duduk dan menceritakan segala yang terjadi, tentang pengkhianatan Arthur, kejatuhan Melaka, dan bagaimana Hang Tuah kini menjadi buruan setelah membunuh penjajah itu demi menyelamatkan kehormatan bangsa.
Syekh Abdullah menghela nafas dalam. "Dunia ini kembali berdarah… sejarah berulang. Tapi darah pejuang tak akan mengalir sia-sia."
Sebelum rombongan berangkat semula, Panglima Awang, Raden Putra dan Sultan Mahmud Shah tiba dari utara dan turut singgah di Sungai Batu. Keletihan jelas terpancar di wajah mereka. Kesakitan fizikal dan batin mulai menjejaskan mereka setelah terlalu lama melarikan diri dan menyembunyikan diri dari dunia yang pernah mereka kuasai.
Melihat keadaan itu, Syekh Abdullah menjemput mereka ke rumahnya. Dengan air dari telaga tua warisan bunian, wangi dengan campuran daun bidara dan akar kayu langka, Syekh Abdullah memulakan rawatan.
"Kalian bukan sahaja keletihan tubuh… tapi roh kalian juga luka. Ini bukan sekadar pengubatan, tapi penyucian"
Semalaman mereka dirawat dalam zikir dan asap gaharu. Puteri Buih juga menyentuh dahi ayahandanya, Sultan Mahmud Shah, lalu membisikkan mantera rahsia kaum bunian, agar jasad baginda kuat semula, cukup untuk mengangkat panji perang jika saatnya tiba.
Sementara itu, di Kota Melaka, Syaikh Zainal Abiddin terus meniupkan semangat melalui syairnya. Beliau masih menunggu dan bersedia. Langkahnya lambat, namun pasti.
Di utara dan timur, dua kekuatan Melayu mula menghimpun tenaga. Perang pembebasan semakin dekat.
Keesokan paginya, seluruh rombongan bergerak meninggalkan perkampungan Sungai Batu dengan semangat baru. Bayi Puteri Buih kini berada dalam dakapan Jamilah, yang berjanji akan menjaga waris itu sepenuh jiwa.
Panglima Awang menoleh sekali lagi ke arah pondok Syekh Abdullah.
"Doakan kami, tuan guru."
Syekh Abdullah hanya mengangguk, tetapi dalam hatinya, dia tahu… perang besar belum bermula. Tapi harapan telah dibangkitkan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Puteri Buih 2
FantasíaSebuah kisah perjalanan hidup seorang Puteri yang dikenali sebagai Puteri Buih dari Kerajaan Melayu lama pada abad ke 15 . Kepayahan dan kesungguhan tokoh tokoh Melayu dalam memperjuangkan bumi Melayu. Pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharap seba...
