Pondok tempat tinggal Tuah dan para pengikutnya telah siap dikemas. Sewaktu terjaga daripada tidur, Datuk Bendahara Perak melihat di dalam pondok dan kawasan di luar pondok. Ia telahpun disapu. Semua daun-daun kering yang menenggelamkan kaki mereka sewaktu berjalan telah lenyap. Tempat itu menjadi bersih sekelip mata.
"Pengawal, di manakah Laksamana Tuah?" Soal Datuk Bendahara Perak menghampiri dua orang pengawal yang berkawal di luar pondoknya.
"Maaf Datuk, kami tidak nampak Laksamana Tuah. Bukankah Laksamana Tuah bersama Datuk di dalam pondok?" Jawab pengawal itu. Datuk Bendahara Perak terdiam. Tetapi Tuah tidak ada di dalam pondok. Dia berjalan meninggalkan pondoknya. Perlahan-lahan dia memijak batu-batu anak sungai yang mengalir. Tidak berapa lama dia duduk di pinggir anak sungai itu, lama kelamaan orang memakai baju putih dan berserban semakin ramai. Mereka mengambil wudhu, berbual dan ada juga yang mandi. Sedangkan sebentar tadi tiada sesiapa di situ. Mata Datuk Bendahara Perak semakin jelas melihat mereka.
" Pakcik sedang termenungkah?Pakcik ingatkan siapa?" Tegur seorang anak muda.
"Pakcik tak ingatkan sesiapa. Tapi mereka semua ni dari mana? Dan anak ni siapa?" Tanya Datuk Bendahara Perak pula. Dia masih tertanya-tanya mengapa tiba-tiba begitu ramai lelaki berjubah putih dan berserban sedang berkumpul di pinggir anak sungai itu.
"Kami semua ni adalah anak murid Tuan Guru Syekh Abdullah. Nama saya Muhyiddin" Jawab anak muda itu sambil menghulur salam kepada Datuk Bendahara Perak.
"Muhyiddin...baguslah, muda-muda lagi sudah berguru dengan seorang guru yang bukan calang-calangnya" Kata Datuk Bendahara Perak memuji. Muhyiddin tersenyum.
"Saya kenal pakcik...bolehkah saya panggil dengan panggilan pakcik sahaja ni?? Sedangkan pakcik orang yang berpangkat tinggi di Selat Melaka" kata Muhyiddin menunggu reaksi Datuk Bendahara Perak.
"Tidak mengapa, nak. Pakcik sudah lama berhenti dari menjadi Bendahara di Melaka. Sejak kami diserang Belanda-Siam. Istana Melaka telah dikuasai Belanda-Siam" Beritahu Datuk Bendahara Perak jujur.
"Tapi kami tahu, pakcik telah berjaya menguasai Klang , Janin dan Belum. Pakcik telah bergabung dengan Sang Sapurba dan Raja kecil itu...." Kata Muhyiddin menunjukkan ke arah Raden Putra.
"Anak ini kenalkah dengan Tuanku Raden Putra?" Soal Datuk Bendahara Perak terpinga-pinga. Cepat betul berita tentang dirinya tersebar. Mampukah dia menyembunyikan diri dari Tuanku Sultan Mahmud Shah? Getus hati kecilnya.
"Walau baginda masih kecil, hikayat keluarganya telah tersebar. Kami ada menyalin lembaran surat-surat hikayat itu" Terang Muhyiddin.
"Menyalin lembaran surat-surat hikayat? Adakah itu yang diajarkan Syekh Abdullah?" Datuk Bendahara Perak berasa hairan. Setahunya Syekh Abdullah banyak mengajar ilmu Islam berbanding hikayat atau syair pujangga dan gurindam.
" Di sini kami belajar tentang Islam dengan Syekh Abdullah. Tapi kami juga diberi peluang menyalin lembaran surat-surat hikayat untuk di persembahkan kepada Istana. Mereka sanggup membayar kami dengan harga tinggi untuk surat-surat hikayat yang kami salin" Terang Muhyiddin. Datuk Bendahara Perak mengangguk-angguk tanda faham. Mungkin pondok mengaji itu mencari sedikit dana untuk menampung pusat pondok mereka, fikir Datuk Bendahara Perak. Muhyiddin bersalaman dengan Datuk Bendahara Perak sebelum dia pergi. Raden Putra berjalan diiringi dua orang pengawal. Baginda menghampiri Datuk Bendahara Perak.
"Beta tidak tahu apa yang mereka pelajari di sini. Tapi seluruh ilmu kesaktian beta tidak berfungsi di sini!" Sungut Raden Putra. Dia berjalan mundar-mandir di hadapan Datuk Bendahara Perak.
" Ampun Tuanku. Semua ini salah saya. Sebenarnya Tuah ingin menyembunyikan saya di sini. Tetapi telah melibatkan Tuanku" Kata Datuk Bendahara Perak penuh kesal.
YOU ARE READING
Puteri Buih 2
FantasySebuah kisah perjalanan hidup seorang Puteri yang dikenali sebagai Puteri Buih dari Kerajaan Melayu lama pada abad ke 15 . Kepayahan dan kesungguhan tokoh tokoh Melayu dalam memperjuangkan bumi Melayu. Pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharap seba...