Tok Ayah Qadri, ayah Gisela sedang bersarapan setelah kembali dari surau. Dia tidak suka melepak di kedai kopi seperti kebanyakan rakan-rakan sekolenya. Dia tidak mahu isteri tercintanya terasa hati apabila dia minum di kedai Gayah kerana Gayah merupakan seorang ibu tunggal. Biasalah apabila makan atau minum di kedai ibu tunggal, akan tercetuslah skandal dengan pelanggan kedai.
Tok Ayah tidak mahu perkara itu berlaku kepadanya. Dia amat mencintai isterinya Siti Khatijah sementelah untuk mendapatkan cinta Siti Khatijah dulu umpama berenang di lautan api. Sakit dan perit terpaksa dihadapinya demi untuk mendapat gadis pingitan anak ketua kampung Tok Berahim.
Tok Ayah menceduk nasi lemak ke dalam pinggan. Kuah sambal tumis ikan bilis dituang dengan banyak ke atas nasi. Sebiji telur rebus diletakkan di sisi pinggan dan dengan lafaz Bismillah, Tok Ayah menyuap nasi lemak hasil tangan Mak Ngah Tijah dengan penuh selera.
"Amboi abang makan tak tunggu Tijah nampak. Sedap sangat ke nasi tu?" Mak Ngah Tijah menegur Tok Ayah dengan selambanya.
"Ala Tijah bukan tak tau, kalau abang nampak nasi lemak Tijah memang abang tak tunggu sesiapapun." Tok Ayah masih menggaul baki nasi lemak dan disuap ke dalam mulut.
Makngah Tijah tersenyum mendengar alasan Tok Ayah. Bukan dia tidak tahu Tok Ayah akan sentiasa mengambil hatinya. Perkara itulah yang membuatkan Makngah Tijah amat sayangkan Tok Ayah walaupun ramai yang mengatakan yang Tok Ayah amat garang orangnya. Tok Ayah garang apabila mengajar silat dan mengaji Quran saja, dengan keluarganya Tok Ayah bagaikan kucing siam.
"Abang, kenapa abang biarkan Meen pergi melancong jauh-jauh? Tijah risaulah. Kalau dia lelaki tak apalah tapi dia perempuan. Macam mana kalau terjadi apa-apa kat dia?"
Makngah Tijah melepaskan kerisauannya kepada Tok Ayah. Tok Ayah pula masih leka dengan nasi lemaknya sehingga tidak mengendahkan bicara Makngah Tijah. Makngah Tijah memandang tajam kearah Tok Ayah.
"Abang! Tijah risau ni." Makngah Tijah menaikkan nada suaranya agar Tok Ayah memberi perhatian kepadanya.
Tok Ayah tersentak. Baru dia perasan Makngah Tijah sedang menyatakan sesuatu. Tok Ayah mengambil air di hadapannya
dan meneguk dengan rakus. Hampir tersedak kerana minum terlalu cepat."Ya Allah Tijah...terlekat nasi kat kerongkong abang." Tok Ayah urut dada.
Makngah Tijah tersenyum melihat gelagat Tok Ayah. Disua pula air kopi kegemaran Tok Ayah.
"Siapa suruh tak layan Tijah."
Tok Ayah menghentikan suapannya dan memandang Makngah dengan penuh kasih.
"Tijah, Meen dah besar kan. Bagilah dia peluang untuk dia teroka dunia luar pula. Kesian kat dia. Asyik duk celah ketiak kita dari kecil sampailah besar."
"Tak la, dia nak melancong ke luar negara. Kalau dalam negara, Tijah taklah risau sangat."
"Jangan risaulah." Tok Ayah meneruskan suapannya yang tergendala sebentar tadi.
"Abang tak apa la. Saya ni umi dia. Kalau jadi apa-apa kat dia, saya yang susah hati nanti. Saya bela dia dari umur dia 2 bulan tau. Saya sayang dia macam anak saya sendiri."
"Isyy..apa cakap macam tu. Saya pun dah anggap dia macam anak kandung saya juga. Awak tu jangan cakap kuat sangat, dengar dek Meen nanti, dia tanya macam-macam apa awak nak jawab nanti."
Makngah tepuk perlahan mulutnya, tidak sedar keceluparannya sudah didengari oleh Gisela. Gisela yang sedang menuju ke dapur terhenti langkahnya setelah mendengar perbualan kedua ibu bapanya. Dia tersandar di dinding yang memisahkan dapur dan ruang tamu itu.
Apa maksud abi dan umi? Mengapa dia dianggap sebagai anak kandung? Kalau bukan anak kandung, siapakah dia?
Anak angkat? Dia anak angkat ke?Bunyi petikan jari mengejutkan Gisela. Hilang segala kenangan yang bermain di fikirannya. Gisela terlangut melihat siapa yang menganggu lamunannya. Dia terpaku melihat Noah Iskandar berdiri tegak di hadapannya dan wajah Noah Iskandar erkk dia sendiri tak dapat gambarkan.
YOU ARE READING
NOAH ISKANDAR: SIBLINGS RIVALRY
RomanceTidak menyangka kelahirannya di dunia adalah untuk dicemburui oleh abang kandungnya sendiri. Ketika kecil semua barang mainan akan dirampas oleh abangnya sehingga kasih sayang ibubapa pun akan dibolot oleh Noah Dzulkarnain si abang. Si adik Noah Isk...