BAB 51: PENANTIAN

310 10 0
                                    

Suasana di luar bilik bedah sunyi sepi. Dato' Salahuddin, Noah Iskandar, Gisela Ameena dan Ava Ratna terpaku di tempat duduk masing-masing. Wajah sugul terpeta di wajah masing-masing. Dato' Salahuddin langsung tidak menyangka keputusannya untuk menukar wasiat bertugar menjadi tragedi.

Walaupun dia tahu Ikmal adalah dalang di sebalik keterlanjuran hidup Noah Dzulkarnain tapi tidak terlintas di fikirannya yang Ikmal akan bertindak di luar batasan. Di manakah silapnya? Rasanya dia memberi jawatan yang cukup tinggi kepada Ikmal memandangkan Ikmal adalah adik iparnya. Malah dia juga tidak peduli jika Ikmal bekerja dengan baik atau tidak janji syarikatnya dapat menjalankan operasi dengan baik.

Dato' Salahuddin pandang Noah Iskandar dan Gisela, senyuman manis terbersit di bibirnya. Dalam hati dia bersyukur dengan jodoh mereka walaupun dia sedikit pelik bagaimana mereka boleh jatuh cinta dalam masa yang singkat. Namun dia gembira dengan penjodohan ini kerana dia sememangkan sukakan PAnya yang kelam-kabut itu. Wajah Noah Iskandar ditatap lama. Betapa rugi dirinya kerana mendengar cakap isterinya dulu.

Entah apa yang merasuk dalam fikiran Datin Ismalisa apabila mereka bertindak menyisihkan Noah Iskandar padahal Noah Iskandar adalah anak kandung mereka. Ketidakadilan sikap mereka terhadap Noah Iskandar membuatkan Noah Iskandar membawa diri begitu lama. Mujur dia tersedar akan kekhilafan mereka dan oleh kerana itu dia sanggup berjumpa dan memujuk Noah Iskandar kembali kepada mereka.

Rupa-rupanya kepulangan Noah Iskandar memberi kesan kepada Ikmal dan Noah Dzulkarnain. Mereka berasa tergugat dengan ura-ura Dato' Salahuddin untuk meletak Noah Iskandar sebagai CEO baru. Noah Dzulkarnain yang dijadikan boneka Ikmal turut merasa terancam sehingga mengancam nyawa Noah Iskandar. Namun segala rancangan jahat Ikmal berpatah balik kepada dirinya sendiri dan Noah Dzulkarnain. Kini kedua-dua mereka sedang bertarung nyawa di dalam bilik pembedahan.

Dato' Salahuddin menarik nafas lalu memandang ke arah Ava Ratna pula. Dia baru tahu yang Ava pernah menjadi kekasih Noah Iskandar. Baru dia sedar yang Noah Dzulkarnain akan mengambil barang kepunyaan Noah Iskandar termasuk kekasih. Malangnya nasib Ava mendapat Noah Dzulkarnain, seorang yang suka berfoya-foya.

Bunyi kuat detakan kasut mengejutkan mereka. Semua mata beralih memandang susuk tubuh Datin Ismalisa berlari-lari anak mendapatkan Dato' Salahuddin. Dato' Salahuddin berdiri, menunggu Datin Ismalisa menghampirinya. Mata Datin Ismalisa kelihatan merah dan masih lagi ada sisa-sisa air mata kelihatan di bawah mata.

"Abang! Abang, apa yang dah berlaku?" Mata memerhati sekeliling, dia cuma nampak Noah Iskandar, Gisela dan Ava sahaja. Tiada kelibat Noah Dzulkarnain bersama mereka. "Nine... mana Nine?" Datin Ismalisa menggelisah.

"Sabar... Nine ada dalam..." Dato' Salahuddin menunjuk ke arah bilik bedah.

"Kenapa? Kenapa Nine di bedah? Apa yang terjadi?"

Noah Iskandar dan Gisela menghampiri Datin Ismalisa. Gisela terus memeluk mertuanya, lidah masih kelu untuk menyampaikan berita mengenai apa yang berlaku di dalam pejabat tadi. Gisela memandang Noah Iskandar dengan harapan Noah Iskandar dapat memberitahu kejadian itu kepada Datin Ismalisa.

"Abang? Is? Meen? Tolong sesiapa beritahu apa yang terjadi?" suara rayuan Datin Ismalisa meruntun jiwa mereka yang mendengar.

"Mama... mama tolong bertenang ya." Noah Iskandar menarik tangan Datin Ismalisa dan membawa mamanya ke kerusi.

Tubuh Datin Ismalisa ditolak perlahan supaya duduk. Risau pula Datin Ismalisa jatuh apabila mendengar keadaan Nine. Noah Iskandar melutut di hadapan Datin Ismalisa dan menceritakan kejadian yang berlaku di dalam pejabat Dato' Salahuddin tadi. Tangan mamanya dipegang kejap apabila melihat tangan itu menggeletar.

Dato' Salahuddin pula mendapatkan Datin Ismalisa selepas Noah Iskandar selesai menyampaikan berita mengenai Nine dan Ikmal lalu bahu isterinya dipeluk kuat. Datin Ismalisa menangis dalam pelukan suaminya. Dia tidak menyangka keadaan menjadi teruk selepas mereka bergembira menyambut dua orang menantu serentak.

Gisela dan Ava turut mengalir air mata melihat Datin Ismalisa menangis. persengketaan di antara mereka berdua hilang begitu saja. Kini mereka saling berpegangan tangan dan sabar menanti berita daripada doktor. Gisela tetap menenangkan Ava apabila melihat Ava hampir tewas dengan kejadian ini.

Begitu juga dengan Noah Iskandar, turut mengalir air mata melihat keadaan mamanya. Dia sendiri tidak menduga Noah Dzulkarnain sanggup menentang Ikmal yang bersenjatakan pistol. Entah apa yang ada dalam fikiran Nine ketika melihat Ikmal bersedia untuk menghancurkan keluarga mereka. Tergugat mungkin?

Derap kaki yang menuju ke arah mereka membuatkan perhatian sedih sedikit teralih. Noah Iskandar melihat ASP Ghadi Aqhar dan Inspektor Qaid Uzair menuju ke arah tempat mereka berkumpul. Sebelum sempat kedua-dua lelaki itu menghampiri Dato' Salahaduddin, Noah Iskandar terlebih dahulu mendapatkan pegawai polis tersebut.

Tangan dijabat, kedua-dua anggota polis sekadar mengangguk kepada Dato' Salahuddin sekeluarga. Tidak mahu mengganggu keluarga itu sementelah tiada lagi berita mengenai keadaan Noah Dzulkarnain dan Ikmal yang sudah lama berada dalam bilik bedah.

"Aku minta maaf sebab lambat sampai." Perbualan pertama keluar dari mulut Qaid Uzair ketika dia dan Ghadi Aqhar menarik Noah Iskandar bercakap agak jauh daripada Dato' Salahuddin dan lain-lain.

Noah Iskandar hanya menggeleng. "Bukan salah kau. Nine sendiri bertindak melulu. Dia terkam uncle tanpa sempat aku halang. Dia ingat uncle bawa pistol mainan agaknya."

"Apa yang terjadi sebenarnya?" Ghadi Aqhar yang dari tadi membisu, bertanya kepada Noah Iskandar.

"Uncle mula mengeluarkan provokasi, Nine rasa tercabar dan mungkin Nine juga rasa dirinya ditipu oleh uncle sampai dia buat macam-macam kat aku. Dia juga tak sangka yang selama ini uncle yang buatkan dia pecah amanah. Macam-macam uncle buat sampai Nine sendiri tidak tahan mendengar segala keburukan dia pecah di depan papa. Sebab itu..." Noah Iskandar tidak dapat habiskan ayatnya kerana terlalu sebak.

Noah Iskandar tidak mengharapkan pengakhiran sebegini. Dia langsung tidak mahu mengambil jawatan itu daripada Nine. Dia sudah menerangkan kepada Dato' Salahuddin akan hasratnya untuk kembali ke UK bersama Gisela tetapi Dato' Salahuddin tetap dengan pendiriannya untuk membersihkan syarikatnya daripada Ikmal.

Qaid Uzair menepuk perlahan bahu Noah Iskandar yang kini sepupu iparnya. Dia memandang pula ke arah Gisela yang sedang memeluk Ava Ratna. Gisela hanya memandang sayu dan mengangguk tanda dia dalam keadaan baik-baik saja. Qaid Uzair faham dengan isyarat yang diberikan oleh Gisela dan dia terus memberi kata-kata semangat kepada Noah Iskandar.

Dato' Salahuddin mahu Noah Dzulkarnain insaf dan menjalani kehidupan yang lebih baik. Dia mahu Nine bertaubat dan berubah demi masa depannya. Dato' Salahuddin juga mahu Noah Dzulkarnain dan Noah Iskandar kembali bersatu dan tidak bermusuh lagi kerana hanya mereka berdua saja anak-anaknya. Siapa lagi yang boleh diharapkan selain daripada mereka berdua.

Harapan yang menjadi igauan untuk dirinya dengan tercederanya Noah Dzulkarnain. Dato' Salahuddin terus memujuk Datin Ismalisa yang masih menangis dalam dakapannya. Wajahnya jelas nampak kekesalan kerana silap perhitungan. Asalnya hendak menyatukan anak-anak tetapi lain pula jadinya.

Masa menjadi begitu lambat, setiap detik berjalan dengan begitu perlahan. Akhirnya setelah hampir 5 jam menunggu dengan penuh sabar, pintu bilik bedah terbuka. Semua mata tertumpu kepada doktor yang keluar dari bilik bedah. Masing-masing berdebar-debar menunggu apa kalam yang akan keluar dari mulut doktor bedah itu.

Dato' Salahuddin, Datin Ismalisa, Noah Iskandar dan Ava Ratna meluru ke arah Doktor Hilmi. Wajah suram Doktor Hilmi menggusarkan Dato' Salahuddin dan Noah Iskandar tapi mereka tetap menunggu dengan sabar. Doktor Hilmi memandang wajah-wajah kerisauan di hadapannya membuatkan dia sendiri agak takut dengan berita yang bakal diluahkan sebentar lagi.

Doktor Hilmi akhirnya hanya menggeleng tanpa bersuara membuatkan mereka yang berada di situ tercengang. Keluarga Dato' Salahuddin terpaku dan tiada siapa mahu bersuara sehinggalah Doktor Hilmi menyebut... Innalillahiwainnailaihirojiun.

NOAH ISKANDAR: SIBLINGS RIVALRYWhere stories live. Discover now