Ikmal menghampiri meja Dato' Salahuddin dan tanpa segan, dia duduk di kerusi abang iparnya. Noah Dzulkarnain ingin menerpa ke arah Ikmal tapi Dato' Salahuddin menghalang sambil menggeleng.
Dato' Salahuddin sudah dapat mengagak perbuatan Ikmal dan dia hanya menanti Ikmal bertindak. Inilah masa yang di tunggu-tunggu oleh Dato' Salahuddin tanpa perlu dia bertindak. Hanya menunggu mencuit sedikit perasaan Ikmal maka dengan sendiri Ikmal akan menunjukan belangnya.
Senyuman sinis terukir di bibir tuanya membuatkan Ikmal merasa hairan tapi dia sengaja membutakan matanya buat masa ini. Perlahan-lahan Ikmal juga kelihatan risau melihat kelaku Dato' Salahuddin yang tidak nampak cemas.
Hanya Noah Dzulkarnain yang kelihatan cemas melihat Ikmal duduk di kerusi papanya. Sudah tentu Nine takut kerana dia mengharapkan dirinya yang akan duduk di situ.
"Apa yang uncle buat?" Noah Dzulkarnain ketap gigi, geram melihat Ikmal selamba saja duduk sambil memusing kerusi Dato' Salahuddin.
"Patutlah semua orang berebut kerusi ini... aura dia lain macam..." Ikmal sengih kepada anak beranak di hadapannya.
"Patutlah Nine sanggup buat apa saja untuk duduk di sini, kan Nine?" Ikmal gelak kuat.
Wajah Nine berubah. Mata dikerling ke arah Noah Iskandar tapi Noah Iskandar tidak memandangnya malah mata Noah Iskandar menikam tepat ke arah Ikmal.
"Apa maksud uncle?" Dada Nine sudah berombak kuat. Hatinya berkata yang rahsianya akan pecah sebentar lagi.
Ikmal memandang sinis kepada Nine. Eh! kura-kura dalam perahu pula.
"Nine dah lupa? Apa yang Nine buat kat Is..."
"Uncle! Uncle jangan tuduh Nine. Nine tak buat apa-apa pun..."
Ikmal ketawa dengan kuat. Seronok pula dia lihat wajah cuak Noah Dzulkarnain. Tak mengaku konon padahal semua rancangan mereka yang aturkan bersama kecuali ada satu dua perkara yang dia lakukan tanpa pengetahuan Nine.
"Apa yang Nine dah buat?" Dato' Salahuddin pandang Nine, begitu juga dengan Noah Iskandar dan Gisela.
Noah Dzulkarnain gelisah... dalam hati memaki Ikmal. Dulu bukan main manis mulut nak tolong dia singkirkan Noah Iskandar tapi hari ini sibuk nak dedahkan perbuatan dia pula.
"Nine... Nine... tak..."
Sebelum sempat Nine habiskan ayatnya... "Nine cuba bunuh Is, kalau abang nak tahu."
"Uncle! Don't you dare! Tak... tak... papa... Nine tak..." Nine menghampiri Dato' Salahuddin dan memegang tangan papanya. "Nine tak bermaksud nak buat macam tu..."
"Oh! please... Nine, kau juga yang kata kalau Is balik... kau nak bunuh dia sebab peluang kau nak jadi CEO akan musnah. Kau dah tahu papa kau dah berubah fikiran memandangkan kau tak layak untuk jadi CEO. Papa kau dah tahu siapa yang buat onar dalam pejabat ini... sebab tu dia panggil Is balik sini."
"Papa! Papa jangan dengar cakap uncle. Sebenarnya semua rancangan uncle yang buat. Uncle yang paksa Nine sain semua dokumen tanpa Nine sedar ketika papa buat umrah hari tu. Mana Nine tahu semua itu..."
"Nine... Nine... Noah Dzulkarnain bin Dato' Salahuddin. Dari kecil Nine dah bencikan Is. Nine dah buat sampai Is merajuk sehingga tak mahu balik ke sini lagi tapi..." Ikmal menghela nafas panjang.
"Tapi salah Kak Isma juga sebab terlalu manjakan Nine. Maafkan uncle Is sebab uncle juga secara tak langsung adalah dalang dalam semua ini." Ikmal ketawa dengan kuat.
Dato' Salahuddin, Noah Dzulkarnain dan Noah Iskandar saling berpandangan. Apa yang berlaku sebenarnya?
"Apa maksud kau, Ikmal?" Wajah Dato' Salahuddin berubah menjadi merah. Dia sedar yang bukan salah isterinya seratus peratus tapi dia juga tidak sengaja memanjakan Noah Dzulkarnain berlebihan hanya kerana Datin Ismalisa berkehendakkan demikian.
Ikmal hanya senyum sinis. Alang-alang terbongkar maka lebih baik dia bongkarkan semua hari ini. Selepas apa yang dia akan dapat selepas ini maka tidak kisahlah apa yang mereka hendak buat kepadanya.
Apa yang dia rancangkan selama ini akan di tuai hasilnya sekejap lagi maka tiada salah jika dia lukakan hati keluarga Dato' Salahuddin. Dia akan buat mereka merempat di jalanan.
Sebelum sempat Ikmal buka mulut...
"I tak mahu dengar uncle merepek. I nak balik." Ava Ratna bangun dan menapak menuju ke pintu.
Lelaki-lelaki yang mengawal di pintu segera merapat tubuh mereka, menghalang laluan Ava Ratna.
Ava Ratna pegun tapi dia langsung tidak merasa gentar melihat wajah bengis konco-konco Ikmal.
"Tepi! Jangan halang I!" Ava menjerit namun jeritannya langsung tidak memberi berkesan kepada lelaki-lelaki tersebut. Mereka tetap pegun di situ.
"Ava... sila duduk. Kau tak nak dengar ke papa mertua kau bakal bankrap sekejap lagi?"
Ava Ratna berpaling memandang Ikmal dengan wajah tak percaya. Dia kemudiannya memandang wajah Dato' Salahuddin serta Noah Dzulkarnain.
"Apa maksud uncle?"
Ikmal angkat bahu. "Kau akan tahu sebentar lagi."
Suasana menjadi sunyi sepi. Masing-masing menunggu apa tindakan Ikmal selanjutnya. Noah Iskandar dan Gisela juga mendiamkan diri dari tadi, tidak mahu mengeruhkan lagi suasana kerana mereka sudah mengagak Ikmal akan bertindak.
Apa yang Ikmal tidak tahu, Noah Iskandar sudah menghantar isyarat kepada ASP Ghadi mengenai rancangan Ikmal. Mereka hanya perlu menunggu Ikmal bertindak sebelum polis masuk campur.
Noah Iskandar menggenggam erat tangan Gisela lalu membisik kata-kata semangat untuk isterinya. Dia berharap agar Ikmal tidak bertindak ganas kerana dia risaukan keselamatan Dato' Salahuddin dan Gisela.
Noah Iskandar juga risaukan keadaan Noah Dzulkarnain kerana dia pasti Nine akan bertindak ganas jika kedudukannya dalam syarikat itu terancam. Nine tidak sesekali akan menyerahkan jawatan CEO kepada sesiapa pun termasuk Ikmal.
Masa begitu lambat bergerak membuatkan semua yang berada di situ resah dengan apa yang akan terjadi.
YOU ARE READING
NOAH ISKANDAR: SIBLINGS RIVALRY
RomanceTidak menyangka kelahirannya di dunia adalah untuk dicemburui oleh abang kandungnya sendiri. Ketika kecil semua barang mainan akan dirampas oleh abangnya sehingga kasih sayang ibubapa pun akan dibolot oleh Noah Dzulkarnain si abang. Si adik Noah Isk...