BAB 36

342 14 0
                                    

Debaran demi debaran. Masa berdetik dengan cepat. Masa yang dijanjikan sudah berlalu kira-kira sejam yang lalu. Amy, Jemy dan Fifiy sudah tidak sabar. Mereka gelisah di dalam bilik Gisela. Gisela masih lagi tegak duduk di bucu katil. Wajah masih lagi tenang.

"G! Mana Encik Noah Iskandar ni? Dah pukul berapa ni?" Amy asyik menilik jam dari tadi.

Gisela diam.

"G! Korang nak kahwin ke tak? Tak sampai-sampai lagi ni?" Jemy juga mengeluh. Dia dari tadi asyik membetulkan selendangnya. Dia yang tidak memakai tudung, hanya meletak shawl di atas kepala lalu diselempang begitu saja.

"Jalan jem kut." Husnuzon. Perkara yang Fifiy selalu amalkan. Dia sentiasa positif dalam segala hal.

"Wei Fifiy, agak-agaklah trafik jem. Ini jalan kampung, mana boleh jem." Amy dan Jemy ketawa. Polosnya seorang Fifiy membuatkan dia selalu dibuli oleh Amy dan Jemy.

"G, kau tak risau ke? Aku tengok kau relaks betul." Amy memandang Gisela yang sedang ralit memerhati jendela. Entah apa yang difikirkannya sekarang.

Gisela dengar segala apa yang dibebelkan oleh rakan-rakannya tapi dia buat tidak peduli. Dia masih belum dapat menerima kenyataan yang dirinya adalah seorang anak perempuan seorang lelaki Inggeris.

Itulah yang dikhabarkan kepadanya semalam ketika baba mendedahkan kisah sebenarnya. Daddynya adalah seorang pelancong ketika bertemu ibu. Sementara ibu adalah seorang pelajar yang sedang bercuti.

Daddy bertemu dengan datuk Omar iaitu ayah baba ketika dia sedang bercuti di kampung datuk. Daddy terpesona dengan seni silat yang diajar oleh datuk kepada pemuda kampung. Kehadirannya diterima baik oleh datuk dan daddy berkawan rapat dengan Baba Qadri dan Paklong Qadir.

Daddy menjadi anak angkat Tok Omar. Ibu pula anak saudara Nek Mah, isteri Tok Omar... selalu datang ke rumah Nek Mah untuk memasak memandangkan Nek Mah tidak mempunyai anak perempuan.

Dari mata jatuh ke hati... kerana selalu bertemu di rumah Tok Omar, mereka jatuh cinta lalu berkahwin. Daddy memeluk agama Islam dan menggunakan nama Hardy Gene Abdullah.

Malangnya keluarga daddy mendapat tahu lalu menjejaki daddy. Setelah berjumpa, daddy dibawa pulang secara paksa oleh keluarganya. Rupa-rupanya keluarga daddy merupakan keluarga bangsawan dan mereka amat marah kerana daddy berkahwin dengan orang asing.

Mereka tidak mahu orang lain mewarisi harta sementelah daddy merupakan satu-satunya anak lelaki. Pemergian daddy meruntuhkan jiwa seorang isteri dan ibu menjadi murung sehinggalah pada hari melahirkan Gisela, ibu sudah tidak dapat menahan rindu sehingga membawa kepada kematiannya.

"G... kau kenapa?" Fifiy, Amy dan Jemy tersentak melihat air mata Gisela mengalir ketika mereka kecoh bercakap mengenai kelewatan rombongan Noah Iskandar.

Gisela segera mengelap air matanya, tidak mahu sahabat-sahabatnya risau. Senyuman hambar diberikan kepada mereka. Kepala digeleng menandakan dia tidak apa-apa. Hilang segala lamunannya dibawa terbang angin lalu.

"Sabarlah G, mungkin ada sesuatu yang menghalang dalam perjalanan. Berdoa kepada Allah. Insya Allah semuanya baik-baik sahaja." Fifiy mengelus perlahan belakang Gisela.

"Aku baik-baik saja. Terima kasih."

"Kau bukan kena kahwin paksa kan?" Amy memandang Gisela dengan rasa curiga.

"Eh! Mana ada! Kami..."

"Lebih baik kau berterus terang saja G. Aku tak rasa kau berdua jatuh cinta dalam masa terdekat ni sehingga boleh berkahwin." Jemy sokong Amy. Walaupun Amy dan Jemy sering bergaduh dan tidak sependapat tapi dalam hal ini boleh pula mereka sepakat.

"Kalau tak bercinta, tak boleh kahwin ke?" Fifiy pula bertanya.

Amy dan Jemy memandang Fifiy serentak. Gisela hanya senyum melihat wajah lugu Fifiy. Mereka semua tahu Fifiy bukanlah gadis sosial yang suka berfoya-foya. Habis kerja terus balik ke rumah. Kalau Jemy, Amy dan Gisela ajak ke mall barulah dia mengikut mereka. Fifiy suka berkawan dengan rakan-rakan bertiga itu sebab mereka tidak pernah pandang rendah kepadanya.

"Aku nak kena bercinta dulu baru boleh kahwin. Nak kenal dulu budi bahasa lelaki itu." Amy tersengih.

"Eleh! Klise. Jawapan macam artis. Hei cik kak, kalau bercinta sampai sepuluh tahun pun... lelaki tak akan keluarkan sikap buruk dia. Kau kahwin saja sehari, dia dah tunjuk perangainya yang sebenar. Masa tu baru kau tahu suami kau kentut bau busuk."

Gisela dan Fifiy sembunyi senyum selepas Jemy menyelar pendapat Amy. Amy mencebik. Ada saja ayat dia Jemy nak patahkan. Baru sekejap tadi mereka bersependapat.

"Ikut masing-masinglah. Dah Is ajak kahwin, aku pun setuju. Aku dapat rasakan yang Is seorang yang baik."

"Isyyy! Kau ni mudah percayakan oranglah. Kalau perangai dia macam Encik Nine, haaa masa tu baru kau tahu langit tinggi ke rendah." Jemy gertak Gisela.

Gisela ketawa. Kalau mereka tahu kisah sebenar yang terjadi di antara dia dan Noah Iskandar, Gisela tak dapat agak bagaimana reaksi mereka.

"Tapi aku yakin Is tak seburuk Nine. Dato' Salahudin seorang yang sangat baik, begitu juga dengan Datin Ismalisa jadi Is boleh juga menjadi seorang yang baik."

"Jadi Encik Nine ikut perangai siapa?" tanya Fifiy.

"Haa... aku rasa Encik Nine ikut perangai Encik Ikmal. Aku dengar Encik Ikmal pun kasanova juga sebab tu dia tak kahwin-kahwin lagi."

"Kau tahu mana cerita ni Jemy?" Amy dan Fifiy sudah merapat kepada Jemy. Siapa tak mahu dengar cerita sensasi begini.

"Aku kan penyambut tetamu, aku ada dengar budak-budak pejabat bergosip. Aku dengar saja tau, aku tak campur." Jemy buat muka tak bersalah. Hakikatnya dia juga turut bergosip.

"Sudah! Sudah! Apa ni? Majlis kahwin aku dah jadi medan bergosip pula. Nanti tak berkat majlis aku." Gisela sengih, sengaja nak kenakan Jemy.

Gisela risau jika mereka asyik bergosip, dia pula akan terbabas menceritakan hal yang berlaku di antara Noah Dzulkarnain dan Noah Iskandar. Hati semakin berdebar-debar. Masa berlalu tanpa mereka menyedari rombongan Noah Iskandar sudah lewat dari masa yang dijanjikan.

Tok Kadi sudah lama menunggu, para tetamu dah berpeluh ketiak menunggu dalam kepanasan dalam rumah. Kaum wanita sibuk mengipas wajah masing-masing kerana mekap sudah hampir cair. Keluhan demi keluhan kedengaran seperti bunyi lebah mencari madu.

Baba Qadri sudah tegak berdiri di jenang pintu. Panas hatinya sepanas terik matahari namun dia masih dapat bersabar. Umi Khatijah pula semakin tidak tentu arah namun masih dapat melemparkan senyuman kepada tetamu yang terdiri daripada sanak saudara. Ibu Qaid, Hajah Siti Rokiah kelihatan menggosok belakang Umi Khatijah sambil mengucapkan kata-kata semangat kepada Umi Khatijah.

Tak lama kemudian, kelihatan tiga buah kereta mewah memasuki halaman rumah Baba Qadri. Sebaik saja kereta pertama berhenti, Dato' Salahudin keluar dari kereta dengan senyuman kelat. Mungkin dia berasa malu kepada tuan rumah kerana lewat.

Baba Qadri tersenyum riang melihat rombongan Dato' Salahudin tiba dan dia menyuruh Gibran memanggil Gisela keluar kerana majlis akan dimulakan sebentar lagi. Semua tetamu juga berasa lega.

Sebaik saja Noah Iskandar melangkah keluar dari kereta, wajah Baba Qadri berubah. Begitu juga dengan tetamu yang menjenguk keluar demi melihat tampang pengantin lelaki.

"Apa dah jadi, Is?" Baba Qadri hampir pengsan melihat pakaian Noah Iskandar yang selekeh seperti baru lepas berkubang.

Gisela yang muncul bersama Gibran, turut terkesima melihat Noah Iskandar.

Apa sudah berlaku kepada Noah Iskandar dan ahli rombongannya?

NOAH ISKANDAR: SIBLINGS RIVALRYWhere stories live. Discover now