Suasana suram menyelubungi Vila Cinta Salisma setelah selesai pengebumian Noah Dzulkarnain dan Ikmal. Ya, mereka tewas dalam bilik bedah apabila kedua-duanya cedera parah dari tembakan ketika bergelut bersama.
Datin Ismalisa sudah beberapa kali pengsan sejak berita kematian itu sehinggalah kedua-dua jasad dibawa ke liang lahad. Hatinya bertambah rusuh apabila tidak dibenarkan ikut serta ke kubur. Dato' Salahuddin tidak membenarkan kaum wanita ke kubur. Hanya kaum lelaki saja yang mengikut jenazah untuk disemadikan.
Gisela setia duduk bersama Datin Ismalisa, sentiasa menenangkan mama mertuanya. Datin Ismalisa hanya mampu terbaring di dalam bilik. Dia merasa amat lemah waima untuk berdiri. Jiwanya tidak tenteram. Kehilangan anak kesayangannya membuatkan dia juga seperti mati.
"Mama... mama kena kuat. Meen tak boleh tengok lemah macam ini. Mama masih ada papa dan Abang Is. Kami sayang mama." Gisela sebak. Sayu melihat Datin Ismalisa seperti mengelamun.
"Jom kita makan. Mama tak makan dari semalam. Meen risau jika mama pula yang sakit." Air mata Gisela jatuh menuruni ke pipinya.
Bunyi esakan Gisela membuatkan Datin Ismalisa beralih memandang kepada menantunya. Perlahan tangannya menyentuh pipi Gisela dan menyapu air mata Gisela. Senyuman hambar diukir di bibir pucatnya. Datin Ismalisa bangun dari pembaringan, duduk mengadap Gisela. Tangan Gisela dicapai dan dielus lembut.
"Maafkan mama. Semua yang terjadi salah mama."
"Mama! Apa yang mama cakap ni?!"
Datin Ismalisa tunduk. Tanpa sedar air matanya yang hampir kering mengalir semula. Gisela lantas memeluk Datin Ismalisa, tidak mahu Datin Ismalisa berterusan merasa susah hati.
"Mama tahu kenapa Nine jadi begitu. Nine bencikan Is kerana Ikmal yang merosakkan otak dia. Ikmal yang taburkan kebencian kami kepada Is. Mama tak sedar, sungguh mama tak sedar yang mama telah lukakan hati Is. Entah apa yang merasuk dalam fikiran kami sampai Is terpaksa tinggalkan negara ini." Datin Ismalisa menarik nafas panjang.
"Mama..."
"Bila mama dan papa sedar, keadaan sudah terlambat. Nine sudah tak boleh diubah lagi. Mama tak tahu niat Ikmal begitu buruk padahal mama berikan segalanya untuk adik mama itu."
Ketika itu Dato' Salahuddin dan Noah Iskandar muncul. Dato' Salahuddin menghampiri Datin Ismalisa dan duduk di sebelah isterinya. Bahu dipeluk dan dibelai perlahan. Gisela pula bangun dan mendapatkan Noah Iskandar. Noah Iskandar menggenggam erat tangan Gisela.
"Dah selesai?" Dato' Salahuddin mengangguk, faham akan pertanyaan Datin Ismalisa.
Datin Ismalisa meraup mukanya tanda bersyukur. Walaupun bagaimana cara mereka meninggal, sekurang-
kurangnya jasad mereka dapat disempurnakan dengan baik.Ava Ratna pula muncul dengan sebuah bagasi. Mereka yang berada dalam bilik itu terkejut melihat Ava Ratna bersiap seperti hendak meninggalkan vila itu.
"Ava nak ke mana? Ava kan masih dalam iddah. Tinggallah di sini sampai habis iddah. Tak elok seorang balu keluar dari rumah sebelum habis iddah." Dato' Salahuddin menasihati Ava Ratna.
Ava mendengus perlahan. "Maaf papa, mama... Ava nak keluar dari sini. Ava nak ke Paris, ada job."
Dato' Salahuddin dan Datin Ismalisa saling berpandangan.
"Tapi Ava, papa boleh tanggung perbelanjaan Ava di sini sehingga selesai iddah. Tolong..."
"Tak! Ava tak boleh tinggal di sini. Tak salah seorang balu bekerja walaupun suaminya meninggal dunia. Ava perlukan kerja ini, untuk masa depan Ava sendiri."
Noah Iskandar dan Gisela hanya senyap, tidak mahu berbalah dengan Ava Ratna. Mereka tahu hukum seorang isteri yang kematian suami tapi untuk menghalang Ava rasa buang masa saja. Degil Ava boleh tahan juga.
YOU ARE READING
NOAH ISKANDAR: SIBLINGS RIVALRY
RomanceTidak menyangka kelahirannya di dunia adalah untuk dicemburui oleh abang kandungnya sendiri. Ketika kecil semua barang mainan akan dirampas oleh abangnya sehingga kasih sayang ibubapa pun akan dibolot oleh Noah Dzulkarnain si abang. Si adik Noah Isk...