Suasana tegang menyelubungi di lobi wad kecemasan apabila dua beradik iaitu Gibran dan Gisela sedang beradu mata. Gisela marah kerana larangan Gibran tanpa menyedari yang Gibran hanya risaukan keselamatannya.
Gisela geram kerana buat pertama kali dia jatuh hati kepada seseorang tapi halangan tetap ada... daripada saudara sendiri pula. Atau Gibran cemburu sebab Gisela sudah mendapat pasangan dulu daripada dia.
"Kenapa abang marah sangat? G tak ada apa-apa la. G tahu jaga diri G sendiri." Gisela lipat tangan... nampak kurang ajar tapi dia menahan dirinya dari menggeletar.
Dia sendiri tidak kuat untuk berdepan dengan Gibran namun dia perlu pertahankan hatinya sendiri. Lagi pun dia sudah berjanji dengan Qaid untuk melindungi Noah Iskandar daripada Nine.
"Abang risau dengan keselamatan G. Hari ini Is kena tembak, esok lusa... entah apa pula yang berlaku." Gibran tetap bertegas dengan keputusannya.
"Buat apa jadi anak Tok Guru Qadri kalau G tak boleh hadapi bahaya?"
"Bukan itu persoalannya tapi G perempuan... tak perlulah nak jadi hero pula."
"G bukan nak jadi hero tapi G dah su... ka... ehheemm..." Gisela pandang Noah Iskandar yang berdiri agak jauh daripadanya.
Noah Iskandar belum tahu isi hatinya. Dia masih berbolak balik dengan perasaannya sebelum ini kerana dia mendekati Noah Iskandar hanyalah kerana tugas. Tugas tidak rasmi untuk mengetahui rancangan Nine.
"Gib, maafkan aku tapi aku sukakan adik kau." Noah Iskandar menyampuk perbualan dua beradik itu.
Gibran memberi pandangan tajam kepada Noah Iskandar. Noah Iskandar bukan saja menyusahkan dia tapi mengusut lagi keadaan dengan membuat pengakuan kepadanya.
Gisela tersenyum mendengar luahan hati Noah Iskandar. Dia pasti Noah Iskandar tidak menipu dengan perasaannya sendiri. Matanya menunjukkan yang dia ikhlas menuturkan kata suka itu.
"Aku tak minta pendapat kau. Dia adik aku... tahulah macam mana aku nak buat. Aku ada hak nak larang atau suruh dia kawan dengan sesiapa pun."
"Tak kan abang nak jadi abang pukul 7 pulak? Tak sesuailah." Gisela tarik muncung.
"Abang pukul 7?" Gibran garu kepala. Dia tak faham apa yang dimaksudkan oleh Gisela.
"Alaaa... macam dalam drama pukul 7 tu. Itu tak suka, ini tak suka... semua kena ikut cakap dia... bosanlah. Cuba jadi abang yang memahami hati nurani adik sikit."
"Dah G nak kawan dengan anak CEO Mewah Holdings... memang kenalah kita dengan drama pukul 7 tu." Gibran cekak pinggang.
Kedengaran bunyi ketawa kecil daripada orang yang menunggu di wad kecemasan itu. Mereka menonton drama percuma... live lagi. Tanpa disedari oleh Gibran, mereka sendiri buat aksi drama pukul 7. Wajah Gibran bertukar merah bata, tersedar akan situasi yang berlaku tadi.
"Dah! Jom balik!" Malu diperhatikan oleh orang ramai, Gibran menarik tangan Gisela.
"Balik mana?" Gisela masih keras di situ.
"Balik rumah baba."
"Tapi esok G kerja."
"Berhenti kerja."
"Abanggg..."
Gibran menarik kuat tangan Gisela sehingga Gisela terpaksa mengikut langkah Gibran. Kepala dikalih memandang Noah Iskandar, meminta tolong dalam senyap.
Noah Iskandar hanya kaku di situ tapi dia sempat mengangguk kepada Gisela sebagai isyarat supaya Gisela mengikut Gibran. Tak guna dia melawan sekarang kerana Gibran masih lagi dalam keadaan marah.
YOU ARE READING
NOAH ISKANDAR: SIBLINGS RIVALRY
RomanceTidak menyangka kelahirannya di dunia adalah untuk dicemburui oleh abang kandungnya sendiri. Ketika kecil semua barang mainan akan dirampas oleh abangnya sehingga kasih sayang ibubapa pun akan dibolot oleh Noah Dzulkarnain si abang. Si adik Noah Isk...