Noah Iskandar duduk mengadap dua lelaki yang merenung tajam ke arahnya. Tekak terasa kering walaupun nescafe ais yang sejuk berada di hadapannya.
Gibran menarik muncung empatbelas dan tangan dikilas rapat ke dada... memerhati Noah Iskandar seperti singa hendak menerkam.
Sementara abang sepupunya, Qaid Uzair hanya tersenyum senget kepada Noah Iskandar.
Kenapa dua lelaki itu seakan menghakimi Noah Iskandar?
Gisela yang berada di sebelah Noah Iskandar kelihatan gelisah melihat wajah abangnya masam seperti masamnya buah kedondong. Paha Noah Iskandar dicuit beberapa kali tapi Noah Iskandar hanya membatu sambil tersenyum.
"Dah berapa lama kau dan G ehem..." Gibran berdeham berkali-kali, membetulkan kotak suaranya sebelum menyambung ayatnya. "Kau dan G..."
Masih belum dapat menuturkan ayat yang hendak ditanya kepada adiknya. Kepalanya kosong... tidak tahu sama ada hendak tanya terus atau menganggap yang mereka hanya rakan sekerja.
Gibran sayangkan Gisela malah perasaan sayangnya melebihi sayang seorang abang kepada adiknya. Namun dia perlu akui hakikat yang Gisela adalah adik yang diharamkan untuk berkahwin walaupun mereka bukan sedarah kerana mereka adalah saudara susuan.
"Apa abang ni? G dan Is kawan sajalah. Salah ke?" Gisela cuba untuk menyedapkan hati Gibran.
"Betul ke hanya kawan? Bukan bercinta?" Gibran masih lagi tidak puas hati.
Sebelum sampai tadi dia sudah nampak mereka berdua kelihatan mesra walaupun mereka tidak melampaui batas. Senyuman Gisela kelihatan mekar dan wajahnya yang berseri menunjukkan yang Gisela sedang bahagia.
Noah Iskandar pula walaupun wajahnya nampak beku tapi tetap nampak bahagia. Ada senyuman nipis yang tercalit di bibir cukup untuk menunjukkan yang dia sedang bahagia.
Gibran dan Qaid datang ke restoran kerana ingin bertemu Noah Iskandar tapi mereka terkejut melihat Gisela berada bersama Noah Iskandar. Noah Iskandar ingin menjelaskan kepada Gibran kedudukan dia dan Gisela tapi belum sempat menyatakan hasratnya, Gibran sudah tembak dia dulu.
"Bila tiba masanya nanti." Noah Iskandar mencelah, membunuh lamunan Gibran.
"Apa maksud kau? Kau jangan main-mainkan adik aku. Dia amanah aku... tau tak?" Gibran mula menyinga.
"Sepatutnya abang Qaid yang soal G sebab dia polis, bukannya abang."
Qaid Uzair hanya ketawa. Dari tadi dia hanya tersenyum melihat gelagat Gibran yang nampak tidak sabar ketika bertemu Gisela dan Noah Iskandar di restoran ini. Sebetulnya Gibran tidak tahu yang dia yang mengarahkan Gisela mendekati Noah Iskandar dalam misi melibatkan Noah Dzulkarnain.
Jadi... adakah mereka benar-benar jatuh cinta?
"G, seorang abang akan menjadi seorang penyiasat malah boleh jadi unit tindakan khas apabila melibatkan adik dia. Gib memang cukup takut jika G kahwin dulu daripada dia. Dia takut tak lakulah tu." Qaid masih lagi seronok hendak kenakan Gibran.
"Mana ada! Kau tahukan Noah Iskandar ni siapa? Dia anak orang kaya, orang berada... hartawan yang makan di pinggan dan minum di cawan eh..."
Sudah... dalam mode serius Gibran sempat berlakon jadi pak haji si tukang cerita dalam Tiga Abdul. Qaid, Noah Iskandar dan Gisela hanya mampu senyum senget melihat Gibran sudah salah tingkah. Nak ketawa kuat, cari pasal namanya.
"G tahukan apa maksud abang? Lagi pun abang tak mau G terjebak dalam masalah Is dan abang dia." suara Gibran kembali sendu.
Suasana menjadi hening. Noah Iskandar terdiam mendengar alasan Gibran. Dia tahu nyawa Gisela akan terancam jika benar Nine ada komplot untuk membunuhnya tapi dia sudah terlanjur jatuh suka kepada Gisela.
Gisela pula seolah-olah rela untuk bersama Noah Iskandar walaupun sedar akan bahaya yang bakal menjelma. Hati manusia, hanya Allah saja yang dapat membolak balikkan walaupun kita cuba untuk menidakkan hati sendiri.
Itulah yang terjadi kepada Noah Iskandar dan Gisela. Saranan Qaid supaya mereka berlakon menjadi pasangan kekasih... sudah menjadi realiti. Qaid sendiri tidak menyangka perkara itu akan berlaku.
"Gib... percayalah pada takdir. Aku rasa mereka akan baik-baik saja." Qaid cuba untuk menghilangkan resah Gibran.
Gibran mendengus kasar. Dia nak buat macam mana lagi apabila dua insan yang sedang bercinta itu masih berpegang kepada kata-kata mereka. Kini dia akui yang cinta itu buta. Dia berharap agar mereka mendapat perlindungan Allah SWT.
"Gib... aku janji, aku akan jaga G macam aku jaga nyawa aku sendiri. Nine tak boleh usik G, aku akan pastikan perkara itu." Noah Iskandar buat ikrar cuma dia tak angkat tangan kanan saja lagi.
"Abang... G laparlah. Jom makan." Gisela sudah tidak mampu untuk meneruskan perbualan ini lagi. Perutnya sudah minta untuk diisi.
Ketiga-tiga lelaki di meja itu memandang Gisela serentak. Gibran ketap bibir manakala Qaid terus ketawa. Noah Iskandar pula sembunyi senyum.
"Apa? Memang G lapar. Soal siasat ini buatkan G kelaparan." Gisela membentak manja.
"G memang suka kona pi tang lain kan bila terdesak macam ni. Nak lari la tu." Gibran mencebik... habis terkeluar bahasa daerah baba Qadri.
Pelayan restoran tampil setelah digamit oleh Noah Iskandar. Pelayan itu senyum sumbing melihat mereka yang belum order makanan padahal dah lama mereka sampai. Berbincang sakan sampai lupa nak order.
Entah apa yang mereka bualkan, dia tak peduli. Kerjanya hanya mengambil dan menghantar pesanan. Dia yang berkerja lama di situ, sudah lali dengan ragam manusia yang berkunjung di restoran itu.
Noah Iskandar dan Gisela makan dengan tertib... tidak mahu mencetuskan kemarahan Gibran dengan adegan yang tidak sepatutnya. Sambil makan, Noah Iskandar dapat melihat betapa Gibran cukup menjaga Gisela. Ada saja teguran yang dikeluarkan untuk Gisela.
Gisela pula melayan Gibran dengan cukup baik. Apa saja yang Gibran katakan, dia hanya mengangguk seperti burung belatuk. Angguk saja, geleng langsung tidak.
Selesai makan, mereka berjalan menuju ke kereta masing-masing. Gibran bertegas untuk membawa pulang Gisela walaupun Gisela membantah namun Noah Iskandar menyuruh Gisela mengikut saja Gibran.
Wajah Gisela cemberut apabila terpaksa mengikut Gibran. Jika diikutkan, Gisela ingin meluangkan masa dengan lebih lama bersama Noah Iskandar tapi Gibran tarik tangannya supaya masuk segera ke dalam kereta.
"Jumpa esok." Hanya ayat itu yang sempat Gisela katakan kepada Noah Iskandar dan mendapat respon yang baik daripada Noah Iskandar.
Tinggal Noah Iskandar dan Qaid Uzair di situ. Sebelum Noah Iskandar beredar, Qaid sempat menahannya.
"Aku suruh berlakon saja tapi kenapa kau betul-betul jatuh cinta?" Qaid sekadar ingin mengetahui reaksi Noah Iskandar.
"Entahlah..." Noah Iskandar tarik nafas panjang. "Aku dapat rasakan yang dia sukakan aku. Aku cuba untuk menidakkan rasa itu tapi..."
"Semakin lama aku bersama dia... aku jadi tertarik dengan karekter dia. Yeah... she's clumsy but kind hearted person. Dia tak kisah pun apa orang nak kata... dia dengan cara dia. Sebab itu rasanya papa sukakan dia."
Qaid Uzair mengangguk laju. Dia tahu Gisela bagaimana orangnya. Mereka membesar bersama walaupun Gisela muda beberapa tahun daripada dia dan Gibran tapi Gisela selalu ikut mereka bermain.
Kelam kabut dari kecil tapi tumbuh menjadi seorang gadis yang cantik dan menawan namun sikap kelam kabutnya tetap dibawa bersama sehingga hari ini.
"Kau jaga dia baik-baik... dia ada dua guardian angel yang akan jaga dia." Qaid tepuk bahu Noah Iskandar.
Sebaik sampai di kereta Qaid, mereka terdengar deruman sebuah motosikal besar berhenti mengejut di sebelah mereka. Qaid dan Noah Iskandar berpaling melihat siapakah yang membrek secara tergesa-gesa itu.
Mata mereka membesar apabila seorang lelaki yang membonceng motosikal itu mengeluarkan sepucuk pistol dan menala tepat kepada Noah Iskandar.
"Is! Watch out!!!"
Bang!! Bang!!
Terima kasih kerana sudi baca dan vote kisah Noah Iskandar dan Gisela.
YOU ARE READING
NOAH ISKANDAR: SIBLINGS RIVALRY
عاطفيةTidak menyangka kelahirannya di dunia adalah untuk dicemburui oleh abang kandungnya sendiri. Ketika kecil semua barang mainan akan dirampas oleh abangnya sehingga kasih sayang ibubapa pun akan dibolot oleh Noah Dzulkarnain si abang. Si adik Noah Isk...