BAB 35: SATU RAHSIA

370 17 2
                                    

Hari yang mendebarkan buat Gisela. Hari ini dia akan diijab kabul dengan siapa lagi bakal suaminya kalau tidak Noah Iskandar Dato' Salahuddin. Suara gembira rakan-rakannya, Jemy, Amy dan Fifiy tidak dipedulikan oleh Gisela. Dia hanya membatu di hujung katil. Gisela sedang dihias oleh Amy dan Jemy.

Gisela hanya membiarkan dirinya dioles oleh dua orang rakannya tanpa membantah. Fikirannya ligat memikirkan sesuatu... sesuatu yang membuatkan dia hampir membatalkan pernikahannya.

Imbas kembali:

Baba Qadri memanggil Gisela ke ruang tamu. Gisela yang ketika itu sedang bercakap dalam telefon dengan Noah Iskandar, segera mematikan talian. Panggilan daeipada Baba Qadri lebih penting daripada Noah Iskandar. Alahhh, esok selepas menjadi isteri Noah Iskandar, dia boleh bersembang dengan Noah Iskandar sampai lebam.

"Ya, baba. Ada apa baba nak cakap dengan G ni?" Gisela duduk di sebelah Baba Qadri sambil merangkul lengan baba dengan manja. Kepala dilentok ke bahu baba.

"Ishhh... dah nak jadi isteri orang pun manja lagi." Gibran mengejek.

Gisela menjelir kepada Gibran. "Elehhh... jeles la tu tak dapat bermanja dengan baba."

"Abang ada umi." Gibran terus memeluk Umi Khatijah.

Umi Khatijah sekadar senyum hambar. Dia sudah panas punggung untuk duduk di situ. Dia tahu tujuan Baba Qadri memanggil mereka berkumpul di situ. Hal mengenai Gisela perlu diperjelaskan malam ini. Baba dan umi tidak mahu kekecohan berlaku pada hari akad nikah Gisela.

Baba Qadri juga menolak cadangan Dato' Salahuddin untuk melakukan majlis akad nikah Nine dan Noah Iskandar secara serentak. Dia takut jika umum akan mengetahui kisah sebenar Gisela. Dia tidak mahu Gisela mendapat malu kerana Gisela bakal menjadi menantu orang kenamaan.

Mujur Dato' Salahuddin dan Datin Ismalisa tidak banyak soal dan mereka menerima Gisela seadanya. Bukan masalahnya jika Gisela hanya anak angkat kerana peribadi Gisela cukup baik dalam jagaan Baba Qadri dan Umi Khatijah.

"Meen, baba ada sesuatu perkara nak bagitau Meen dan baba harap Meen menerima dengan hati terbuka." Baba Qadri memulakan mukadimah sebelum sempat Gisela dan Gibran bertengkar.

Gisela dan Gibran tegak memandang baba, umi juga kelihatan gelisah. Gibran menarik nafas, dia tahu masanya sudah tiba untuk mengumumkan status Gisela. Gibran juga agak gelisah dengan penerimaan Gisela nanti.

Suasana menjadi begitu sepi. Mujur ketika ini sanak saudara bab dan umi belum tiba, jika tidak pasti suasana akan menjadi bertambah kecoh.

"Err... ada apa baba?" Gisela cuba untuk berkelakuan selamba walaupun dadanya cukup bergetar menahan debar.

Baba Qadri memandang umi dan Gibran silih berganti. Kedua beranak itu sekadar mengangguk, memberi isyarat agar baba meneruskan agendanya hari ini. Masa inilah yang sesuai untuk mendedahkan segala-galanya.

"Macam ni Meen, macam mana baba nak terangkan... esok Meen akan bernikah kan." Gisela mengangguk dan sebuah senyuman terlakar di bibir merahnya. "Jadi baba nak rungkaikan satu simpulan yang berselirat dalam kepala baba ni."

Tawa Gibran terletus jua, Baba Qadri jegil matanya kepada Gibran. Boleh pula adegan serius ini Gibran boleh ketawa. Umi hanya tersenyum senget, tak berani ketawa depan-depan. Nanti baba mengamuk... kenduri ke mana, majlis ke mana, silap-silap mereka pula ke hospital.

"Gib... baba serius ni, bukan buat lawak." Baba ketap gigi.

"Maafkan Gib baba, terlepas..." Gibran meneutralkan kembali wajahnya menjadi serius.

Gisela juga hampir ketawa melihat gelagat Gibran. Itulah saja nak buat baba arah. Bukan tak tahu, baba akan marah kalau ganggu perbincangannya. Gisela menjelir lagi kepada Gibran.

"Baba, pedulikan abang Gib. Dia memang suka tonton filem komedi, sebab tu dia suka gelak." Gisela sengaja membakar jiwa Gibran.

"Sudah! Eeii... budak-budak ni, kalau tak bergurau sehari tak sah." Baba sudah naik angin. Gibran dan Gisela segera menikus di tempat duduk masing-masing.

Nafas ditarik panjang, akhirnya baba bersuara. "Gisela Ameena, esok bukan baba yang menjadi wali Meen tau sebab Meen bukannya anak baba dan umi."

Mata dipejam sebaik saja baba melafazkan kata-kata keramat itu. Dia risau untuk melihat wajah Gisela. Dia cukup takut penerimaan Gisela. Siapa saja akan sedih jika mengetahui perkara itu.

Suasana senyap membuatkan baba terpaksa membuka mata dan sebaik saja dia melihat Gisela, baba tersandar lemah di sofa.

Pemandangan di depan mata tidak terjadi seperti apa yang dia fikirkan. Gisela nampak begitu tenang dan tersenyum, langsung tiada titisan air mata membasahi pipinya.

Pelik! Apa yang berlaku? Kenapa Gisela tak mengamuk? Kenapa dia boleh lagi duduk dengan tenang dan tersenyum? Senyuman Gisela pula begitu manis. Gisela tak marah ke? Gibran dan umi juga terkejut melihat reaksi Gisela. Gisela kena sampukkah?

"G, G dengar tak apa yang baba katakan tadi?" Gibran resah melihat senyuman Gisela. Gibran juga pelik melihat Gisela seperti tidak terkesan dengan pembongkaran identitinya.

Gisela mengangguk. "G tak rasa apa-apa ke?" tanya Gibran lagi. Serius dia terkedu melihat keadaan Gisela.

"Ya, G dengar dan G faham apa yang baba cakapkan tadi. Abang nak G buat macam mana?"

"Err... err... abang..." Gibran garu kepala.

"Meen, walau apa pun... Meen tetap anak umi dan baba. Kami tak pernah anggap Meen orang luar. Umi sayang Meen dunia dan akhirat." Umi pula yang menangis teruk.

Gisela bangun dan mendapatkan umi lalu memeluk umi dengan erat. Dia tidak akan sesekali mengabaikan perasaan umi dan baba yang telah banyak berjasa kepadanya.

"G tau umi. Umi jangan risau, G tak akan tinggalkan umi dan baba. Umi tetap umi G. Baba pun tetap baba G dan abang Gib err... kami batal air sembahyang ke baba?" Baba dan umi menggeleng serentak. "Nasib baik, abang Gib tetap abang G dunia dan akhirat."

Tahulah Gisela yang dia dan Gibran adalah saudara susuan dan dia risau kerana dia dan Gibran selalu bergurau kasar malah sering bertepuk tampar. Patutlah baba dan umi tidak marah kalau mereka bersentuhan.

"Alhamdulillah... baba macam nak mati bila nak bagitau perkara ini kat Meen. Baba cukup takut..."

"Baba, G dah dewasa dan baba tak perlu risau. G boleh terima rahsia ini dengan hati terbuka. Cuma G nak minta satu perkara kat baba."

Baba Qadri mengangguk. Dia tahu apa yang ingin Gisela mahu tahu... ibu bapa kandung Gisela.

"Meen nak tahu siapa ibu bapa kandung Meen?"

"G harap G bukan anak tak sah taraf sebab kalau G anak haram, G tak boleh berkahwin dengan Is."

Astaghfirullah al azim... Baba Qadri, Umi Khatijah dan Gibran beristighfar serentak. Umi sudah urut dada, terkejut dengan kata-kata Gisela. Gibran sudah bangun dari tempat duduknya manakala baba masih bertenang.

"Gisela Ameena! Kenapa cakap begitu? Is dah tahu semuanya dan dia tak kisah pun siapa G yang sebenarnya. Kalau dia kisahkan siapa G yang sebenarnya, dia dah lama tarik diri masa baba ceritakan kat dia hari tu."

"Jadi Is dah tahu?" Gisela menjadi lugu, tidak menyangka Noah Iskandar terlebih dahulu mengetahui rahsia ini.

"Meen bukan anak tak sah taraf. Ibu bapa Meen berkahwin tapi berpisah sebelum Meen dilahirkan lagi. Ibu Meen meninggal masa lahirkan Meen. Kenapa kami tak hebahkan status Meen sebab keluarga sebelah bapa Meen tak tahu kelahiran Meen. Kami terpaksa lindungi Meen sebab..."

Bersambung...

NOAH ISKANDAR: SIBLINGS RIVALRYWhere stories live. Discover now