Bunyi tembakan membuatkan pejabat Dato' Salahuddin bergegar membuatkan pekerja-pekerja terpegun. Bunyi suara mereka bertingkah sesama sendiri membuatkan suasana menjadi agak riuh.
"Bunyi apa tu?"
"Mercun raya ke?"
"Gila kau! Puasa pun belum, celah mana rayanya?"
"Hoi! Apa yang korang merepek? Tu bunyi tembakan pistol."
"Kau tahu mana?"
"Aku selalu tengok movie. Bunyi pistol macam itulah."
"Apa yang kau merepek ntah. Itu pejabat Dato', takkan ada orang tembak dalam tu?"
"Kita nak buat apa sekarang?"
Beberapa orang pekerja di tingkat itu mula berbahas di antara mereka. Kepala masing-masing tegak dan mata tak lepas memandang pintu bilik Dato' Salahuddin, menanti dengan sabar apa yang berlaku sebenarnya.
Ketika menunggu, mereka terdengar satu lagi bunyi tembakan dari dalam bilik Dato' Salahuddin membuatkan mereka terkejut.
"Telefon polis! Telefon polis!"
"Kau dah kenapa?"
"Aku rasa ada orang lepaskan tembakan tapi aku tak tahu siapa."
"Kau biar betul."
"Ishhh, korang ni..."
Lelaki itu terus menghubungi polis walaupun dia sendiri agak was-was dengan apa yang berlaku tapi dia tahu sesuatu yang buruk telah berlaku dalam bilik Dato' Salahuddin ketika ini.
"Polis..."
Ketika itu di dalam bilik...
"Nine!!"
Bunyi tembakan meletus selepas Noah Dzulkarnain menerkam ke arah Ikmal. Mereka yang berada di dalam bilik itu tergamam. Ava terus menerpa ke arah Noah Dzulkarnain sambil menjerit memanggil nama Nine. Namun sebelum Ava sempat sampai, satu lagi bunyi tembakan melangsi membuatkan Ava terpegun.
Dua orang pengawal turut berlari dengan tujuan untuk menolong Ikmal tapi Noah Iskandar pula melancarkan serangan ke atas mereka. Dato' Salahuddin tidak tunggu lama turut menolong Noah Iskandar walaupun dia tidak tahu berlawan.
Namun semangatnya begitu tinggi untuk melawan musuh yang cuba mengacau-bilaukan pejabatnya. Gisela juga tidak berdiam diri, bergasak membantu papa mertuanya melawan penjahat tersebut. Walaupun dia tidak pernah bersilat tapi sebagai anak Tok Guru Qadri, dia dapat juga belajar ilmu persilatan.
"Nine..." Ava yang masih pegun memanggil nama Nine dengan perlahan apabila Nine masih belum kelihatan dari sebalik meja itu.
Begitu juga dengan Ikmal, juga tidak kelihatan selepas tembakan kedua. Ava masih belum berani untuk menjenguk keadaan Nine ataupun Ikmal. Matanya beralih pula kepada Noah Iskandar, Dato' Salahuddin dan Gisela yang sedang berentap melawan konco-konco Ikmal.
Bibir bergetar, bergerak-gerak perlahan untuk memanggil nama papa mertua dan Noah Iskandar tapi suaranya tidak terkeluar. Ava terlalu takut sehingga tiada kosa kata yang mampu keluar dari kotak suaranya. Jarinya hanya mampu menunjuk ke arah Nine dan Ikmal sambil mata memandang Dato' Salahuddin dan Noah Iskandar silih berganti.
Dato' Salahuddin, Noah Iskandar dan Gisela masih lagi bertungkus lumus melawan walaupun Dato' Salahuddin kelihatan lelah tetapi Gisela berusaha sebaik mungkin menumpaskan mereka. Komputer riba Dato' Salahuddin yang berada di atas meja menjadi senjata Gisela untuk menghentam kepada lawannya. Lantaklah laptop itu rosak, Dato' Salahuddin mampu membeli yang baru. Nyawa mereka lebih penting sekarang.
Ketika kekalutan itu, terdengar bunyi pintu di rempuh. Kelihatan beberapa orang polis masuk dengan pantas dan segera menolong Noah Iskandar menangkap salah seorang konco-konco Ikmal. Seorang lagi hampir lunyai dikerjakan Gisela dan Dato' Salahuddin. Noah Iskandar segera mendapatkan Gisela apabila melihat Gisela masih lagi menghentam lelaki itu.
"Giselle! Sayang! Sudah, dia dah pengsan tu." Noah Iskandar menarik tangan Gisela daripada memukul lelaki itu.
Wajah Gisela kelihatan berserabut dengan tudung yang sudah tidak nampak rupa. Nafasnya terputus-putus, penat kerana menghabiskan tenaga memukul lelaki itu. Hatinya geram dengan orang yang membuat onar dengan keluarga mertuanya.
"Cukup Meen, nanti kau pula ke penjara kalau orang itu mati." Suara yang dikenalinya menegur setelah melihat Gisela seakan tidak berpuashati apabila Noah Iskandar menghalang Gisela dari memukul.
Gisela memandang abang sepupunya dengan rasa tidak puas hati namun dia berhenti juga dari memukul dan Gisela terpaku apabila melihat objek di tangannya yang sudah rosak.
"Err... err... papa... maafkan Meen..." Komputer riba itu diletak perlahan di atas lantai sambil tersengih malu kepada Dato'Salahuddin.
Qaid Uzair hanya mampu ketawa kecil melihat wajah kebingungan Gisela. Itulah tadi bergasak langsung tak tengok senjata yang digunakan. Dia tahu Gisela hanya mengikut ajaran babanya ketika menghadapi musuh. Gunakan apa saja senjata yang berada di sekeliling kita jika di serang musuh.
"Tak apa Meen, nanti papa beli lain. Laptop tu pun dah lama. Terima kasih sebab tolong papa tadi." Dato' Salahuddin bangun dan membelek tubuhnya sendiri. Tidak pernah dia bergusti seperti tadi, dia cuma mengikut nalurinya saja. Mujur Gisela menolongnya tadi, kalau tidak tak tahulah apa yang akan terjadi. Kalau tak masuk hospital entah-entah... wallahuaklam.
Noah Iskandar memeluk bahu Gisela dengan kuat. Tepi kepala Gisela di cium beberapa kali dan nafas di tarik selepas mereka berjaya menghentikan perbuatan Ikmal. Noah Iskandar memerhati Dato' Salahuddin yang sedang melingas melihat keadaan pejabat itu.
"Papa okey?" Soalan Noah Iskandar hanya dijawab dengan anggukan kerana dia sedang mencari kelibat Noah Dzulkarnain dan Ikmal.
Sejak tadi dia tidak nampak Noah Dzulkarnain ataupun Ikmal. Tiba-tiba dadanya berdebar dengan laju. Dato' Salahuddin melihat Ava Ratna yang masih kejung di satu sudut. Mata Ava pegun pada belakang mejanya. Dato' Salahuddin memerhati arah pandangan Ava dan ketika itu juga dia merasakan jantungnya seolah-olah berhenti berdegup.
"Ni... ne..." hanya nama Noah Dzulkarnain yang mampu keluar dari bibir Dato' Salahuddin.
Suasana ribut tadi menjadi sunyi sepi apabila Dato' Salahuddin menyebut nama Nine. Semua mata terpasak kepada jari telunjuk Ava yang lurus menunjuk ke arah tubuh Nine.
"Ya Allah!" Hanya nama Allah yang mampu di sebut oleh mereka yang berada di situ.
Noah Iskandar dan Gisela turut terpaku memerhati tubuh Nine yang tidak bergerak di atas tubuh Ikmal, juga dalam keadaan kaku. Qaid Uzair dan ASP Ghadi Aqhar segera menghampiri Nine dan Ikmal. Qaid Uzair memeriksa nadi Nine dan Ikmal, mengangguk kepada Ghadi Aqhar.
"Got pulse... call the ambulance!" jerit Qaid.
Keadaan kembali menjadi riuh. Qaid sedaya upaya mencari kecederaan Nine sementara Ghadi Aqhar juga memeriksa keadaan Ikmal yang nyawa-nyawa ikan itu. Rupa-rupanya dua tembakan yang kedengaran tadi telah mengenai Nine dan Ikmal.
Dato' Salahuddin menghampiri Ava Ratna dan menarik Ava supaya duduk. Ava mengikut papa mertuanya dan ketika itu juga tangisan yang ditahan dari tadi terhambur keluar. Walaupun agak marah dengan Nine tapi melihat keadaan Nine yang berlumuran darah membuatkan Ava merasa sayu. Dato' Salahuddin memujuk Ava sambil menepuk perlahan belakang badan Ava. Dia sendiri merasa sedih melihat tubuh kaku Nine.
Noah Iskandar juga menghampiri Nine tapi dia tidak dapat berbuat apa-apa. Kesan kecederaan Nine dan Ikmal nampak parah sehingga kedua-duanya tidak sedarkan diri. Noah Iskandar pandang Qaid dan Qaid hanya mampu menggeleng. Noah Iskandar terkesima dan mengalih pandangan kepada Dato' Salahuddin yang sedang memujuk Ava.
Noah Iskandar tidak mampu untuk berkata-kata. Dia hanya mampu menunggu kedatangan ambulan. Sesungguhnya dia tidak menyangka keadaan menjadi buruk sebegini. Ikmal terlalu taksub untuk mendapatkan harta dan kedudukan sehingga sanggup melakukan jenayah terhadap keluarganya sendiri.
Ketamakan membawa bencana jika manusia tidak dapat menahan perasaan dengki terhadap orang lain.
YOU ARE READING
NOAH ISKANDAR: SIBLINGS RIVALRY
RomanceTidak menyangka kelahirannya di dunia adalah untuk dicemburui oleh abang kandungnya sendiri. Ketika kecil semua barang mainan akan dirampas oleh abangnya sehingga kasih sayang ibubapa pun akan dibolot oleh Noah Dzulkarnain si abang. Si adik Noah Isk...