"Binatanggg!!!" tempikan itu bergema keras dan seraya itu tubuhnya dipukul bertubi-tubi.
Dia yang terduduk di atas lantai papan sedikitpun tidak mengelak. Mempertahankan diri pun tidak juga. Dia hanya membiarkan saja mak ngah melempias amarahnya sehinggalah wanita itu jatuh terduduk di atas lantai. Wanita separuh abad itu sudah tidak malu menghamburkan tangisan dengan begitu kuat. Meraung sehingga nampak anak tekaknya. Dia di sebelah pula mengetap bibir menahan rasa yang bercampur-baur.
"Kau budak tak kenang budi. Aku bela kau dari kau kecik tapi bila kau dah ada nafsu anak aku yang kau kerja kan," luah Mak Ngah Nafisah geram bersama deraian air mata yang nampaknya tidak akan ada kesudahan.
Zahin pandang Suhaira di hujung katil. Gadis itu yang membalut tubuhnya dengan selimut sedang menangis teresak-esak. Mukanya hanya tunduk memandang ke bawah. Kemudian Zahin pandang suami baru mak ngah, Pak Cik Idris yang kerekot tubuhnya dengan muka berkerut menahan sakit akibat tendangannya tadi.
Dia pandang semuanya dengan perasaan benci. Mak ngah yang memukul tanpa usul periksa. Suhaira yang memutar belit fakta dan Pak cik Idris yang menyembunyikan gunting dalam lipatan kainnya.
Sungguh hatinya amat sakit dengan apa yang terjadi. Terasa bodoh pula dirinya. Dia ingat dengan menolong Suhaira dia akan dijulang sebagai pahlawan. Alih-alih cap mohor budak tak kenang budi yang dia dapat.
"Kenapa kau buat Su macam tu. Su tu dah macam adik kau Zahin. Tapi kau dah buat dia macam pelacur," tempik Mak Ngah Nafisah kuat.
"Saya tak buat apa pun mak ngah." Akhirnya dia bangkit membela diri sendiri. Luahannya kedengaran sayu namun tetap juga tidak dipercayai emak saudaranya.
"Kau jangan nak kelentong Zahin. Aku nampak kau tindih Suhaira. Aku nampak apa yang kau buat dekat anak aku. Malah kau tendang pak cik kau. Kau sakitkan tubuh dia."
Dalam keadaan berdiri Zahin kepal penumbuk.
"Saya tak bersalah mak ngah." Dia cuba pertahankan diri tetapi wanita itu nampak berapi. Makin berapi apabila suara Pak cik Idris berbunyi. Cuba menjelaskan hal sebenarnya.
"Abang nak tolong Suhaira tapi Zahin ni tendang abang. Tak sempat abang nak pertahankan diri abang, Sah."
Lelaki itu kerutkan muka. Menahan sakit yang tidak mampu diluah lagi.
Mak Ngah Nafisah masih tidak puas hati. Melihat wajah tidak beriak Zahin geramnya berganda-ganda. Kali ini kepala Zahin pula menjadi mangsa. Dia pukul dengan tangannya berkali-kali dan lelaki itu menahan dengan kedua belah tangannya juga. Rasa macam tidak cukup lalu Mak Ngah Nafisah mengambil buku teks Suhaira di atas meja belajar lalu dihempuknya kepala Zahin dengan kuat. Bucu buku yang tajam menggores atas kening kiri Zahin saat lelaki itu mahu mengelak. Tidak sempat berbuat demikian luka pula yang dia dapat. Setitik dua darah pekat mengalir lesu menuruni pipinya.
Mak Ngah Nafisah terkejut. Cengkam buku dengan kuat. Nafas orang tua itu berlari laju dan mata itu buntang akibat terkejut melihat keadaan anak saudara sendiri.
Wajah Zahin sudah berubah rona. Kesabarannya menipis. Dia tidak bersalah dan dia akan buktikan yang dia sememangnya tidak bersalah.
Buku di tangan Mak Ngah Nafisah dirampas laju lalu dibaling keras ke depan. Terhempap buku ke dinding lalu menghasilkan bunyi yang kuat. Itu sudah cukup untuk mengejutkan dan menakutkan mak ngah serta Suhaira.
"Kalau aku cakap aku tak buat, aku tak buatlah. Aku nak tolong Suhaira...," nada suara sudah berubah kasar dan bahasa juga sudah tidak ada adab sopannya apabila bercakap dengan orang yang lebih tua. Hatinya sakit. Amarahnya bukan sedikit. Matanya kini mengarah pada Pak cik Idris. Lelaki itu pula larikan muka. Takut barangkali dengan wajah seriusnya berserta mata yang sudah merah menyala. Kemudian dia alihkan pandangan pada Suhaira yang masih tersedu-sedu.
"Kenapa kau tak berterus-terang?" hambur Zahin kuat lalu merapati Suhaira. Gadis tersebut menjerit takut apabila tangan Zahin sudah mencapai rambut yang terjuntai di depan. Mak Ngah Nafisah terkejut lalu dengan pantas menolak tubuh anak saudaranya dengan kuat sebelum lelaki itu mencederakan Suhaira.
Jatuh tergolek Zahin apabila ditolak wanita itu."Dasar tak kenang budi. Aku tak nak tengok muka kau kat sini lagi. Baik kau berambus dari sini sebelum aku mengamuk tak henti-henti," tempik Mak Ngah Nafisah dengan rasa kesal bertimpa-timpa - kesal kerana anak saudara yang dibela bagaikan anak sendiri tidak serupa orang.
"Kalau dah yatim tu buat cara yatim. Orang dah ambik bela tu pun dah cukup baik. Jangan nak berlagak alim sangatlah."
Tajam mata Zahin memandang semuanya. Tajam juga telinganya menangkap patah sindiran yang keluar dari mulut lelaki tak guna itu. Dia digelar anak yatim tak kenang budi.
Kini dia tarik nafasnya dalam-dalam. Apabila dihembus terasa berat mencengkam dada. Dia bangkit lalu melangkah ke pintu. Berhenti seketika dan pandang wanita itu yang sedang memeluk anaknya. Meredakan orang yang tidak sepatutnya.
"Mak ngah lagi percayakan lelaki yang baru setahun dua tinggal dengan mak ngah dari mempercayai aku yang mak ngah bela sejak dari kecil. Tak sangka mak ngah sekejam ini," luah Zahin kesal.
Dia mahu meneruskan langkah namun jasa mak ngah terlalu banyak sehingga dia rasa serba salah untuk meninggalkan wanita itu. Tetapi melihat senyum jahat Pak cik Idris di balik kerutan muka dia berjanji. Dia berjanji untuk pergi dari tempat yang telah merobek hatinya.
"Kau lebih layak duduk dengan binatang. Berkawan dengan bintang," tempik Mak Ngah Nafisah kuat dan pastinya tekad seorang lelaki seperti Zahin tidak akan berubah lagi.
Dia tidak akan kembali ke sini. Dia berjanji tidak akan jejakkan kakinya ke ladang ini lagi. Itu tekad yang tak akan diubah biar nyawanya menjadi galang ganti.
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...