BAB 32

335 25 0
                                    

"Kenapa tak call aku. Bagitahu kena balik malam ni jugak?" soalnya apabila aku sudah tenang.

Aku diam. Pandang ke luar tingkap. Aku tak tahu nak cakap apa. Berbelah bahagi perasaan aku sekarang. Antara keinginan untuk mengetahui masalah apa yang sedang berlaku di banglo abah dengan rayuan Kak Rai yang tak mahu aku balik.

"Aku buntu."

Akhirnya aku zahirkan apa yang aku rasa dengan menangis lagi.

"Cerita pada aku," suruh dia namun aku masih sangsi. Perlu ke aku ceritakan belenggu yang membelit hati aku pada dia yang masih dalam proses untuk aku kenal. Adakah dia dapat membantu aku.

"Dengan senyap begini masalah akan selesai ke?" soal dia lagi.

Tiba-tiba saja dada kembali ketat. Aku rasa nak menangis. Lalu aku alihkan muka dan pandang dia. Kolam mata kembali bergenang.

"Kau memang betul-betul nak ke dekat aku?" soalan aku nyata mengejutkan dia.

"Hati aku tak mahu orang lain. Aku hanya nakkan kau seorang saja."

"Tapi aku anak yatim."

"Aku pun sama."

Tangisan aku tak jadi luruh bila aku tahu dia sama macam aku.

"Aku yatim piatu sejak usia enam tahun. Tinggal dengan mak ngah aku sehingga aku berusia 18 tahun. Selepas itu aku dihalau keluar gara-gara fitnah jahat mulut manusia yang tak berhati perut."

Aku terkejut.

"Aku larikan diri sebab mereka yang tak mahukan aku. Syukurlah tuhan temukan aku dengan Tok We dan abang angkat yang banyak membantu. Sebab mereka yang jaga aku macam jaga keluarga sendiri jadi aku masih dapat teruskan hidup."

Pandangan aku langsung tak beralih lagi daripadanya. Rupa-rupanya dia juga hidup dalam keperitan. Aku ingatkan ujian yang aku terima maha hebat rupanya dia juga begitu. Aku simpati dengan dia dan aku kasihan dengan diri aku sendiri.

"Aku mulakan cerita agar kau kuat untuk ceritakan kisah kau pada aku."

Aku pandang ke dalam anak matanya. Cari kekuatan agar aku mampu bercerita.

"Aku...."

"Teruskan."

Aku tunduk malu kerana dia sanggup mendengar.

"Aku tinggal dengan abah, bapa saudara aku selepas kematian emak dengan ayah. Tapi hidup aku tak tenteram. Abah benci aku sebab dia masih tak dapat menerima hakikat kematian adiknya, ayah aku. Dia selalu hina aku. Hina arwah emak. Baginya emaklah yang telah bunuh ayah."

Air mata aku akhirnya merembes laju.

"Aku tak tenteram. Aku benci abah." Aku geleng kepala. Menghambat rasa benci yang tiba-tiba datang tak dijemput. Aku tekup muka dan teruskan menangis.

"Jangan membenci. Bimbang kau akan terseksa nanti."

Aku jatuhkan tangan.

"Aku dah boleh agak. Ada sesuatu yang buat kau keras dengan lelaki. Sebab abah kau rupanya."

"Ya. Aku keraskan hati aku bila jumpa kau sebab aku takut aku akan jumpa lelaki yang macam abah. Aku serik. Aku juga takut nak bercinta. Aku takut aku akan kehilangan orang yang aku sayang sama macam aku kehilangan ayah."

"Syyussshhh!"

Dia letak telunjuk di bibirnya.

"Jangan fikir yang bukan-bukan. Itu hal di depan. Kita tak boleh nak jangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Cuma kita kena usaha agar kita bahagia dengan cara kita."

THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed) Where stories live. Discover now