Tak ada masa nak senyum-senyum bagai. Geram adalah dengan pesakit yang tengah menangis mengongoi memanggil emaknya. Dah lama aku tak jumpa ibu muda yang macam ni. Dalam dua tahun sekali pasti akan dapat ibu muda yang memang tidak penyabar langsung.
Hari ini aku menyelia shif pagi. Dekat-dekat nak tamat shif dapatlah ibu muda yang menjerit tak henti-henti.
"Sakit mak. Sakit sangat," jerit ibu itu.
Aku hampiri katil. Lihat maklumat pesakit yang tergantung di pagar katil.
"Sabar, dik!" pesan aku dekat ibu muda yang tengah menangis sambil mencengkam lengan baju emaknya. Aku sabarkan diri. Cuba berlembut agar kesakitannya hilang. Namun dia masih begitu. Menumbuk tilam. Malah menarik-narik cadar.
"Sakitnya mak!!!" jerit ibu muda itu lagi.
"Sabar long. Sabar." Emaknya dengan lembut memujuk.
"Misi cepatlah. Saya dah tak tahan. Sakit sangat." Ibu muda itu mengongoi lagi. Emosi aku pula dah seminggu tak stabil. Rasa nak saja aku belah perut dia sendiri tetapi apakan daya polisi kami bukan senang macam nak siang ikan. Banyak prosedur nak kena lalui.
Aku tahu dia tengah sakit tetapi sikap dia buat semua orang tak senang duduk. Dia dah mengganggu ibu-ibu lain. Malah dia dah mengganggu tugs kami.
"Sabar, ya. Tadi saya cek jalan bukaan baru 3cm. Lambat lagi. Lagipun ini kandungan sulong kan?"
Emaknya tolong mengangguk. Aku simpati pada wanita itu. Apatah lagi melihat anaknya menarik bajunya hingga terlondeh. Nampak sedikit bahunya. Muka pula sudah berubah merah. Aku tahu dia malu dengan aku.
"Misi, mak cik nak ke tandas ni," beritahu wanita itu dalam keadaan tak selesa. Tak selesa bila anaknya langsung tidak mampu bersabar. Sekejap menjerit. Sekejap baring. Mengiring ke kiri, mengiring ke kanan. Kemudian bangkit. Tak lama menangis pula.
"Mak cik tinggalkan saja. Saya ada," balas aku yang sedang menyalin cadar dan sarung bantal katil sebelah yang akan diguna oleh seorang lagi pesakit yang baru daftar masuk.
"Mak... sakit mak!" jerit ibu muda itu lagi. Emaknya pula baru melangkah ke tandas. Nampak dia tidak menghiraukan anaknya. Mungkin dia malu kerana mulut anaknya tak duduk diam.
Aku jeling tajam. Panas saja hati lihat sikap dia. Tak malukah dia. Ibu-ibu yang lain sedang melihat aksinya. Kat dalam wad ini bukan dia seorang saja tengah sakit. Hari ini katil memang penuh.
"Misi... saya dah tak tahan."
"Sabar boleh tak. Ingat awak sorang saja ke yang sakit. Tu ramai lagi kat atas katil yang tengah sakit tunggu turn nak bersalin."
Begitulah aku. Kalau dapat jenis yang tak tahan sabar dengan aku sekali sabar merayap entah ke mana. Kalau dia tak sabar aku memang tak boleh duduk diam. Muka aku yang lembut tadi sudah bertukar jadi mak singa. Kerling lihat pesakit lain. Nampak semuanya menikus. Tetapi ibu muda itu tidak makan saman. Terus mengongoi, menangis macam anak kecil.
"Misi apa tahu. Misi tak rasa apa yang saya rasa." Tiba-tiba ibu muda itu menjawab. Aku jeling ke atas.
"Ya. Sebab saya tak tahu lah saya hanya boleh suruh sabar."
"Saya sakit sangat. Tak tahan dah."
"Kalau macam tu pergi labour room sendiri."
Hantu apa yang dah sakat aku sampai aku boleh cakap macam tu. Raudah yang sama shif dengan aku dan kebetulan berada tidak jauh dari aku laju sekali menghampiri. Sebaik sampai dia cubit pinggang aku dan aku beri jelingan maut.
Dia berbisik.
"Eh, kasarnya kau. Nak datang bulan ke apa?" bisik Raudah geram.
Aku tak hirau. Bila sudah siap kemaskan katil aku hampiri ibu muda tadi yang nampak sudah turunkan kaki. Nampak macam dia nak ikut apa yang aku suruh.
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...