Panas betul hati aku melihat Suhaira labuhkan punggung di atas kerusi sebelah suami aku. Rasa nak je aku hempuk kepala dia dengan pinggan di tangan aku. Sampai-sampai saja terus duduk bagaikan puteri raja. Aku yang tetamu ini pula kena melayan dia. Sumpah aku geram. Jika tidak mengenangkan dia anak mak ngah dan sepupu suami aku dah lama aku lumur mata dia dengan sambal belacan kat atas meja. Biar tak boleh melihat sampai bila-bila.
Isk, geramnya aku!
Mata perempuan tu terkedip-kedip melihat Zahin. Dia salah laki ke apa? Dasar tak faham bahasa. Seingat aku Zahin dah bagitahu dia. Mereka tak akan bersama semula. Lagipun suami aku itu dah ceritakan semuanya. Itu cinta zaman monyet. Cinta yang bertepuk sebelah tangan. Suhaira hanya mempergunakan Zahin untuk kepentingan diri.
Aku percaya dengan cerita Zahin tapi aku tak percaya dengan mata Suhaira. Mulut dia pun aku tak suka. Ramah betul bertanyakan lauk mana yang suami aku nak makan. Memang aku marah betul. Tentu semua yang ada kat sini dah nampak muka aku yang berubah warna.
“Sayang. Duduk sini?”
Zahin tahu cara nak lembutkan hati aku. Pantas dia bangun. Kerusinya dia kosongkan supaya aku ambil alih dan dia pula beralih ke sebelah. Kini Suhaira sudah ada penghadang. Aku di tengah-tengah menjadi perisai. Kalau dia buat hal aku tak teragak-agak nak mempertahankan suami aku. Nampaklah muka dia macam angsa. Muncung tu boleh buat sudu air dalam tasek. Padan muka. Dia ingat Zahin macam dulu agaknya.
“Sayang!”
Hilang rasa terbakar aku apabila Zahin letakkan ikan goreng dalam pinggan aku.
“Makanlah Tiya... Ing,” lelawa Mak Ngah. Aku balas dengan senyuman.
“Malam nanti Ing tidur sini ya,” pinta Mak Ngah Nafisah dan Zahin angguk setuju.
“Ing memang nak bermalam kat sini. Lagipun Ing nak setelkan urusan tanah Ing.”
Terus berubah air muka Mak Ngah Nafisah apabila Zahin sebut tanahnya. Wajah wanita itu nampak pucat dan tangannya nampak lemah menyuap nasi ke dalam mulut. Aku kerling Suhaira. Nampak muka perempuan itupun turut berubah. Aku mula mengagak ada sesautu yang telah berlaku. Suasana kini senyap dan sunyi bagaikan dilanda Garuda.
Salina tiba-tiba bangkit. Angkat pinggan dan bawa ke sinki. Dia cuci pinggan dan aku pun tak tunggu lama. Melihat Zahin juga sudah siap menjamu selera aku tarik pinggannya lalu ke sinki. Siapkan tugas lalu mengekori langkah Salina yang sudah ke ruang tamu. Aku tinggalkan suami aku bersama mak ngah Nafisah dan Suhaira. Buang seketika rasa cemburu. Biar selesai masalah keluarga mereka dan aku boleh pulang ke rumah Tok We dengan hati yang senang.
Melihat Salina yang ambil angin di serambi rumah aku pun ikut sama.
“Kak Tiya suka tak mandi sungai?”
Soalan Salina mengejutkan aku.
Mandi sungai? Aku tak pernah lagi rasa.
“Kat sini ada anak sungai. Air pun tak lah dalam sangat. Sesuailah kalau nak rendam kaki. Kak tiya nak tak rasa air bukit?”
“Sejuk sangat ke?”
Salina angguk.
“Kalau orang yang tak biasa dengan air bukit sejuk dia memang tak boleh bawa bincang.”
Aku tercengang.
“Maksudnya sejuk sangatlah tu.”
Salina angguk senyum.
“Habis kerja abang nanti kita pergi ya sayang.”
Entah bila suami aku muncul.
“Ina ikut. Abang Ing ingat lagi ke tempat-tempat kat sini?”
Zahin hanya senyum. Tanpa pengetahuan semua, setahun dua tiga kali dia akan balik ke sini. Mengintai mak ngahnya dari jauh. Malah memerhati tindak-tanduk Suhaira. Sebab itulah semasa berjumpa Suhaira di Lipis dia kenal gadis itu. Sengaja buat-buat tidak tahu kerana dia mahu mengajar Suhaira.
“Abang Ing masih kenal dan abang Ing nak pinjam kak Tiya kejap. Nak bawa kesayangan abang pusing kampung dulu.”
Salina angguk senyum. Aku pula terkebil-kebil apabila ditarik Zahin.
“Itu motor mak ngah kan. Abang Ing pinjam.”
Salina mengiyakan. Dia masuk ke dalam rumah dan keluar semula dengan kunci di tangan.
“Hati-hati abang Ing. Motor tu dah tua sangat,” pesan Salina saat kunci bertukar tangan dan Zahin hanya lemparkan senyuman. Dia kenal motor itu. Itulah motosikal yang selalu dia bawa ke sekolah yang jauhnya dua kilometer. Motor itulah yang banyak berjasa dan beri kenangan padanya. Tak sangka, mak ngah Nafisah menjaganya dengan baik. Walaupun nampak buruk tetapi enjinnya masih boleh dipakai.
Aku pula perhati sahaja lagak suami aku. Mentang-mentang dah balik kampung dia mulalah tunjuk hero.
“Jom, sayang.” Dia tepuk pelana motor yang sedikit carik di tengah-tengah. Teragak-agak aku nak naik.
“Tak pernah naik motor.” soalnya dan pantas aku gelengkan kepala. Lalu suami aku ketawa kecil. Tarik aku rapat ke sisi.
“Jangan jakun sangat sayang,” bisik dia ke telinga aku dan terus aku bagi penampar. Dengan kekok aku panjat motor dan mula hempas punggung di belakang. Dia sudah hidupkan enjin motor dan tarik tangan aku lalu lingkarkan ke pinggangnya. Kami rapat dan sesungguhnya aku rasa selamat.
“Tiya sayang abang.”
Tak semena-mena enjin mati dan dia toleh pandang aku.
“Apa maksud sayang?”
Aku terkekek-kekek mengilai. Saja nak kenakan dia. Aku tahu dia tak boleh dengar ayat manis begitu. Tangan dia akan menggigil dan dia tak boleh nak buat sebarang kerja.
“Sayang jangan main-main dengan abang.”
Aku geleng kepala.
“Tak boleh ke sayang cakap macam tu.”
Pantas dia tarik tangan aku dan kejapkan lingkaran.
“Jangan nakal. Nanti tak pasal-pasal abang bawa sayang balik rumah Tok We semula.”
Aku sambung ketawa. Faham sangat dengan amaran dia.
“No hal lah. Lagi sayang suka. Kalau dapat pindah duduk rumah sendiri lagi elok.” Sekali lagi dia toleh pada aku dan hadiahkan kucupan di pipi.
“Semoga kasih sayang ini akan kekal selamanya dan sayang kekal sebagai isteri abang disyurga sana.”
Aku angguk dalam senyuman. Apa nak heran. Atas motor pun boleh romantik. Tak perlu pun nak pergi candle light dinner. Cara macam ni pun dah buat aku tak mahu lepaskan dia walau sesaat.
Dia pun perlahan-lahan membonceng motor meninggalkan rumah mak ngah. Ketika itulah aku lihat wajah cemberut Suhaira di jendela rumah. Padan muka. Ini suami aku. Sekali jadi hak aku selamanya akan berada dengan aku. Mana-mana perempuan jangan cuba nak dekat. Nanti aku bagi suntikan vaksin dos sepuluh. Biar mata terbeliak ke atas.
Aku senyum bangga. Saat motor sudah berada di atas jalan berturap di hadapan rumah mak ngah ada sebuah kereta jenama luar negara berhenti. Aku tidak nampak orang di dalam kerana cermin kereta tersebut amat gelap. Kereta itu tetap diam di hadapan rumah sehinggalah rumah papan mak ngah hilang dari pandangan. Tetapi hati aku rasa berdebar. Aku rasa pelik melihat kereta itu. Namun aku tidak beritahu Zahin dan perasaan ini aku simpan sehinggalah kami kembali semula ke rumah mak ngah.
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystère / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...