Serabut betul kepala aku.
Sekali lagi aku terpaksa memohon cuti dengan penyelia apabila abah memaksa aku pulang dengan segera. Tertekan betul dengan lelaki itu kerana dia selalu memaksa. Hendak tak hendak aku memandu sekali lagi pulang ke Shah Alam.
Baik aku pandu sendiri. Kalau rasa tak ada yang penting senang aku nak cabut balik ke Lipis.
"Hujung minggu nanti majlis tunang. Kau jangan nak lari."
Itu yang aku hadap sebaik saja kaki aku jejak ruang tamu banglo abah. Ya Allah, ini paksaan yang memang tidak ada pilihan ke. Sampai hati abah buat aku macam ni.
"Tiya tahu Tiya bukan anak kandung abah. Walaupun Tiya hanyalah anak saudara abah, Tiya ada hak nak buat keputusan untuk diri Tiya. Tapi abah buat Tiya macam kuli. Abah buat Tiya macam orang tawanan. Perlu ikut saja keputusan abah tanpa berbincang. Jangan kerana Tiya tolak semua permintaan abah selama ini abah nak menggadai kebahagian Tiya yang belum lagi Tiya kecapi."
Tak sempat nak bersalam dengan orang tua itu aku hamburkan kata. Sakitnya hati tak siapa yang tahu. Hendak saja aku pusing semula tubuh dan masuk ke dalam kereta. Namun suara Kak Raihah buat aku patah hati.
"Tiya duduk dulu." Suara lembut itu buat air mata aku jatuh juga. Aku sapu titik-titik jernih di pipi dan hampiri wanita berusia 35 tahun itu. Kucup tangan dia dan peluk dia lama.
"Maafkan Tiya, Kak Rai. Kalau abah masih nak paksa Tiya jangan harap Tiya nak balik ke sini lagi."
Cerlung mata orang tua itu melihat aku. Dia bangkit dan hampiri aku. Kak Sarah pula sudah bersiap sedia di sebelah abah. Mahu menghalang kiranya abah bertindak di luar kawalan.
"Kau ingat sikit budak. Kalau kau nak kahwin dengan orang lain sekalipun kalau aku tak izinkan kau tetap tak boleh kahwin. Aku masih ada dan aku yang akan jadi wali. Kau kena ingat. Wali yang sah adalah dari belah bapak kau. Bukan belah mak kau yang bodoh tu."
Berasap telinga aku mendengar hinaan abah. Sakitnya hati terasa bagaikan dilapah dengan belati tajam. Tidak berdarah tetapi lukanya tak mungkin akan sembuh. Walau aku misi sekalipun aku tak mampu nak jahit luka yang abah bagi.
"Sampai hati abah hina emak Tiya," luah aku sebak.
"Memang mak kau bodoh. Kalau dia tak beria-ia ajak ayah kau masuk hutan semua ini tak akan jadi. Adik aku tu tak akan mati. Aku boleh hidup bahagia dengan adik aku tapi... emak kau yang dah musnahkan semuanya."
"Cukuppp!" Aku bertempik kuat. Seraya itu air mata aku gugur dengan banyaknya. Tak sanggup aku pandang semua orang yang ada di dalam rumah aku berlari naik ke atas. Masuk ke dalam bilik yang telah lama aku tinggalkan. Hempas pintu sekuat tenaga dan sembamkan muka ke atas tilam. Aku menangis semahu-mahunya. Biarlah tangisan ini meredakan rasa terhina dengan kenyataan yang sememangnya aku tahu.
Ayah, emak... kenapa Tiya perlu lalui semua ini. Aku menangis tak berhenti. Tersedu-sedu hingga hidung jadi tersumbat. Hendak bernafas terasa sukar apatah lagi bila muka tersembam di atas tilam yang empuk.
Aku bangkit. Sapu segala jenis air yang masih tak malu menjunam keluar dari rongga-rongga yang ada di muka aku. Muka sudah sembab dan aku berdiri. Aku kena balik Lipis. Kalau aku di sini aku yang banyak terluka.
Baru saja hendak melangkah pintu bilik di ketuk orang. Tiga kali dan aku tahu itu siapa. Perlahan-lahan aku menghampiri daun pintu. Tarik picu dan tersembullah wajah Kak Raihah yang tersenyum mesra.
"Boleh Kak Rai masuk?" pinta dia lembut. Aku angguk lalu membelakangi dia dan berjalan ke katil. Hempas punggung ke atas tilam dan aku pandang ke luar tingkap.
"Sabar Tiya. Jangan cepat marah. Abah masih tak boleh terima semuanya lagi."
"Dah 10 tahun kak Rai. Dah 10 tahun. Dari Tiya umur 16 sampai Tiya dah jadi anak dara tua macam ni abah masih tak boleh terima semua takdir yang tuhan tentukan."
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...