Dia ingatkan dengan menghalau Zahin hidup dia akan bahagia. Rupanya tidak. Dia begitu sengsara malah kehidupannya yang aman suatu waktu dulu sudah direnggut pergi. Zahin bukan saja pergi bersama duka. Tetapi lelaki itu membawa bersama ketenangan yang dia ada.
Semuanya salah dia. Tanpa usul periksa menuduh anak saudaranya itu melulu sahaja. Kalaulah masa boleh diputar kembali dia tidak akan biarkan semuanya terjadi. Sudah 14 tahun berlalu dan sekalipun Zahin tidak munculkan diri. Betapa anak saudaranya itu begitu membenci dirinya.
Kesal beraja dalam hati. Kerana Idrislah dia menjadi emak saudara yang jahat. Lelaki yang kononnya hero itu rupanya anjing bertopengkan ayam jantan. Ingatkan kokokannya petanda pagi nak cerah rupanya tidak. Dia rupanya menyalak di tengah malam tanda mahu membaham musuh.
Sakit hatinya namun sakitnya itu tak mampu dirawat apabila bebannya bertambah dengan sikap Suhaira yang langsung tak boleh ditumpang. Bila sudah kaya terus dia dipinggarkan. Hari ini dia sakit hatinya makin menjadi-jadi. Dia menyumpah seranah kedua-duanya yang datang tiba-tiba sahaja.
"Buat apa datang?"
Dia alihkan mata. Langsung tidak mahu memandang anak daranya yang nampak semakin moden pakaiannya. Si suami juga semakin hari semakin melawa. Pakaian berjenama sahaja yang membalut tubuh lelaki itu setiap kali dia muncul di sini. Lelaki tua itu berlagak macam orang muda namun dia tidak akan terkesan. Dia tetap dengan keputusannya. Dia masih mengharapkan lelaki itu menceraikannya.
"Aku datang bawa Su. Dia suruh temankan. Kalau dia datang seorang kau penyapukan dia."
Mana dia tak akan penyapukan anak daranya itu. Kerana Suhairalah dia sudah membuat keputusan yang salah. Kalau bukan kerana topeng Idris yang sudah terbuka tanpa sengaja dia tidak akan tahu yang salah itu bermula daripada dia sendiri. Dia yang gopoh-gapah menghukum tanpa mendengar penjelasan Zahin.
Lelaki tadi tidak naik ke atas. Sebaliknya ke pangkin bawah pokok rambutan. Entah apa yang dibuatnya. Nampak tersengih-sengih melihat telefon di tangan.
Suhaira pula lebarkan senyum saat memijak anak tangga untuk mendapatkan emaknya yang muncung di atas pangkin.
"Kalau sekadar datang nak bagi duit baik kau tak payah datang, Su. Kau bank in saja. Aku yang tua ini pun tahu nak guna online. Takkan kau yang muda tak boleh buat."
Suhaira masih senyum dan hempas punggung sebelah emaknya.
"Mak ni... Su sayang mak sebab tu Su sanggup datang jauh-jauh semata-mata nak jumpa mak."
Kalau ikutkan sibuk, dia tak akan datang. Dari Wakaf Bharu nak ke Kuala Krai ini ambil masa 3 jam juga kalau dengan kereta. Itu belum lagi naik keretapi.
"Kalau kau sayang aku kau tak akan ikut pakcik kau. Dia tu bapa tiri bukannya bapa kandung kau."
"Sama jugak kan mak. Pak cik yang jaga Su selama ni. Biarlah pakcik jadi bodyguard Su."
"Masalahnya kau duduk serumah dengan dia. Kau ingat aku tak tahu."
"Alah mak ni, kan kami dah jadi mahram."
Ya Allah, kenapalah dia ada anak macam Suhaira ini. Memanglah mereka dah jadi mahram tetapi Suhaira takkan tak tahu. Bapa tiri dia tu lelaki. Tak sanggup dia nak bayangkan yang keduanya bermesra lebih dari seorang anak dan bapa.
"Kau tak payah jual produk kau tu. Kau serahkan pada kuli kau. Duduk dengan aku. Jaga aku lagi baik. Lagipun kau tak kahwin lagi. Jaga aku tu tanggungjawab kau."
Suhaira geleng kepala.
"Mak... penat tau Su perkenalkan jenama SuRa. Seluruh Malaysia dah kenal takkanlah Su nak serah bulat-bulat dekat kuli Su pula ."
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...