Geram.
Ya. Dia geram dengan gadis tadi. Tak ada ucapan terima kasih bahkan maaf pun tak ada. Dia yang bersusah payah menolong ini dicap sebagai penculik pula. Mujurlah dia banyak akal. Kalau tak berbohong tentu saja dia akan di bawa ke balai.
Dia kesal.
Apakah sebab penampilannya yang macam orang zaman mesolitik lantas pertolongannya tidak dihargai. Sungguh dia terkilan. Kalaulah penampilan yang jadi ukuran maknanya gadis itulah yang salah. Mengukur kebaikan orang dengan cara tak betul.
Dia mahu membantu. Tidak terfikirpun hendak menculik mahupun merosakkan anak dara orang. Dia bukan begitu. Lagipun sifat menolong itu sudah sebati dalam diri. Tetapi apabila diingat semula akan peristiwa tadi rasanya dia tak akan tolong orang lagi. Tambah-tambah lagi perempuan muda macam gadis tadi.
Dia rasa serik.
Termenung panjang dia dengan apa yang telah terjadi. Betul ke dia tak akan tolong. Bukankah dia diajar supaya menolong orang yang susah. Walau dia sendiri yang susah orang lain tak boleh dia abai.
Zahin hembus nafas lemah. Dia parkir kereta di bawah pokok rambutan yang rendang. Sengaja berlama-lama di dalam perut kereta. Mahu menghalau rasa geram dan tidak puas hati yang masih beraja di dalam.
'Jangan ikut sangat amarah tu. Nanti makan diri.'
Pesanan Tok We lalu ke telinga. Saat itulah dia nampak pintu rumah dibuka dari dalam. Nampaknya Tok We sedar dia dah balik.
Hembus nafas sekali lagi sebelum keluar. Tanpa melihat kerusi sebelah dia tarik plastik berisi makanan di situ. Bimbang minuman akan tumpah kepalanya segera toleh ke kiri. Mata tiba-tiba terpandang sesuatu yang berkilau sebaik terkena cahaya lampu suluh dari arah pintu rumah.
Dia ambil dan tilik dengan muka berkerut. Seutas gelang tangan yang ditatah dengan sebiji permata delima merah. Nampak klasik tetapi cantik. Kepala di arah ke depan dan dia pandang jauh seolah-olah sedang memikirkan dari mana jatuhnya barang hiasan yang indah itu. Dan... bibirnya terherot senyum. Rasa geram sebentar tadi mula hilang berganti rasa lucu.
Kepunyaan minah kerek tadi. Dia pasti kerana sepanjang hidupnya tidak ada perempuan muda yang rela naik kereta buruknya ini melainkan minah tadi. Itupun tak sempat kereta berjalan dah kena tuduh macam-macam.
Dia hembus nafasnya kuat. Genggam gelang kemas-kemas lalu bawa keluar dari perut kereta. Kali ini suluhan lampu terkena mukanya pula.
"Tok We!" sebut Zahin lalu melangkah ke tangga.
"Lama sangat cari nasi kerabu. Sikit lagi nak isyak baru balik." tegur orang tua itu dengan muka tak puas hati.
"Ada masalah sikit tadi Tok," jawab Zahin dan pantas kakinya pijak anak tangga. Lampu suluh diambil dan kini tangan kanannya pula pusing tubuh orang tua itu menyuruh masuk ke dalam rumah.
"Yang kau basah kuyup ni kenapa? Beli makanan ke main hujan?"
Zahin tersengih. Tidak menjawab sebaliknya masuk ke dalam dan mata melilau mencari Sahak.
"Hak mana?" soalnya apabila kelibat lelaki itu tidak kelihatan.
"Dia balik zoo sekejap. Tadi budak dia call cakap ada masalah."
Zahin kerutkan dahi.
Masalah! Masalah apa pula? Tapi tak mustahil ada banyak masalah tambah-tambah lagi lusa dah mula cuti sekolah. Agaknya masing-masing tengah kalut siapkan kerja sebelum zoo diserbu pengunjung. Cuti sekolah nanti ramailah orang yang datang nak lihat itu dan ini kat dalam tu. Apatah lagi zoo ini sudah dinaiktaraf.
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...