Zahin memang kecewa dengan Honey.
Tak pernah betina itu menakutkan mana-mana pengunjung. Alih-alih kelmarin lain pula jadinya. Suka sangat menakutkan gadis yang bernama Atiya. Sampai pengsan gadis itu diterjahnya. Biasanya ia tidak begitu. Siang hari adalah waktu untuk ia bermain berdekatan rumah rehat. Ia takkan ke mana-mana jika tidak diarah. Alih-alih siang hari kelmarin dah jadi aktif semacam.
"Aku rasa Honey tu lapar. Itu yang curi-curi keluar." Sahak yang sedang membersihkan kawasan sekitar rumah Honey mula berbunyi. Betina itu mara ke pintu kurungan. Pandang Sahak seolah-olah faham apa yang terbit dari mulut lelaki itu.
"Mana ada lapar. Makan minum semua cukup untuk dia."
"Habis tu?" Sahak berfikir panjang.
"Aku rasa...." Zahin pandang Honey yang pegang jeriji besi.
Sahak berhenti menyapu.
"Aku rasa dia sunyi. Dia nak teman."
Sahak senyum panjang.
Dia pun ada terfikir juga. Sebab itulah Honey selalu menyelinap keluar. Kelmarin macam tahu-tahu pula ada perempuan cantik datang nak melawat zoo. Itu yang aktif semacam.
"Aku tengah tunggu kata putus dari pejabat Sepilok. Kalau dia setuju pinjamkan jantan seekor pun dah cukup. Honey dah cukup matang untuk hidup berdua."
Sahak senyum. Tangan berhenti dari mengumpul sampah.
"Aku harap kerja kau dipermudahkan tuhan. Biar betul-betul jadi. Kita kena kembangkan lagi keturunan Honey. Spesies Honey ni dah makin pupus. Kat Sepilok sana pun sikit je yang tinggal. Itupun boleh dibilang dengan jari."
"Aku pun harap macam tu je. Lagipun kita kena jaga mereka betul-betul. Sayang kalau spesies mereka pupus terus. Keturunan kita tak akan kenal mereka lagi. Entah-entah hanya boleh tengok dalam internet saja. Nak tengok real macam sekarang dah tentu tak boleh."
Sahak angguk mengiyakan.
Orang Utan adalah haiwan dalam keluarga mawas yang semakin hari semakin pupus. Dia bangga dengan Zahin yang telah menjaga Honey sebaiknya. Umur Honey pun sudah menjangkau sebelas tahun. Umur yang sesuai untuk mendapat zuriat. Rugi kalau tidak ada jantan di sisi Honey.
Kalau Honey sudah tiada tentu Zahin pun akan membawa diri.
Dia bawa matanya ke arah rumah Honey. Siang-siang hari macam ni terpaksa pula dikurungnya makhluk itu. Bimbang ianya akan mengusik pengunjung lain pula. Dari jauh dia lihat wajah sedih Honey. Seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu emosi betina itu. Dia alihkan matanya pula. Pandang Zahin yang termenung jauh ke depan. Seolah-olah sedang merenung perkara yang lepas. Dua-duanya sama. Macam berjanji pula hendak termenung panjang.
"Kau pun kena cepat-cepat cari bini. Kau pun sejenis makhluk yang akan pupus juga." Tiba-tiba Sahak berbunyi dan mata Zahin terus pandang lelaki itu.
"Zahin Hilmi hanya seorang. Tak ada dua atau tiga. Jadi perkataan pupus tidak sesuai untuk aku."
Sahak geleng kepala.
"Maksud aku kau tak nak ke kembangkan keturunan kau?"
Tiba-tiba saja hati lelakinya sayu.
Melihat wajah sayu Zahin, Sahak terus sambung kata sambil melihat ke arah Honey.
"Hai Honey. Cepat-cepatlah pakwe kau datang. Kau kena kahwin. Lepas tu terus bunting. Kasihan abang kau tu. Nak tengok anak sedara dia sebelum dia pejam mata," perli Sahak dan Zahin faham sangat. Lelaki itu bercakap dengan Honey bagaikan berbual dengan kawan sendiri. Zahin geleng kepala. Begitulah gelagat Sahak.
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...