BAB 02

623 42 2
                                    

"Hantu!"

Tergelak besar Sahak mendengar cerita Zahin saat lelaki itu sudah sampai untuk menjemput Tok We balik ke rumah. Mereka sama-sama menolak wheelchair orang tua itu sehingga ke tempat parkir.

"Itulah kau... aku dah suruh trim kemas-kemas kau tak nak. Kan orang dah cap kau hantu di siang hari." Sinis kata-kata Sahak. Tapi Zahin peduli apa. Ini imej dia dari dulu hingga kini. Tidak ada rasa langsung nak tunjuk dirinya tanpa rambut-rambut halus di muka. Biarlah dia kekal begini sampai ke akhir hayatnya.

"Bila dia dah jumpa anak dara orang yang dia dah suka, nanti dia buanglah semua tu." Tiba-tiba Tok We mencelah saat tubuh tua itu mencecah masuk ke dalam perut kereta. Sahak hamburkan tawa. Ketika itu Zahin sedang menahan pintu kereta. Bimbang akan tercabut. Almaklumlah kereta lama. Kalau buka ganas-ganas terpelanting karang.

Sahak simpan wheelchair dalam boot kereta. Dia muncul semula lalu duduk di sebelah Zahin yang sedang menanti di bahagian pemandu.

"Perempuan mana yang nak Tok We kalau tuannya dah mengalahkan yang bergayut kat pokok tu," sindir Sahak dan gelaknya masih bersisa.

"Adalah tu nanti. Yang pastinya perempuan." Tok We tak mahu panjangkan cerita sebab dia tahu Sahak jenis yang banyak mulut. Nanti meleret entah ke mana pula. Lagipun dia sendiri sudah kenal akan Zahin luar dan dalam. Anak muda itu tekadnya bulat. Kalau dia kata alif maka aliflah yang jadinya. Tak akan bertukar jadi ba atau ta. Setakat hidup dengan Zahin dia seorang saja yang mampu lembutkan hati lelaki itu.

"Memanglah perempuan Tok. Kalau lelaki lain pula jadinya." Sahak hamburkan lagi tawanya.

"Kau kalau bab mengutuk aku nombor satu. Agaknya kau memang tak cukup makan semalam."

Sahak terdiam tiba-tiba. Sebut sahaja makan perutnya terus berbunyi.

"Alang-alang kau sebut makan kau tolong belikan aku nasi kerabu. Tekak aku rasa macam nak makan nasi kerabulah. Tok We nak tak?"

"Boleh juga."
Zahin mengiyakan.

"Ing hantar Tok We balik dulu. Dah siap kerja nanti Ing pergi beli." Janji Zahin dan Tok We tidak kisah.

"Kau nak aku temankan ke?" tanya Sahak dan pastinya lelaki gagah seperti Zahin tidak perlukan peneman.

"Ku ingat aku ni apa. Sotong?"

He... he....

Sahak ketawa.

"Mana tahu kan ada pulak yang pengsan kat pasar malam tu."

Zahin tidak hiraukan kata-kata sinis Sahak. Bukan dia tak biasa dengan kejadian macam tadi. Dah banyak kali. Bukan setakat perkataan hantu yang dia dengar. Beruk pun pernah dia dapat. Bahkan gorila pun ada jugak. Tetapi dia tidak kisah. Janji dia gembira dengan penampilan dia. Orang ngeri atau nak muntah sekalipun dia tak kisah.

Tidak.

Hanya dengan cara ini dia mampu teruskan hidup.

"Tok We tunggu Ing. Nanti kita makan sama-sama," pesan Zahin apabila kereta Saga Aeroback kelabu itu sudah sampai di laman rumah orang tua itu.

"Ya lah. Kau pun lepas habis kerja terus balik. Jangan nak bertapa lama-lama sangat. Karang ada pula yang kau bawa balik kat rumah aku."

Zahin gelak besar dan Sahak ikut sama menyengih.

"Dah macam rupa kat hutan tu tentulah yang dalam tu pun suka sangat dekat dia." Sahak memang nak kena dan Zahin terus siku perut lelaki itu. Sayang sekali hanya sedikit yang dia dapat berikan kerana lelaki itu cepat benar keluar dari perut kereta. Sudah ke belakang dan bawa Tok We duduk di jemuran.

THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed) Where stories live. Discover now