BAB 11

382 30 0
                                    

Perasaan aku tak tenang ditambah pula rasa hairan. Hairan bin ajaib. Bukan ke pagi tadi bibik telefon bagitahu Kak Raihah tenat. Tetapi kenapa sebaik saja aku sampai ke laman rumah banglo tiga tingkat yang tersergam indah di atas bukit ini ada deretan kereta mewah yang diam di tapak parkir masing-masing. Ada juga sebuah dua kereta mewah yang aku tak kenal. Malah dari cermin kereta yang aku buka luas terdengar gelak tawa gembira orang di dalam rumah.

Kalau ada yang sakit kenapa pula terdengar riang gembira?

Tangisan aku di dalam kereta sepanjang perjalanan tadi sudah reda. Sekarang hati pula berteka-teki. Apa sebenarnya yang berlaku. Hati memang rasa waswas. Perlu ke aku masuk ke dalam. Namun demi tidak mahu orang di dalam menunggu lama aku perlahan-lahan keluar. Ketika itulah muncul Kak Sarah dengan wajah manis bak gula. Pantas dia peluk aku dan ucap tahniah.

Untuk apa? Aku kebingungan

"Jom. Jom." Dia tarik tangan aku masuk ke dalam. Sebaik masuk mata panah keluarga Syed Hamizan. Lelaki itu pula tersengih di hujung sofa. Hati aku yang ragu-ragu sebentar tadi tiba-tiba menggelegak panas. Aku sudah tahu. Ini taktik terbaru penghuni rumah ini nak suruh aku balik. Rasa macam nak saja aku larikan diri namun melihat mata ibu yang bersinar-sinar aku teruskan juga  langkah mendekatinya.

Atiya Zahira perlu jaga adab. Demi ibu. Lagipun aku tahu batas aku sebagai anak jagaan. Justeru kaki aku melangkah ke arah beberapa orang wanita sebaya ibu lalu bersalaman. Dengan ibu pula aku peluk erat.

"Jumpa kat dapur," bisik abah di sebelah ibu saat aku bersalaman dan memeluk erat wanita kesayangan aku. Demi ibu sekali lagi aku mengalah. Dengan pakaian aku sekarang yang langsung tak nampak macam anak orang aku minta izin ke dapur. Sentuh baju tshirt lengan panjang dan seluar track lusuh yang aku pakai untuk berzumba di rumah lepas subuh tadi. Dah rasa macam minah sewel pula sekarang.

"Ada apa Kak Sarah?" soalku sebaik saja tiba di dapur. Kak Sarah hanya senyum-senyum sambil membantu bibik mengemas meja makan. Nampaknya mereka sudah lama di sini setelah melihat hidangan di atas meja tinggal saki-baki sahaja. Aku mengintai sedikit. Mata lirik Syed Hamizan yang masih tersengih-sengih macam kerang busuk. Lebih tepat lagi dah macam orang terlebih gula. Kelihatan keluarganya sudah bangkit dan bersalaman dengan abah dan ibu.

"Dengar je abah nak cakap apa?" Kak Sarah muncul semula dengan pinggan di tangan. Hati betul-betul rasa tak sedap. Lelah aku menunggu abah yang menghantar keluarga Syed Hamizan hingga ke laman rumah. Tetapi bagus jugak. Taklah lama aku kena hadap lelaki itu. Dia dah nak balik. Selamat. Lalu dengan rasa cuak naik ke tingkat atas hendak menuju ke bilik Kak Raihah.

"Kak Raihah tak ada."

Terus hati aku hancur mendengar suara Kak Sarah di hujung tangga. Pantas saja air mata aku bergenang. Rasa mahu hamburkan segala nista pada semua. Kenapa permainkan aku dengan soal hidup Kak Raihah. Kenapa perlu heret aku ke mari dengan pertaruhkan nyawa Kak Raihah.

"Kak Rai ada kat mana?"

Aku pujuk hati. Pujuk jiwa aku agar semua orang tidak melihat kesedihan yang aku tanggung.

"Hari ni abang Ad bawak Kak Rai jumpa fisio."

Aku turun semula sebaik saja Kak Sarah berterus terang. Tarik kerusi di island bar lalu duduk dengan rasa tawar hambar.

"Kalau tak ada hal penting Tiya nak balik dululah, kak." Aku bangkit dan sememangnya wanita itu terkejut besar.

"Eh, jangan macam tu. Jauh tu Tiya drive. Takkan nak balik macam tu je. Tidur kat sinilah." Kak Sarah menghalang dan aku rasa aku tak perlu tunggu lama. Namun batang tubuh yang sudah muncul dengan wajah serius buat aku rasa diperguna. Ibu di sebelah hanya diam. Dia sibukkan diri dengan membantu bibik mengemas meja makan.

THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed) Where stories live. Discover now