Mak Ngah Nafisah termenung di muka pintu. Duduk mengenang nasib diri. Apa yang akan berlaku di kemudian hari tak mampu dijawab. Sementelah segala yang diminta dikabulkan tuhan akhirnya.
Dia mahu Suhaira menerima hukuman selayaknya agar gadis itu menyesal dan bertaubat. Lalu tuhan pun kabulkan. Saat kereta polis memasuki laman rumahnya sebulan yang lepas dada tuanya tak lepas mengucap tahmid dan istighfar. Bukan hendak membuang anaknya. Jauh sekali hendak membalas dendam. Tetapi dia mahu Suhaira sedar perbuatan jahat memang sukar untuk dilaksana. Tetapi apabila sudah terlajak balasannya cepat sekali akan diterima.
Sekeras hati ibu akhirnya hancur luluh juga melihat anak yang dikandung sembilan bulan lamanya di bawa pergi untuk disiasat. Malah melumatkan pula isi-isi hati yang berterabur apabila anaknya disabitkan kesalahan menjual barang terlarang. Dalam gadis itu mempromosikan alat penjagaan muka milik sendiri rupa-rupanya si anak menolong orang tua terkutuk tak sedar diri mengedar pil kuda.
Hati mana tak sakit. Jiwa mana tak sengsara. Suami yang diharap akan menjadi payung tempat meneduhkan diri langsung tak boleh diharap. Sanggup menipu dan mencuri hak orang semata-mata hendak menjadi kaya dengan segera. Tambahan pula lelaki itu menjalankan perniagaan haram di sisi agama dan menyalahi undang-undang negara.
Sungguh dia terluka. Namun dia bersyukur. Biarlah yang bersalah dijatuhkan hukuman. Tiba masanya mereka akan sedar hukuman Tuhan tak mampu dielak walau ke mana sahaja mereka pergi bersembunyi.
"Mak ngah! " suara sapaan seseorang pantas meluruhkan air mata dari kolam tuanya. Susuk Zahin yang berdiri di ambang pintu ditenung lama. Serta merta seribu penyesalan datang mengocak jiwa yang sedari tadi berduka lara. Melihat wajah tenang itu tak mampu dia kuburkan kenangan yang telah menjadi sejarah. Satu persatu cerita pahit lalu menerjah ruang ingatan tanpa sekatan.
***
"Sebab mak ngah yang sudah menanam kebencian jadi aku akan pergi. Masakan aku hendak merayu lagi kalau tapak kaki mak ngah pula yang akan naik keَ muka aku," keras suara Zahin memuntahkan kata.
"Pergi! Pergi jauh-jauh. Aku dah tak sanggup nak membela manusia berperangai binatang macam kau."
Zahin juga sudah tidak mampu bersabar. Sanggup wanita yang telah dianggap bagaikan emak sendiri menuduh yang bukan-bukan. Jadi dia tidak mahu berlembut lagi. Terus keluar dari bilik Suhaira lantas masuk ke bilik sendiri. Capai apa sahaja yang terlintas di fikiran. Tak tunggu lama sandang beg pakaian ke belakang lalu melangkah meninggalkan rumah yang menyimpan sejuta kenangan.
Sementara di dalam Mak Ngah Nafisah menenangkan Suhaira. Apabila anak daranya sudah mampu tersenyum dia bangkit menolong sang suami. Suami yang muda dua tahun daripadanya di papah. Menyuruh duduk di atas katil bersebelahan Suhaira. Sekonyong-konyong dia keluar hendak mendapatkan ubat. Berdiri lama di almari berdekatan dapur. Melepaskan nafas lega. Dia buat perkara betul. Tak perlu dia simpan anak orang yang sanggup menoreh pedih mukanya. Walaupun Zahin anak saudara kepada arwah suaminya dia sedikitpun tidak menyesal menghalau anak muda itu. Lebih baik kecewa hari ini daripada berduka lara di kemudian hari.
Kotak ubat sudah dikepit celah ketiak. Bergerak sekejap ke muka pintu rumah. Mahu melihat kelibat Zahin. Nyata susuk itu sudah tiada. Bayang pun langsung tidak kelihatan di mata. Dia pun mengeluh. Membiarkan beban di hati keluar bersama angin keluhan. Kembali semula ke kamar. Belum sempat tiba di muka pintu telinga mendengar suara Idris yang cukup menggelikan gegendang telinga.
"Pak cik sayang sangat dekat Su. Su cantik sangat. Tak macam emak Su. Pak cik tergoda dengan Su."
Terdengar tawa halus Suhaira dan menyiat hati Mak Ngah Nafisah.
"Pandai Su tarik Zahin masuk. Goda dia. Nanti lepas ni goda pakcik pula."
Mata Mak Ngah Nafisah membulat. Apa yang telah dia dengar. Suara suaminya langsung berubah.
"Su... mari dekat pak cik."
Teketar-ketar tangan Mak Ngah Nafisah menahan rasa. Jemari dikepal kuat.
"Pak cik, janganlah macam ni. Kalau mak tengok nanti tentu mak dah tak percaya kat Su."
"Sikit je. Upah untuk Su."
"Pak cik...."
"Nanti dah dapat duit banyak pak cik bagi dekat Su. Bolehlah Su beli apa saja yang Su nak."
"Pak cik...."
"Hei, dasar binatang." laung Mak Ngah Nafisah dari depan muka pintu bilik. Kesabaran wanita itu sudah melebihi takat yang sepatutnya. Melihat pula bibir suaminya singgah di pipi anak daranya dan hampir menjamah mulut mungil itu terus sahaja dia terajang lelaki tak guna yang bertopengkan syaitan itu.
Jatuh tersungkur Pak Cik Idris ke atas lantai.
"Kau buat apa ni Suhaira." terus sahaja tangannya cengkam rambut panjang Suhaira lalu tarik turun dari katil. Tubuh anaknya yang hanya bersinglet dan berseluar pendek paras paha itu sudah tidak terselindung.
"Mak ampunkan Su, mak." rayu Suhaira namun tidak dipedulikan wanita itu.
"Kau dah jahanamkan hidup Zahin. Kau heret aku sekali. Apa yang kau rancang sebenarnya." jerkah Mak Ngah Nafisah lantas tolak tubuh anaknya. Suhaira terdampar ke atas lantai.
Melihat lelaki tak guna itu amarah Mak Ngah Nafisah membuak keluar. Dia capai apa sahaja yang ternampak di depan mata lalu dibaling ke arah Idris. Lelaki itu pantas mengelak. Mak Ngah Nafisah pula sudah kelelahan. Lututnya jatuh ke bawah dan dia lagukan tangisan begitu kuat. Mengongoi bagaikan anak kecil. Idris ambil peluang. Tak tunggu lama terus cabut keluar.
Air mata diseka apabila tangisan Suhaira juga sudah berhenti. Kembali semula ke arah anaknya lantas dibalunnya habis-habisan.
"Cakap dengan aku. Kau berpakat apa dengan jantan tak guna tu. Cakap!" jerkah Mak Ngah Nafisah. Cengkam rambut depan Suhaira lalu dongakkan kepala. Kali ini ditampar pula pipi gadis itu berulang kali.
"Kalau kau mati pun aku takkan menyesal." luahnya tanpa sedar.
"Pak cik nak abang Ing keluar dari rumah ini sebab senang untuk dia kawal mak. Senang untuk dia ambil harta Zahin."
Terjelepuk Mak Ngah Nafisah sekali lagi di atas lantai sebaik hakikat sebenar terhidang di depan mata.
"Kau sanggup buat macam tu dekat Ing. Kau cakap kau sayang dia, Su. Kenapa kau sanggup ikut cakap ayah tiri kau semata-mata duit."
Sakitnya hati hanya Tuhan yang tahu. bercampur pula dengan rasa kesal atas kelakuannya sendiri. Menghalau Zahin tanpa usul periksa. Betapa jahatnya dia sebagai orang yang telah menjaga lelaki itu sedari kecil.
"Kau anak derhaka. Kau derhaka dekat aku," tempik Mak Ngah Nafisah dan sekali lagi membalun tubuh Suhaira sehingga lembik tak bermaya. Dan dia pula tersungkur bersama sejuta penyesalan.
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...