"Maaf!"
Ucapan maaf yang kedengaran garau buat aku berpaling geram. Baru saja sampai di kaunter ticket, aku dah dirempuh kasar. Hendak saja aku maki pemilik suara namun lelaki yang berjaket lusuh warna hijau khaki yang membelakangi aku tadi terus berlalu.
"Macam tu je. Tak ada adab langsung." Aku membebel geram. Namun hanya seketika. Kini berganti ucapan istighfar apabila suara Raudah berbisik menyabarkan aku.
"Jangan cepat melenting. Nanti kau cepat tua," usik Raudah dan aku ketap bibir. Sememangnya itulah aku. Cepat benar naik angin. Pantang ada silap sikit aku mudah nak mengomel. Lagi parah sejak insiden jatuh di pasar malam baru-baru ini amarah aku seakan tidak ada musim berubah. Panas setiap masa.
"Ingat sikit, Tiya. Kalau tuhan dah cakap kun fayakun jangan cuba nak berbunyi lagi. Takdir. Kena ingat takdir."
Aku lontarkan pandangan jauh ke depan. Tersentuh hati aku tiba-tiba.
Ya. Semua yang berlaku adalah takdir Ilahi. Bermula dari dalam perut ibu lagi tuhan telah tuliskan takdir aku. Dia takdirkan aku menjadi misi. Dia takdirkan aku jauh dari keluarga. Kejadian -kejadian yang lepas juga telah direncana sebaiknya. Malah takdir yang akan datang juga tuhan telah siapkan. Jadi sebagai hamba aku perlu bersyukur dengan apa saja yang telah dan akan berlaku.
'Ingat dik... segala yang berlaku ada sebab musabbabnya. Jangan mudah melenting.'
Kata-kata itu bergema dan menyejukkan hati aku. Teringat wajah Kak Raihah yang sentiasa manis walau ditimpa ujian yang berat. Sudah ada contoh di depan mata tetapi aku tak lihat sebaiknya.
'Belajarlah jadi air batu, dik. Kekal beku dalam takat kosong darjah dan mencair bila mencapai suhu panas. Bukan sebaliknya.'
Bibir menjadi mangsa gigi aku. Ketap lagi dan lagi kerana aku tak mampu menjadi seperti yang dipesan Kak Raihah. Musim panas atau sejuk tetap nak baran saja kerja aku.
Aku mendengus. Teringat segala insiden lepas muka aku mula rasa panas. Perasaan marah datang kembali. Siapalah mamat tadi. Main langgar je.
"Dia tu...."
"Sudah-sudahlah tu," pujuk Raudah dan ayat aku tak habis.
Nak sudahkan apa? Memang tak akan sudah tambah-tambah lagi dari arah belakang lelaki tadi nampak seperti dikenali. Sebab itulah mata aku masih melilau mahu tahu. Mengendap mencari susuk tadi yang entah ke mana. Betul atau tidak aku kenal dia. Sebab itulah aku nak tahu.
Raudah tiba-tiba tampar lengan aku. Terperanjat dengan tindakan dia lalu aku balas dengan cubitan.
"Kau jangan nak menggatal, ya." pesan dia sambil tangannya usap tempat aku cubit.
"Nak menggatal dengan apa. Binatang kat sini?" soal aku geram.
"Mana tahu kau tersangkut dekat pengunjung hari ni. Tak pun dekat penjaga zoo ke."
Aku julingkan mata.
"Tak ada maknanya. Aku datang temankan kau yang kempunan nak tengok binatang. Macam tak pernah tengok dekat kampung kau tu."
"Hey, kau jangan sebarang cakap. Kat kampung aku tak ada badak, harimau, zirafah bagai. Sebab tulah aku datang sini. Haiwan-haiwan yang dalam channel national geography tu hanya ada kat sini. Lagipun aku tak pernah tengok real. Kau pernah?" Raudah bela diri siap dengan menyoal aku. Aku geleng.
"Kau mana pernah tengok semua tu. Penakut sangat. Lipas yang kecik tu pun kau boleh takut."
Aku cebik. Kalau dah tahu diam je lah. Ini tak... nak dicanangnya sampai kat tempat awam macam ni.
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...