Aku tak percaya dengan apa yang berlaku. Tak sampai sehari pelbagai cerita dan perasaan datang menguji diri. Kejutan demi kejutan singgah mengganggu-gugat emosi aku. Sememangnya aku terkesan. Seperti sekarang.
Di dalam ruang yang terhad aku menyaksikan Honey sedang bertarung di antara hidup dan mati. Seorang doktor veteriner perempuan sedang menyelamatkan nyawa haiwan berambut perang tersebut. Di sisi makhluk itu ada Zahin sedang membantu dalam keadaan cemas. Beberapa orang pegawai perhilitan juga ke sana ke mari menolong untuk menyelamatkan Honey.
Dari jauh aku pandang wajah Zahin. Kelihatan air mukanya benar-benar cemas. Tak pernah aku melihat dia sebegini rupa. Lalu aku begitu kesal dengan apa yang terjadi. Menunggu di luar bilik bersama pelbagai rasa datang mengganggu. Hati aku tak kuat. Mengingati kejadian yang berlaku aku tidak tahu bagaimana hendak menghadapi hari-hari mendatang. Kepala asyik mengingati semua insiden yang berlaku. Terbongkarnya rahsia yang disimpan Zahin hati aku kesal dengan apa yang terjadi. Malah kesal aku bertambah apabila Kak Raihah yang berubah watak. Aku kesal dibela abah. Aku kesal menyayangi dirinya sepenuh hati. Malah aku kesal mengahwini Zahin.
“Tiya!”
Suara yang memanggil menyedarkan aku dari lamunan. Wajah abah dan ibu menyentak tangkai hati. Serta merta air mata luruh kembali. Mereka berdua datang ke mari selepas aku menghubungi memberitahu keadaan Kak Raihah. Namun mereka tidak terus ke hospital sebaliknya datang menemui aku di sini. Aku tak faham.
“Kenapa ibu tak pergi ke sana. Tengok Kak Rai. Kenapa datang jumpa Tiya. Tiya tak apa-apa.” Aku kuatkan semangat. Tetapi ibu pandang aku dengan mata berkaca-kaca. Abah pun sama. Bening pada matanya menyukarkan aku memandangnya lama. Kenapa wajah itu tidak seperti dulu. Bengis dan asyik nak makan aku.
“Tiya jangan balik ke rumah abah buat sementara waktu. Bila Kak Rai dah sembuh sepenuhnya barulah Tiya datang semula.” Abah memulakan bicara. Tentu sahaja aku terkejut. Pantas air mata aku menderu laju.
“Ada cerita yang Tiya tak tahu. Apa yang semua orang sembunyikan daripada Tiya. Tiya perlu tahu agar Tiya boleh teruskan hidup Tiya selepas ini tanpa penyesalan.” Aku menyambung kata dalam esak tangis yang sudah kendur. Namun melihat wajah ibu yang keruh dan mulai basah hati aku diterpa seribu kepedihan.
“Kepala Tiya langsung tak boleh nak terima dengan apa yang dah berlaku. Macam mana Kak Rai yang hanya duduk di atas kerusi roda tiba-tiba saja boleh berdiri macam orang normal. Malah siap mengarah orang menculik Tiya. Sanggup pula cederakan suami Tiya. Kak Rai yang muncul depan Tiya ibarat orang luar. Langsung Tiya tak kenal. Rasa macam orang asing yang entah datang dari mana.”
Tak semena-mena abah duduk sebelah aku. Tarik tangan aku lalu genggam kemas.
“Kaki Kak Rai dah lama sembuh. Tapi dia bohong pada semua. Kerana itulah abah suruh Tiya kahwin cepat-cepat.”
Lalu aku teringat lamaran Syed Hamizan. “Kenapa?” soal aku mahu tahu.
“Sebab Kak Raihah berdendam dengan Tiya.”
Aku terkejut besar.
“Apa salah Tiya. Apakah kerana Tiya tak jaga kandungan dia dengan baik dulu. Apakah sebab dia keguguran?”
“Lebih dari itu Tiya.” Ibu mencelah dan serta merta dada aku rasa sesak.
“Jiwa dia sakit. Sebab itulah abah selalu berkasar dengan Tiya. Abah nak Tiya keluar dari rumah sebab abah dah tahu dia menyasarkan Tiya selepas pemergian ayah. Kalau Tiya selalu dekat dengan dia. Abah takut masalah lebih berat akan muncul dan… siapa sangka masalah itu benar-benar terjadi.” cerita abah dalam nada suara jauh. Kedengaran kesal dengan semua yang telah berlaku.
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...