Telinga mendengar bunyi enjin bot. Terus aku celikkan mata. Rupanya hari sudah siang. Terdengar kicauan burung bertingkah dengan suara haiwan lain yang aku tak kenal. Perlahan-lahan aku tegakkan badan. Mahu berdiri namun perut aku terasa cukup perit. Akibat tendangan lelaki yang aku tak kenali tubuh aku lemah tak berdaya. Pun begitu mata tetap ditalakan ke arah jeti. Kelihatan dua susuk tubuh sedang bercakap-cakap di situ. Siapa mereka. Aku tak kenal.
Tangan aku sudah tidak terikat. Begitu juga dengan kaki. Agaknya mereka tahu aku tak akan dapat melarikan diri lalu mereka biarkan aku bebas.
Ralik melihat ke arah jeti tiba-tiba sepasang tangan menekup mulut dan hidung aku. Aku meronta-ronta mahu melepaskan diri. Namun mata terkejut pula melihat dua orang lelaki pengsan di atas tanah yang sedikit lapang tidak jauh dari tempat aku tertidur. Siapa yang berani menarik aku. Terus aku meronta-ronta. Mahu melihat orang di belakang. Apabila jauh dari jeti dan sudah tiba di balik belukar tebal orang di belakang pusingkan badan aku.
“Sayang.”
Aku tolak tubuh lelaki itu. Kembali hendak ke tempat tadi. Sengaja mencari bala. Namun tubuh aku ditarik lalu dipeluk kejap. Terus aku meronta geram.
“Kau bunuh mak ayah aku. Kau jahat.” Aku bertempik. Entah sampai ke telinga orang di jeti atau tidak aku tak tahu. Apa yang aku tahu aku benci dengan orang yang aku hadap sekarang ini.
“Jangan macam ni, sayang.” Zahin memujuk. Namun aku loloskan diri. Leraikan pelukan dan berlari hendak masuk ke dalam hutan tempat yang aku takuti. “Abang akan jelaskan. Apa yang penting sayang mesti keluar dari sini dulu.”
“Tak nak. Aku tak nak dengar. Kalau dulu pun aku dah tak suka. Sekarang pun sama.”
“Sayang isteri abang. Jangan sebut kata benci.”
“Aku benci kau. Aku jadi isteri kau sebab aku tak tahu siapa kau yang sebenarnya.”
Zahin menggeleng kesal tetapi aku tak mahu tahu apa yang dia rasa. Hati aku ini terlalu sakit sehinggakan aku mahu kembali semula kepada orang yang menculik aku. Biar aku jauh dari Zahin sampai bila-bila. Lalu aku melangkah cepat. Cuba melarikan diri dari dia. Sayang sekali Zahin berjaya tarik aku dan peluk sekali lagi.
“Abang dah cakap yang abang akan jelaskan. Sayang kena ingat. Sekali abang janji tak mungkin abang mungkiri.”
Aku tak mahu dengar. Terus menjerit kuat bagaikan orang gila. Malah memukul-mukul belakangnya minta dilepaskan. Mata langsung terpejam gara-gara tangisan yang luruh tak henti-henti. Pelukannya yang kemas tiba-tiba terasa longgar dan Zahin melurut ke bawah.
Aku terpana.
***
“Gerak!” dua orang lelaki tak dikenali tiba-tiba menarik aku supaya melangkah cepat.
“Lepaslah.” Aku meronta-ronta dalam keadaan lemah setelah diberikan tumbukan ke perut. Namun rontaan aku tidak ada maknanya. Terus kedua-dua orang lelaki terbabit mengheret aku bagaikan aku seguni beras. Sakitnya tubuh terkena batu dan ranting kayu. Malah terasa regang sendi tangan dan pinggang apabila ditarik begitu. Apabila tiba di jeti aku didudukkan bagaikan pesalah. Kepala ditundukkan. Mungkin mereka tidak mahu aku melihat ketua mereka. Namun mata melirik ke arah bangku papan pula.
Melihat Zahin yang meringkuk menahan sakit, hati aku dipagut pilu dan kesal. Tadi pun dia sama juga. Ditarik kasar sehingga ke jeti. Cuma yang berbeza tangannya diikat dan dia ditendang kuat sehingga terperosok ke dinding. Nasib tak patah riuk tulangnya. Sungguh hati aku kasihan melihat dia. Benci dan geram macam mana sekalipun dia tetap suami aku. Hanya menangis sahaja yang mampu aku lakukan.
“Kita bawa dia jauh. Sini dekat sangat dengan perkampungan orang asli. Aku takut orang-orang asal nampak apa yang kita buat.”
Entah mengapa suara itu cukup mengganggu telinga aku. Perlahan-lahan aku dongakkan kepala. Cuba mengintai wajah di balik hoodie coklat. Pemilik suara itu membelakangi aku dan memandang ke arah sungai.
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Bí ẩn / Giật gânBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...