Singa!
Meremang bulu roma bila teringatkan kucing besar itu. Saat ianya mengaum nampak berceracak giginya yang tajam. Tambah-tambah lagi melihat surainya yang panjang dan lebat. Nampak menyeramkan pada pandangan aku. Fizikalnya juga buat aku lemah semangat. Dengan panjang hampir 8 kaki dan berat 250 kilogram aku rasa aku akan mati dulu sebelum makhluk itu sempat ngap aku.
Tubuh aku menggeletar walaupun sudah keluar dari zon haiwan liar. Tangan pula macam ais dan pastinya Raudah tak sudah-sudah gelakkan aku.
"Engkau ni takut sangat. Macamlah singa tu nak makan kau. Kau jangan bimbanglah. Dia tak akan makan kau. Kau kan singa betina. Marka dia."
Geram betul aku dengan Raudah ni. Sakit hati pula dengan lawak dia. Aku tengah takut dia sempat lagi nak buat pertunjukan maharaja lawak bagai. Dahlah ambil gambar haiwan dia tu sampai storage telefon pun penuh.
"Sepatutnya kau sondol raja kau tadi. Duduk tepi dia. Ambil gambar buat kenangan. Tapi kau tak nak. Rugilah minah."
"Kau cakap senanglah sebab kau tu peminat haiwan. Apa jenis haiwan semuanya kau suka."
Rasa nak menangis pula apabila Raudah tidak membantu langsung. Sumpah lepas ni kalau dia ajak temankan dia sekali lagi aku tak nak ikut dah. Menyesal. Awal-awal saja menarik. Lepas tu dah bertukar ngeri.
"Enjoylah Tiya. Baru kau akan rasa betapa hari ini cukup istimewa dan kau tentu nak datang lagi."
"Tak ada maknanya."
Raudah tunjuk gigi. Sengih lain macam. Aku tahulah. Dia nak aku temankan dia lah tu. Masih tak puas lagi. Nak berlama-lama kat sinilah tu.
"Aku tak puas lagi lah Tiya."
Dah agak. Dia kalau boleh nak tidur kat sini. Apakan daya esok kerja shif pagi. Aku pula kerja shif malam.
"Dahlah. Kau jangan nak heret aku lagi. Aku nak balik. Kalau kau nak duduk sini silakan." Aku mula pusingkan tubuh. Hendak beredar dari stesen ini. Muka Raudah sudah cemberut dan aku tak ambil pusing. Tubuh saja bergerak tapi kaki tetap tegak di atas tanah. Takut pula nak jalan sorang-sorang.
"Memang kau ni jenis kena jalan-jalan kat pasaraya. Baru muka berseri."
"Tau tak apa." Aku balas balik dan Raudah mula melangkah. Aku tak lepaskan peluang. Mula menyaingi langkahnya dan sudah seiring dengan dia. Kami melalui lorong pejalan kaki yang di kelilingi pohon-pohon yang rendang. Daun-daun yang merimbun begitu cantik. Membentuk gumpalan awan dan memayungi kami yang berjalan untuk ke pintu utama zoo.
Cantik dan redup. Aku pusing belakang. Tidak ada seorang pun pengunjung lain ketika ini. Agaknya hanya kami yang sudah siap awal.
Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup buat aku rasa tenang. Tetapi hanya seketika. Tiba-tiba tubuh rasa meremang. Serasa ada sesuatu di belakang.
"Rau. Aku takutlah." Mata ke kiri ke kanan. Bimbang betul. Mana tahu ada benda yang mengekori aku.
"Rau...." Aku goncang lengan dia.
"Apa?" marah Raudah.
"Macam ada benda ikut aku," ujar aku dalam suara separuh berbisik. Raudah teruskan langkah tetapi dia toleh juga kiri dan kanan. Kemudian toleh ke belakang. Nak lihat benda apa yang buat aku takut sangat.
Tiba-tiba...
Aku rasa ada tangan yang menyentuh kepala aku. Terus kaki aku berhenti melangkah. Seriau.
"Apasal kau berhenti?" soal Raudah yang turut berhenti.
"Aku rasa macam ada tangan sentuh kepala aku."
![](https://img.wattpad.com/cover/326257293-288-k355203.jpg)
YOU ARE READING
THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed)
Mystery / ThrillerBLURB MR. ZK - Dia selayaknya tinggal dengan binatang. Itu kata orang yang bencikan dia. Itu kata mereka yang sudah terang menjadi musuhnya. Kerana segala fakta diputar belit dia larikan diri daripada mereka yang seteru dengannya. Lalu dia benar-be...