BAB 15

337 26 0
                                    

Suhaira anggun dalam persalinan merah terang. Duduk di meja VVIP dengan senyum tak lekang di bibir. Kecantikannya menyerlah apabila sinaran lampu hotel menyuluh wajahnya. Dekat Hotel Bestari ini dia akan buktikan pada semua orang Kuala Lipis akan keberkesanan produknya.

Selesai acara makan malam dia ditemani pengurusnya keluar dari dewan makan. Badan sudah letih dan dia mahu berehat sepenuhnya. Esok pagi dia akan ke Kuantan pula. Siri jelajah Pahang perlu dibereskan dalam masa lima hari. Selepas itu dia perlu kembali ke Kelantan untuk meneruskan rutin hariannya sebagai pemilik SuRa Beauty.

Tekak rasa loya tiba-tiba. Ikan patin masak tempoyak sebagai menu utama yang dia telan tadi serasa hendak keluar balik.

"Kita cari asam sikit, Nana. Aku rasa nak muntah pula."

Nana akur. Sebagai pengurus peribadi wanita hebat ini dia perlu akur. Mujur Suhaira tidak menyuruhnya pergi sendiri. Senang hati dia bila wanita itu mahu ikut sama.

"Ada lagi ke kedai yang buka."

"7ELEVEN lah yang buka Nana." Dia balas geram. Nana ni kadang-kadang blur tak tentu fasal.

Pengurusnya itu sengih kambing. Lupa yang kedai 24 jam itu ada di mana-mana sahaja. Tetapi sebaik kaki melangkah keluar dari hotel dia tak nampak pula kedai itu. Suhaira pun nampak kesal.

"Tak ada pun." Suhaira mengomel geram. Pusing belakang dan ketika itulah dia terlanggar seseorang. Dia bertempik apabila melihat wajah berjambang lebat di depan.

"Hantu!!!" jerit Suhaira dengan muka ditekup kemas. Nana di sebelah tepuk bahu wanita itu.

"Habislah orang berjambang atas muka bumi ni jadi hantu kalau semuanya nak dipanggil hantu." Sinis suara itu berbunyi dan Suhaira pantas jatuhkan tangannya. Dia tunjuk muka tidak suka. Tubuhnya menggeliat tanda geli dengan lelaki di depannya. Cukup hodoh pada pandangan matanya.

"Tengah-tengah malam macam ni merayau macam orang gila. Menakutkan orang." Sinis suara Suhaira namun Zahin beri pandangan tajam.

"Tadi cakap aku ni hantu. Sekarang dah jatuh standard pula. Jadi orang gila."

Suhaira jeling tajam. Tarik tangan Nana untuk masuk ke dalam hotel semula. Namun dia berhenti seketika. Mata lelaki itu masih memerhatinya.

Dia telan liur.

"Eloklah kau masuk dalam tu. Orang gila ni tak kira masa. Kalau dah datang perangai gila dia kau yang mendapat nanti."

Pantas saja Suhaira melangkah pergi bersama Nana. Namun perasaannya berkecamuk. Melihat mata itu dia rasa seakan pernah nampak. Mata lelaki itu yang bersinar. Bulu mata yang lentik itu buat dadanya sesak.

Tak mungkin!

Pantas dia kembali ke bilik. Lupa akan apa yang dia cari sebelum ini.

Zahin pula hembus nafas lega. Akhirnya dia jumpa juga dengan perempuan yang paling dia benci perangainya. Tuhan kabulkan doanya. Dia memang teringin melihat perempuan itu depan-depan.

Cantik!

Suhaira tetap cantik macam dulu-dulu. Namun zaman awal remajanya langsung tak sama dengan zaman sekarang. Kalau dulu dia cantik tanpa alas. Itu yang Zahin suka. Tetapi kini cantik aslinya sudah tersembunyi dibalik tampalan solekan. Memang nampak anggun tapi hati lelakinya sudah tidak ada rasa. Lagipun perasaan dulu sudah terkambus dek sikap baik Suhaira yang hanya nampak di luar.

Dia mengeluh. Seorang Zahin Hilmi mengeluh. Alangkah dia tidak bersyukur dengan apa yang telah tuhan berikan andai dia keluarkan keluhan. Zahin Hilmi tidak boleh kalah dengan permainan manusia.

Zahin tarik nafas panjang. Hembus kuat. Biar segala perasan amarahnya suatu waktu dulu hilang. Kepalanya berdenyut makin kuat. Berjumpa dengan gadis itu tiba-tiba saja buat dia makin rasa panas membahang. Lantas diikat rambutnya macam ekor kuda. Barulah angin malam menerpa batang tengkuknya. Sejuk dan dia puas hati apabila Suhaira sudah menghilang di balik pintu hotel. Tak perlu dia jumpa gadis itu lagi. Cukuplah sekali ini sahaja. Biarlah gadis itu tak kenal dia. Lagipun dia tak mahu kisah silamnya kembali menghijau.

Plastik berisi panadol dia sumbat dalam poket seluar jeans. Terus melangkah ke tempat parkir. Masuk ke dalam kereta dan mula memandu pulang ke rumah Tok We. Tubuhnya yang rasa seram sejuk sejak petang tadi dia cuba abaikan. Tetapi dia bukannya superhero. Ada masa diuji dengan sedikit sakit.

Dia demam.

Ya, dia diserang demam saat kakinya melangkah pulang dari bilik kerjanya. Sekarang dia sudah melangkah masuk ke dalam rumah Tok We. Tanpa membuka lampu ruang tamu dia menonong ke bilik sendiri. Dia tidak mahu mengganggu Tok We yang lelapkan mata di tikar sembahyang. Kakinya diseret perlahan. Begitulah Tok We. Di situlah tempat orang tua itu tidur. Katanya senang untuk bangun solat tahajjud. Jadi diar biarkan saja To We di situ. Asalkan orang tua itu tenang dan bahagia.

Dia sudah berada di dalam biliknya. Buka jendela kayu seluasnya. Biarkan angin malam menerpa masuk ke dalam. Itulah perangainya. Orang lain kalau demam akan berselimut lingkup. Dia pula bukan seperti orang lain. Dibiarkan dirinya terdedah dengan angin malam.

Punggungnya sudah dihempas ke atas katil bujang. Lunjurkan kaki dan duduk bersandar di kepala katil. Panadol di tarik keluar lalu dia telan tanpa air. Bila terasa pahit air mineral di atas meja lampu dia bawa ke mulut. Seteguk. Dua teguk dan dia habiskan sebotol tanpa meninggalkan sedikitpun sisa.

Fail di atas meja lampu dia pandang penuh pengharapan.

Tangan terus capai dan fail itu diteliti dengan kepala yang cukup berat. Surat kelulusan peminjaman Orang Utan sudah dia terima. Surat itu hanyalah salinan untuk dia simpan sendiri. Dia amat bersyukur kerana akhirnya Honey akan mendapat teman hidup. Dia memang mengharap Orang Utan itu akan melahirkan keturunannya sendiri. Dia tidak mahu keturunan Honey pupus. Jadi Honey perlu hidup berdua.

Dia senyum.

Namun senyumnya mati apabila teringat akan keadaan Honey yang masih dalam rawatan. Masih lemah untuk bergerak ke sana ke mari akibat kecederaan yang entah dari mana ia dapat.

Bila mengenangkan semua itu hatinya sakit. Manusia manakah yang tidak ada hati dan perasaan. Sanggup buat makhluk tuhan begitu. Mereka juga ciptaan tuhan yang perlu dijaga dan dibelai sesuai keadaan. Kalaulah dia ada semasa kejadian tentu dia akan cari orang itu siang dan malam. Akan dia bagi hukuman setimpal tanpa perlu menunggu undang-undang. Dia memang benci dengan manusia yang mengkhianati haiwan.

Hidupnya berbelas-belas tahun hanya ditemani haiwan. Malah hutan belukar yang tebal itu juga menjadi tempat persinggahannya setiap kali ada kerja lapangan yang perlu dia ikut serta. Dia sudah tahu selok-belok Hutan Rezab dan juga Taman Negara dekat sini. Semua haiwan dia kenal. Sebab itulah dia tidak rela haiwan dan hutan disakiti.

Zahin mula baring. Bantal dilapik dua. Dia mahu panggung kepalanya sedikit tinggi. Demamnya mula terasa kebah apabila kesan ubat mula sebati dalam urat darahnya. Kepala di dongak ke atas. Pejamkan mata seketika. Mahu rehatkan diri di sini sebelum kembali ke zoo semula.

Baru seminit dua lelapkan mata terdengar sesuatu di jendela biliknya. Dia toleh. Tiada lembaga yang kelihatan. Tiba-tiba seekor haiwan melompat laju dan dia tarik senyum panjang.

Haiwan yang tersenyum 24 jam itu mendekati mukanya lalu menghidu rahangnya yang dilapisi jambang lebat.

Pantas tangannya cengkam leher Quokka. Dia mula tegakkan badan.

"Engkau ni bijak betul. Kau curi keluar macam ni tentu orang kat zoo tu risau. Kau datang cari aku ni kau nak apa sebenarnya?" soal Zahin ibarat bercakap dengan manusia. Kepala Quokka ke kiri ke kanan.

Melihat muka haiwan itu kepalanya mula teringat wajah Atiya. Kerana haiwan inilah yang buat dia mahu dekat dengan misi itu. Rasa sesuatu yang selalu dia nafikan. Misi kerek itu dah buat dia jadi perindu.

"Kau rindu dia ke?" soal Zahin merujuk diri sendiri. Bila haiwan itu berbunyi dia senyum puas hati.

THE SECRET OF MR.ZOOKEEPER (Completed) Where stories live. Discover now