DALAM dua hari yang lepas, anak ketiga merangkap anak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah pulang ke Malaysia selepas hampir sepuluh tahun menghuni di luar negara. Kata Papa, ada sesuatu terjadi di sana yang menyebabkan dia akhirnya membuat keputusan untuk kembali ke negara ini.
Maklumlah, sejak kami berpindah ke kawasan perumahan ini lima tahun yang lepas, Papa dan Pakcik Yusuf sudah menjadi bestfriend forever bak kata orang putih. Jadi, segala perkara yang melibatkan ahli keluarga Pakcik Yusuf mesti akan sampai ke telinga kami sekeluarga.
Namun, kali ini Papa hanya tahu berita kepulangan anak Pakcik Yusuf yang seorang itu sekadar pada permukaan saja. Pakcik Yusuf tidak pula memberitahu lebih-lebih. Pada aku, lebih baiklah begitu. Papa dan Pakcik Yusuf itu boleh dikatakan sudah mengalahkan orang perempuan kalau mereka sudah mula. Mama dan Makcik Asma’ pun tidak pernah membawang seperti mereka.
Aku teringat tentang anak Pakcik Yusuf itu kerana sekarang ini aku sedang berada di luar rumah, hendak menyiram pokok bunga Mama dan aku ternampak ada susuk tubuh tinggi yang sedang duduk di bangku batu di hadapan rumah mereka. Aku tahu itu bukan Abang Yasser, anak sulung Pakcik Yusuf kerana dia jarang balik ke rumah mereka. Biasalah, sudah berumah tangga dan mempunyai klinik haiwan. Lagi satu, Abang Yasser tidak pernah lagilah memakai baju tank top ke luar rumah seperti lelaki yang sedang duduk di bangku batu itu.
Aku menoleh ke dalam rumah. Mama sedang menonton televisyen dan Papa pula sedang minum kopi di sebelah Mama. Hm… mahu tegur atau tidak? Mama dan Papa adalah dua orang yang sangat peramah. Pantang sekali nampak jiran keluar rumah, pasti saja ditegurnya. Aku pula, jangan dikatakan tegur, senyum pun jarang sekali. Aku tidak mewarisi sifat peramah kedua ibu bapaku.
Ah! Tegur sajalah.
“Assalamualaikum, tengah buat apa tu?” Aku memulakan perbualan setelah aku berhenti di pagar rumah. Sekejap lagi dia kata aku sombong pula kalau tidak ditegur. Jadi terpaksalah aku buat-buat peramah biarpun aku jauh sekali dari sifat tersebut.
Dia toleh dan mata kami bertentang. Uish, tahulah tinggal di luar negara. Aku tidak tahu pula boleh terkesan pada warna mata. Coklat terang? Hazel? Entahlah, yang pasti warna itu jarang sekali aku lihat di Malaysia ini.
Dia pandang aku sekilas dan kembali kepada telefon di tangannya. Walaupun matanya yang menarik perhatian aku sebentar tadi, sekarang bila dilihat betul-betul dari atas ke bawah, serupa tidak tidur malam pun ada anak Pakcik Yusuf ini. Rambutnya serabai dan baru aku perasan, dia kenakan tank top hitamnya itu dengan kain pelikat.
“Waalaikumussalam. Tengah basuh pinggan, sayang. Meh lah, tolong saya.” Jawabnya dan sempat aku tangkap senyuman nakalnya.
Ah, sudah! Dia pandai berloyar buruk pula! Siap panggil aku sayang lagi tu!
Aku terdiam kerana tidak tahu mahu balas apa. Menyesal lah pula aku menegurnya. Kenapalah aku tiba-tiba rajin mahu menegur orang yang aku tidak kenali? Kan sudah mati kutu mahu menjawab.
Mungkin menunggu jawapan daripada aku yang tidak sampai-sampai, akhirnya dia pusing ke arah aku. Keningnya terjongket.
“Orang tua-tua kata diam itu tanda setuju.” Dia bersuara.
Aku tenung dia dan apabila perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya aku hadam, serta-merta aku rasa wajahku berona merah. Orang mahu fikir sebentar pun tidak boleh ke?
“Kalau macam itu, sambunglah basuh pinggan itu. Assalamualaikum.” Aku balas dan dengan serta-merta, aku lari ke dalam rumah.
Sebelum aku tutup grill, aku terdengar suaranya.
“Eh, lari pula dia.” Kemudian, dia ketawa besar.
“Cepatnya siram pokok bunga Mama?” Papa yang masih mengopi di ruang tamu bertanya pada aku. Mama sudah tidak kelihatan, mungkin sedang berada di dapur.
Sudah tidak kesampaian hajat aku hendak menyiram pokok bunga Mama. Malu punya pasal. Ah! Menyesal aku tegur dia.
“Tengah hari nantilah Ija pergi siram. Ada monyet kat luar.”
“Hah? Monyet?” Papa terus bangun dan menuju ke grill. Biarlah, sekurang-kurangnya tiada soal-menyoal lagi.
Aku terus berlari naik ke bilikku. Haih, kenapalah aku cuti hari ini? Kalau tidak, tidaklah aku terserempak dengan anak Pakcik Yusuf itu.
Selepas ini, memang aku taubat nak tegur orang yang aku tidak kenal!
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...