"SAYA benarkan awak keluar ke mana sahaja selagi tak bertentang dengan akidah kita sebagai orang Islam sementara saya ada dekat sana. Lagi satu, pakai kereta saya tu. Jangan nak membantah."
Pesanan Ash pagi tadi terngiang-ngiang dalam ingatan. Mulai hari ini, Isnin sehingga Jumaat nanti, Ash akan berada di Perak atas urusan kerja. Ada projek baru katanya di sana. Banyak pesanan dia sebelum bertolak dengan Abang Nuh pagi tadi. Dia takut terlalu sibuk sehingga tidak dapat melihat telefon. Harap-harap betullah dia sibuk sebab kerja.
Mata aku jatuh pula pada kereta Lexus LS yang aku parkir di hadapan kedai, elok sahaja di sebelah kereta Kak Linda. Untuk beberapa hari ni, aku akan pergi kerja dengan memandu kereta itu. Walaupun tidak biasa, perlu aku biasakan.
Aku bergerak menghampiri rak-rak tudung yang tersusun sepanjang dinding kedai. Helaian-helaian tudung yang berterabur, aku lipat semula dan susun dengan cantik dan kemas. Kemudian, aku beralih pula ke tempat gantung tudung sarung dan menyambung kemas bahagian itu. Selalunya begitulah rutin harian aku di butik ini. Jika tiada pelanggan, mengemas mana yang perlu. Bila ada pelanggan, jadi bayang-bayang mereka sekiranya khidmat aku diperlukan.
Bunyi pintu dibuka dari luar mengalihkan perhatianku yang tadi khusyuk mengemas.
"Selamat datang."
Kak Linda yang berada dekat dengan pintu masuk dulu-dulu menyambut kedatangan pelanggan yang baru masuk itu. Aku pula hanya melemparkan senyuman kepada dua orang gadis yang aku kira masih di bangku sekolah itu. Tak sekolah agaknya hari ini. Maklumlah, aku sudah tidak ambil kisah tentang cuti persekolahan. Adik-adik aku sudah mencecah dua puluh-an. Tiada faedah sangat pun nak tahu. Lainlah kalau aku ada anak nanti.
Erk! Rasa tercekik pula bila memikirkan tentang anak. Cepat fikir tentang perkara lain!
"Kak, saya nak tanya boleh?" Gadis yang bertudung sarung menghampiriku. Seorang lagi ada di kaunter pembayaran, sedang berbual sesuatu dengan kak Linda.
"Ya, dik? Tanya jelah." Balasku. Walaupun aku bukan kaunter pertanyaan, antara tugasku adalah menjawab pertanyaan pelanggan.
Budak perempuan itu seperti malu-malu.
"Err... tak apalah. Saya tak jadi." Ujarnya, lalu berlari anak ke rakannya.
Pulak dah. Haih, macam-macamlah. Sesekali aku perasan gadis itu mengerling ke arahku. Apa agaknya yang sedang bermain dalam fikirannya?
"Ija, sini kejap." Panggil Kak Linda dan tanpa berlengah aku melajukan langkah ke arah kak Linda.
"Kenapa, kak?" Soalku kepada kak Linda sebaik sahaja berhenti di hadapan kaunter pembayaran.
"Kenalkan, dua orang ni pekerja baru butik. Rissa dan Auni." Beritahu kak Linda.
Aku sudah melopong. Kenapa tiba-tiba saja? Bukan sebab tidak puas hati, tetapi betul-betul buat aku terkejut. Aku fikirkan mereka berdua ini pelanggan sahaja. Patutlah gadis yang dikatakan Auni itu bercakap lama dengan Kak Linda tadi.
"Ija? Okey tak?"
"Eh, sorry. Tiba-tiba je ada pekerja baru. Kenapa Ija tak tau langsung?"
"Lah, akak ingatkan Ija dah tau. Hari Sabtu kan Ija ada datang sini dengan Yasmin. Dia yang ambik diorang ni bekerja. Akak ingatkan dia ada bagitahu Ija sekali, rupanya tak."
"Tak apa, kak. Kak Yasmin terlupa lah tu. Saya cuma terkejut je. Saya ingatkan awak berdua ni sekolah lagi." Aku alihkan perhatian kepada Rissa dan Auni.
"Kami baru habis sekolah, kak. Dah berapa bulan cuba cari kerja tapi tak dapat-dapat. Masa kami lalu kedai ni hari Sabtu dua minggu yang lepas, Kak Yasmin ada dalam kedai. Kami tanyalah. Rezeki kami sebab lepas tu, terus Kak Yasmin terima. Cuma lambat sikit masuk sebab nak cari rumah sewa dekat-dekat sini dulu." Panjang lebar si Auni menerangkan. Muda lagi, sudah pandai bertutur kata.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomansaAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...