BAB 30

1.3K 50 0
                                        

KELUAR saja dari bilik air, pandangan aku jatuh pada Ash yang sedang duduk membelakangi aku di birai katil. Sekejap pula kali ini. Semasa dengan Aidan sebelum ini, lama juga mereka bercakap sesama sendiri. Aku mengagak ia akan mengambil masa yang lama juga untuk Zahra, sebab itulah aku terus naik ke bilik untuk mandi.

"Ash?" Aku memanggilnya. Tuala di tangan, aku sangkut pada penyangkut di sebelah pintu bilik air.

"Hm?" Sahut Ash tanpa menoleh.

"Dah selesai ke?" Soalku seraya melabuhkan punggung di sebelah Ash. Dia sedang membaca sesuatu di telefon pintarnya.

"Saya harap macam tu lah." Balasnya.

Aku mengangguk faham. Bilik sunyi seketika dan hanya kedengaran bunyi pendingin hawa.

"Saya minta maaf." Ash bersuara.

Aku menoleh ke arahnya dengan dahi yang berkerut. Lambat-lambat, mata kami bertaut.

"Kenapa awak minta maaf?"

Ash melepaskan nafas yang berat. Kemudian, dia membetulkan duduknya supaya menghadap aku. Tangan aku, dibawa ke dalam rangkulannya.

"Saya tahu... awak tertanya-tanya. Apa hubungan saya dengan Zahra dan abang dia? Kenapa saya bencikan mereka? Betul ke mereka tu sepupu saya? Saya tahu, awak nak tahu jawapan pada semua soalan tu." Halkum Ash bergerak.

Matanya memandang aku dengan pandangan yang redup.

"Tapi, saya minta maaf. Buat masa ni, cukuplah awak tahu yang kami tak ada hubungan yang baik. Awak boleh tanya apa saja tentang kehidupan saya di Ireland sebelum ni, saya tak kisah. Tapi saya nak awak tahu, saya bukanlah seorang diri dekat sana lepas arwah nenek pergi. Dan untuk ceritakan bahagian yang itu dekat awak, saya masih belum bersedia. Saya minta maaf sebab tak dapat bagitau tentang diri saya yang sepenuhnya." Tangan aku dibawa ke bibirnya dan dikucup lembut.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Betullah sangkaan aku tentang mereka bertiga. Dalam setengah tahun aku mengenali Ash, lelaki ini tidak pernah menunjukkan kebencian dan kemarahan sepertimana ia ditujukan kepada Zahra dan Aidan. Untuk membenci seseorang sehingga tidak mahu mendengar namanya, bermakna ia merupakan hal yang memberi kesan mendalam kepada dia.

"Khadija? Are you okay?" Ash menunduk sedikit dan meneliti mukaku.

Aku menghadiahkannya dengan senyuman nipis. Kemudian, aku mengangguk beberapa kali.

"Saya okey. Awak tak perlu minta maaf dengan saya pun. Saya faham kalau awak tak nak cerita langsung. Mungkin perkara tu berat dan memberi kesan yang mendalam pada awak. Jadi, saya tak akan paksa." Ujarku.

Ash menghela nafas. "Saya akan ceritakan semuanya bila sampai masa nanti. Awak berhak tahu. Saya takkan simpan lama-lama."

Jeda.

Aku mencari sepasang mata itu. Senyumannya berubah. Kelat pada mataku.

"Terima kasih sebab memahami, Khadija." Ucapnya.

Aku menarik tangan dari pegangan Ash dan terus aku menariknya dalam pelukanku. Belakangnya aku usap lembut.

"Tak perlu rasa bersalah. Saya mungkin akan terus tertanya, tapi saya faham yang tak semua kita boleh kongsi dengan orang." Aku cuba menyedapkan hati Ash.

Ash membalas pelukanku. Tepi dahiku dicium olehnya.

"Terima kasih, sayang." Bisiknya.

Aku pasti ada sesuatu yang terjadi semasa aku di dalam bilik air sebentar tadi. Perbualan atau perbincangan antara Ash dan Zahra sebentar tadi mempunyai kesan pada Ash. Aku pasti.

MR. ASH SEBELAH RUMAHTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang