BAB 18

417 15 1
                                    

USAI menonton wayang, Ash dan Luth mengajak aku ke Baskin Robbins kerana Luth tidak sudah menyebut tentang aiskrim harga kayangan itu semenjak kami tiba di sini hampir dua jam yang lalu.

"Awak nak perisa apa?" Soal Ash sebaik sahaja kami tiba di situ.

Aku melihat perisa-perisa bersama gambarnya yang terpampang pada skrin monitor di belakang kaunter. Sampai terbelit lidah aku ingin membacanya. Aiskrim yang biasa pun diberikan nama yang panjang lebar. Kreatif sungguh lah pencipta aiskrim Baskin Robbins ini.

"Tak apalah, saya tak minat aiskrim ni." Tipu aku apabila teringat kembali duit yang tidak berapa banyak di dalam bank aku. Satu kon aiskrim di sini boleh mencecah berbelas-belas ringgit. Aku bukannya kedekut, tetapi belasan ringgit itu boleh lagi aku beli nasi berlauk yang mengenyangkan perut aku.

Ash mengangkat keningnya sebelah. "Tak minat?" Soalnya lagi, seperti skeptikal dengan kata-kata yang keluar daripada mulutku.

Aku mengangguk laju. Nanti dia syak aku tiada duit pula kalau aku ambil masa ingin menjawab pertanyaan dia. Ash ini pun bukannya boleh percaya. Pemurah sangat.

"Betul ni?"

"Ya, Ash." Balasku.

Ash tersenyum lebar dan menoleh kepada Luth yang berdiri di sebelah kanannya.

"Anak buah Paksu nak yang mana satu?"

Luth menunjukkan gambar aiskrim berwarna-warni yang tertera 'Cotton Candy' di bawahnya. Selepas itu, Ash membuat pesanan dan tidak lama kemudian satu kon aiskrim berwarna-warni dan satu bekas kecil diisi dua skoop aiskrim coklat bertukar tangan.

Ash memberikan aiskrim yang diisi di dalam kon kepada Luth yang sudah senyum sampai ke telinga. Suka betul dia dengan aiskrim di sini.

"Nah," Tiba-tiba Ash menghulurkan bekas kecil berisi aiskrim coklat kepada aku.

Aku pandang aiskrim itu dan Ash bersilih ganti. Sejak bila pula aku minta dia belikan untuk aku?

"Kenapa pula?"

"Kenapa apanya? Untuk awaklah, makan." Dia menghampiri aku dengan tangannya yang masih menghulurkan bekas aiskrim itu.

Aku menggeleng laju. "Eh, tak payahlah. Saya betul-betul tak minat aiskrim. Awak jelah yang makan, awak yang beli."

"Ambik jelah, saya belanja."

"Awaklah yang makan. Saya cakap betul ni, saya tak nak."

Aku perasan pekerja di belakang kaunter Baskin Robbins sedang melihat kami berdua yang sedang bertingkah.

"Khadija..." Sudah mula dia punya suara meleret itu.

"Saya tak nak. Muktamad." Kataku tegas dan terus aku mencapai tangan Luth yang sedang enak makan aiskrim di sebelah Ash.

"Jom, Luth. Kita pergi beli barang." Ujarku kepada Luth.

"Okey!" Comel sahaja balasan yang diberi oleh Luth.

"Khadija..." Terdengar suara Ash yang mengikuti kami dari belakang.

Biarlah dia. Eloklah aku cepat-cepat memilih barang hantaran sebelum dia menggunakan duit dia itu untuk aku lagi.

"KHADIJA, cuba pakai ni." Ash menghulurkan satu kotak yang berisi jam tangan wanita kepada aku. Aku menarik tangan Luth supaya dekat denganku. Hilang pula anak orang ni nanti kalau dibiarkan dia bermain seorang diri di dalam pusat beli-belah sebesar alam ini.

"Saya tak naklah benda mahal-mahal ni. Membazir duit je." Ujarku setelah meneliti jam yang tertera Cartier pada kotaknya itu. Fungsinya sama juga seperti jam sepuluh ringgit di pasar malam, untuk tengok masa.

MR. ASH SEBELAH RUMAHWhere stories live. Discover now