BAB 8

1.5K 54 0
                                        

USAI aku memarkir motor, aku mencabut kasut kerja dan meletakkannya di rak kasut di luar rumah. Jam di tangan aku pandang sekilas. Lambat juga aku balik hari ini. Waktu sudah pun mencecah sembilan setengah malam. Mujurlah Mama tidak menyuruh aku menumpang Ash seperti sebelum ini. Aku sudah beritahu awal-awal yang aku tidak akan lewat melebihi pukul sepuluh malam. Aku sudah berjanji dengan Mama, aku hanya akan menurut cadangan Mama yang satu itu sekiranya waktu yang aku mahu pulang ke rumah mencecah jam sepuluh malam.

Aku lewat begini kerana Kak Jannah yang melampiaskan amarahnya terhadap Razi kepada kami, pekerja-pekerja di situ. Aku ingatkan Puan Widad dan Encik Megat beredar pergi daripada bangunan utama kilang itu untuk memberi ceramah kepada Kak Jannah, rupa-rupanya tidak langsung. Mereka terus pulang ke HQ. Cakap seperti mahu mengambil tindakan, sembang lebih saja mereka itu. Takkan lah dengan Kak Jannah pun takut mahu tegur? Sedangkan mereka berdua itu orang atasan dalam syarikat.

“Khadija, lambat balik?”

“Mak kau meletup!” Terlepas terus latah daripada bibir aku. Aku pusing ke belakang dan melihat Ash yang sudah mengekek-ngekek ketawakan aku.

“Tak tahu pula awak melatah. First time tengok.”

Siapa saja tak melatah bila dikejutkan dengan suara garau dia itu? Lagi-lagi pada waktu malam begini. Buat terkejut orang saja.

“Nak apa?” Soalku tanpa berdolak-dalik. Malas mahu melayan lebih-lebih, nanti lagi galak pula dia mengacau aku. Baik aku tanya terus tujuan dia keluar daripada rumah malam-malam ini.

“Nak kahwin dengan awak, boleh?” Lancar dia menjawab.

“Hah?” Ternganga ke mulut aku? Terkejut beruk aku mendengar perkataan yang keluar daripada mulut Ash. Sudah buang tabiat ke lelaki ini?

Ash pun seperti terkejut dengan apa yang keluar daripada mulut dia. Terus saja dia toleh ke tempat lain sebaik dia menjawab soalan aku.

“Err… maksud saya, Kak Min ada hantar design baju kahwin tadi. Dia nak minta pendapat awak kalau dia nak kembangkan bisnes dia ke butik pengantin. Awak setuju tak?” Ash tersengih-sengih.

Oh, baju kahwin. Buat terkejut aku je. Macam mana boleh tersasul sampai macam itu? Nasib lah aku ini sudah tahu perangai Ash, kalau tidak memang aku terus perasan yang dia sukakan aku.

“Kenapa nak minta pendapat saya pula? Saya bukannya selalu pergi butik Kak Yasmin pun. Kalau dah dia tanya, saya setuju je lah. Kalau berniaga, eloklah ambil kesempatan untuk buat perkara baharu juga. Jadi, saya sokong je.” Balasku.

Walaupun pelik yang Kak Yasmin mahu menyoal aku lebih daripada pelanggan-pelanggan tetap dia, aku berikan juga jawapan yang munasabah. Kalau sudah mahu cuba, lakukan saja. Nanti tidaklah menyesal.

“Awak kan jiran, kenalah tanya pendapat juga. Yang nak membeli nanti awak juga.”

“Beli baju kahwin? Tak lagi kot. Tak ada orang pun yang nak saya ni.”

Pandai-pandai saja cakap aku mahu membeli baju kahwin. Bercinta pun tidak pernah aku ni, lagilah nak berkahwin. Memang dalam mimpi sajalah.

“Siapa kata tak ada orang nak?” Soal Ash dengan keningnya yang terangkat.

“Sebab tak ada orang bersuara lah, saya anggap saya ni tak diingini. Tak apalah, saya pun tak terdesak lagi nak berpunya.” Tiba-tiba saja aku meluahkan perasaan kepada Ash. Nanti dia ingat kami ini kawan rapat pula sehingga boleh menceritakan masalah peribadi.

Ash merenung aku lama. Kemudian, dia bersuara.

“Kalau macam itu, katakanlah… Katakanlah, ada orang yang datang meminang awak nanti, awak terus terima ke?”

MR. ASH SEBELAH RUMAHTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang