SEKEJAP saja masa berlalu, tahu-tahu sahaja sudah masuk bulan Syawal. Usai solat sunat raya pagi tadi di masjid berdekatan, Ash meninggalkan aku di rumah dan keluar semula dengan membonceng motor milikku untuk membeli lemang. Selalu ada saja dijual di tepi jalan, jadi sementara dia keluar membeli lemang itu aku sediakan juadah pagi raya.
Elok semuanya tersusun di atas meja makan. Ada rendang ayam, kuah kacang dan ketupat sahaja. Aku pun baru berjinak-jinak mahu memasak, jadi hanya itu saja sempat aku masak malam tadi.
Tidak mengapa pun kerana Mama dan Papa kata yang mereka akan datang ke rumah kami hari ini. Sudah sebulan lebih berpindah ke sini, tidak pernah lagi mereka datang kerana masing-masing sibuk memanjang.
Aku yakin Mama dan Umi akan datang membawa juadah raya kerana malam tadi, semasa aku bertanya tentang cara membuat rendang ayam Mama sudah pesan awal-awal untuk tidak memasak lebih-lebih kerana Mama ingin membawa kuah lontong dan rendang daging kesukaan aku ke rumah ini. Terliur apabila memikirkannya.
Aku menutup makanan yang telah dihidangkan di atas meja makan dengan tudung saji. Kemudian, aku menuju ke ruang tamu untuk melihat jam di dinding. Sudah pukul sembilan pagi. Tak lama lagi sampailah mereka tu. Maryam ada mesej aku sebentar tadi dan katanya mereka sudah berada di atas jalan menuju ke sini.
Aku berlari anak naik ke bilik dan terus aku mencari cermin. Pagi-pagi raya begini haruslah berpenampilan cantik. Aku berpusing dua tiga kali di hadapan cermin sambil mata menumpukan kepada baju jubah berwarna lilac yang elok terletak di atas badan aku. Ash yang membelikannya, mahu sedondon dengannya yang memakai kurta berona sama.
"Assalamualaikum, sayang..." Ash menjenguk ke dalam bilik.
"Ash! Terkejut saya." Aku mengurut dada. Ash senyum lebar.
"Waalaikumussalam. Dapat ke lemang?" Aku bergerak menghampiri dia yang sedang duduk di birai katil.
"Dapat dua batang je. Pakcik tu cakap kena tunggu lama sikit kalau nak lebih. Kalau tak cukup nanti, cakap je. Saya pergi keluar beli." Ash menanggalkan kopiah di kepala dan menolak rambutnya yang berjuntaian jatuh ke dahi.
"Oh. Awak dah buka ke lemangnya?" Soalku lagi.
"Belum. Tunggulah kejap, saya nak rehat." Jawabnya.
Aik? Baru pukul berapa sudah penat? Dia pergi beli lemang saja pun.
Perlahan langkah aku mendekati Ash yang sudah terbaring. Matanya ditutup rapat. Aku teliti wajahnya lama. Rintik-rintik peluh mulai muncul di dahinya. Spontan tangan aku naik ke dahi Ash.
"Khadija?" Ash memandang aku terpinga-pinga.
Lama aku letakkan tangan di dahinya. Sah!
"Awak demamlah, Ash." Beritahuku. Tidaklah panas sangat, tetapi jika dibiarkan boleh naik suhunya.
"Demam? Mana ada, saya okey je ni. Penat sikit. Lepas lelap sekejap ni eloklah." Balas Ash lemah.
"Okey apanya kalau bercakap pun dengar tak dengar tu? Awak tunggu kejap. Saya pergi ambil air dekat bawah."
Dengan pantas aku berlari ke dapur dan mengambil secawan air suam. Kemudian, dengan berhati-hati aku naik semula ke bilik.
Aku meletakkan cawan air suam itu di meja tidur dan membuka laci paling atas. Di situlah terletaknya segala ubat Panadol. Aku mengambil Panadol Actifast yang masih belum dibuka. Seterusnya, aku mengambil dua biji dan duduk di sebelah Ash yang masih melelapkan matanya.
"Ash, bangun kejap. Makan ubat ni." Aku menggoncang perlahan bahunya.
Ash membuka matanya perlahan-lahan.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...