TEPAT jam tiga petang, kami tiba di taman perumahan Mama dan Papa. Sepanjang jalan dari hospital sehingga ke sini, hanya beberapa patah perkataan sahaja yang keluar daripada mulut Ash mahupun aku. Mungkin kerana apa yang terjadi di hospital sebentar tadi, kami berdua agak kekok untuk memulakan perbualan.
Apabila kereta membelok masuk ke lorong perumahan Mama dan Papa, sebuah kenderaan menangkap perhatian aku. Kereta milik Kak Long sedang elok diparkir di hadapan rumah.
"Mama dengan Papa pesan dekat saya sebelum saya pergi hospital tadi," Ash bersuara, "Adik-beradik awak semua ada kat rumah sekarang. Jangan risau. Diorang datang sebab nak tengok keadaan awak je. Kalau ada yang tanya lebih-lebih, tahulah saya nak buat apa."
Aku menoleh ke arah Ash yang sedang menarik brek tangan sebaik sahaja kereta diparkir di hadapan rumah Umi dan Walid.
Aku menarik nafas panjang. Aku sudah agak yang mereka akan datang untuk menjenguk aku. Tetapi, ada satu soalan yang sedang bermain di dalam fikiranku sekarang ini.
"Ash, boleh saya tanya sesuatu?"
Dia senyum. "Tanyalah apa pun, sayang."
"Kenapa awak bawa saya ke sini, dan bukan rumah kita?"
Wajahnya tidak berubah, namun aku tahu soalan aku itu menimbulkan rasa tidak selesa dalam diri Ash.
Ash menarik nafas panjang, matanya ditutup rapat seketika sebelum dia menjawab pertanyaanku.
"Khadija, saya tahu awak seorang wanita yang kuat. Tapi, rumah tu dah jadi satu sejarah hitam untuk awak. Saya tak nak awak balik ke sana langsung. Saya tak nak, setiap kali awak masuk rumah tu awak akan teringat benda yang jadi dekat awak." Ujarnya.
"Ash, memang betul malam tu adalah perkara hitam dalam hidup saya. Tapi, awak kena ingat, lebih banyak kenangan indah tentang kita di rumah tu berbanding kejadian tu. Saya tak nak lari dari realiti, Ash. Saya nak hadap semuanya dan ubat semula hati saya yang dah remuk ni." Aku nekad.
"Saya menyesal, Khadija." Ash pandang aku lama. "Tolong, bagi saya masa berjauhan daripada awak. Saya tak berhak berdiri di sisi awak, Khadija. Saya punca semua ni terjadi. Saya—"
PAP!!
Tanpa aku sedari, sebelah tanganku hinggap di bahu Ash sehingga mengeluarkan bunyi. Aku mahu dia buka telinga dan mata untuk apa yang bakal aku katakan kepadanya.
"Semua yang terjadi adalah kerana Allah. Semua ni ujian untuk saya dan awak. Jangan mempersoalkan takdir, Ash. Saya tak nak berpisah daripada awak dah. Awak kata awak tak berhak berdiri di sisi saya? Kalau macam tu, awak kena usaha. Usaha untuk buat awak rasa awak berhak, Ash. Tapi, berpisah untuk sementara waktu bukanlah jawapannya. Ya, saya takut untuk balik ke rumah kita. Sebab saya perlukan seseorang di sisi saya untuk jadi seorang peneman, seorang yang boleh sokong saya bila saya jatuh. Dan orang tu adalah awak, Ash."
Aku menarik nafas panjang. "Jangan sebut apa-apa pun pasal berpisah atau tinggalkan saya kat sini. Kalau awak tak nak saya balik ke sana buat masa ni, awak kena ada dekat sini dengan saya. Tak ada kompromi. Kata saya muktamad."
Ash diam seribu bahasa, namun pandangannya cukup sebagai jawapan bagiku.
Aku sedar dan aku tahu bahawa Ash sedang berperang dengan perasaan sendiri. Dia rasa bersalah terhadap aku dan mungkin kerana itulah selama mana aku di hospital sebelum ini setelah aku sedar dari koma, dia tidak datang melawat sekali pun semasa waktu siang dan hanya melawat pada waktu aku tidur.
Sejujurnya, terlintas dalam fikiranku untuk menjatuhkan segala rasa dan hukuman ke atasnya setelah aku sedar dari koma. Aidan tiada hubungan denganku, begitu juga aku dengan Zahra. Mereka berdua mempunyai masalah dengan Ash dan aku adalah mangsa keadaan. Sungguh, aku ingin menuding jari ke arahnya.
YOU ARE READING
MR. ASH SEBELAH RUMAH
Storie d'amoreAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...